Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kematian NSF Dave Lee: Pengurusan kecederaan kurang cekap, pemindahan tertangguh antara faktor

Jawatankuasa Siasatan (COI) yang menyiasat kematian anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa Korporal Kelas Pertama Dave Lee mendapati pengurusan kecederaan dan pemindahan yang tertangguh sebagai "sebab-sebab yang berkemungkinan" menyebabkannya meninggal dunia akibat strok haba.

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian NSF Dave Lee: Pengurusan kecederaan kurang cekap, pemindahan tertangguh antara faktor

(Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 06 Aug 2018 06:33PM Dikemas Kini : 06 Aug 2018 06:35PM

SINGAPURA: Jawatankuasa Siasatan (COI) yang menyiasat kematian anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa Korporal Kelas Pertama Dave Lee mendapati pengurusan kecederaan dan pemindahan yang tertangguh sebagai "sebab-sebab yang berkemungkinan" menyebabkannya meninggal dunia akibat strok haba.

CFC Lee meninggal dunia pada 30 April, hampir dua minggu selepas "menunjukkan tanda-tanda kecederaan haba" di kem Bedok sejurus selepas selesai melakukan kegiatan berbaris pantas sejauh lapan kilometer, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF).

"COI mendapati kematian CFC Lee akibat strok haba yang turut menyebabkan beberapa kecederaan pada organ-organ lain," kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dalam kenyataan menteri yang disampaikan di Parlimen hari ini (6 Ogos).

"Namun, siasatan awal COI menunjukkan antara punca yang kemungkinan mengakibatkan CFC Lee meninggal dunia akibat strok haba adalah pengurusan kecederaan yang kurang cekap dan pemindahan ke pusat perubatan yang tertangguh."

PENGURUSAN KURANG TERATUR SELEPAS BERBARIS

Selepas kegiatan berbaris pantas sejauh lapan kilometer pada 18 April, mereka yang menguruskan CFC Lee berfikir beliau sakit kerana kelelahan, kata Dr Ng, sambil menukil penemuan COI.

Nadi CFC Lee seperti biasa tetapi kulitnya sejuk ketika dipegang. Bagaimanapun, suhu badannya tidak diperiksa.

"COI mendapati langkah-langkah yang dijalankan bagi meredakan suhu badan CFC Lee, semasa di tempat kejadian, tidak mencukupi. Mereka yang menanganinya tidak memberikan titisan intravena, tidak meletakkan pek ais dengan betul, dan terpal alas tidak digunakan dengan cara yang tepat," kata Dr Ng.

"COI mendapati bahawa penangguhan dari masa CFC Lee menunjukkan simptom-simptom sehingga beliau dipindahkan, memburukkan kecederaan haba menjadi strok haba," kata Dr Ng. "Langkah untuk meredakan suhu badan CFC Lee seharusnya dilakukan secepat mungkin, dalam tempoh 30 minit dari beliau menunjukkan tanda-tanda atau simptom strok haba."

PELANGGARAN KESELAMATAN, DISIPLIN SEHARI SEBELUM KEJADIAN

COI juga mendapati pelanggaran pada keselamatan latihan dan peraturan disiplin pada 17 April, sehari sebelum CFC Lee mengalami strok haba.

Ia mendapati terdapat pelanggaran Peraturan Keselamatan Latihan Tentera dalam kegiatan senaman yang disertai CFC Lee.

Dalam kegiatan fizikal tersebut, para anggota NSF seharusnya berlari enam pusingan, sejauh 400 meter bagi setiap pusingan, mengikut kepada kemampuan masing-masing. Namun, seluruh pasukan diarahkan supaya berlari bersama-sama sepanjang kegiatan itu.

Platun CFC Lee pada malam itu juga menjalani hukuman yang tidak diluluskan. Pada sekitar 9.40 malam, COI mendapati platun CFC Lee diarahkan berkumpul memakai pakaian seragam Nombor 4 dan beg penggempur.

"Para komander ingin menghukum seluruh platun yang katanya tidak bekerjasama dan menggunakan telefon bimbit pada waktu tidur, khususnya oleh dua anggota, meskipun sudah diberi amaran beberapa kali," kata Dr Ng.

Sesi tersebut berjalan selama antara 30 hingga 35 minit, dan platun dibenarkan kembali ke bilik masing-masing pada sekitar 10.25 malam untuk membersihkan diri. Lampu dimatikan pada 10.45 malam.

"Tindakan itu mengganggu waktu tidur para anggota NS yang seharusnya diberikan masa berehat tanpa diganggu selama tujuh jam. Pada hari itu, mereka hanya dapat berehat selama 6 jam 15 minit.

"Kurang waktu tidur mungkin salah satu faktor yang mengakibatkan CFC Lee berasa lebih lelah sebelum mengikuti kegiatan berbaris pantas.

LANGKAH-LANGKAH DIAMBIL SEBELUM BERBARIS

Dalam pada itu, kegiatan berbaris pantas yang dijalankan mengikuti pelan dan peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Sebelum berbaris pantas, suhu badan CFC Lee diperiksa dan ia normal pada paras 36.3 darjah Selsius. Beliau juga minum air sebelum kegiatan itu. Ini disahkan oleh rakannya, yang mengatakan bahawa mendiang "kelihatan sihat dan seperti biasa".

CFC Lee tidak memaklumkan Pegawai Bertugas ketika ditanya jika ada yang tidak berasa sihat pada waktu itu.

PENEMUAN LAIN DAN PENDAKWAAN

Selain itu, COI turut melihat kepada rekod kesihatan CFC Lee sebelum kegiatan berbaris pantas tersebut.

Meskipun beliau tidak mempunyai sebarang rekod masalah kesihatan yang serius, mendiang didapati mengambil ubat-ubatan sebelum perbarisan itu bagi masalah jangkitan saluran nafas atas akut.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan