Skip to main content

Singapura

Kematian NSF Dave Lee: Ketua Tentera beri jaminan siasatan menyeluruh

Ketua Tentera BG Goh Si Hou memberi jaminan kepada mereka bahawa SAF akan memastikan fakta-fakta di sebalik kematian anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) Dave Lee.

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian NSF Dave Lee: Ketua Tentera beri jaminan siasatan menyeluruh

Dave Lee Han Xuan bersama ibunya, Jasmine Yeo. (Gambar: Facebook/Jasmine Yeo)

Diterbitkan : 05 May 2018 12:20AM Dikemas Kini : 05 May 2018 12:23AM

SINGAPURA: Dalam sepucuk surat kepada para askar SAF pada Khamis (3 Mei), Ketua Tentera BG Goh Si Hou memberi jaminan kepada mereka bahawa SAF akan memastikan fakta-fakta di sebalik kematian anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) Dave Lee.

Lee, 19 tahun meninggal dunia Isnin lalu (30 Apr), hampir dua minggu selepas beliau dimasukkan ke hospital disebabkan tanda-tanda mengalami kecederaan haba sebaik sahaja selesai melakukan latihan kawad pantas sejauh lapan kilometer pada pagi 18 April 2018.

Beliau dibawa ke pusat perubatan Kem Besok dan kemudian dimasukkan ke Hospital Besar Changi (CGH), namun keadaannya bertambah teruk.

"Ramai dalam kalangan anda mungkin sudah membaca dakwaan-dakwaan online tentang insiden serius ini," kata BG Goh menerusi surat yang dikirimkan kepada Mediacorp.

"Kami belum lagi memperolehi semua faktanya dan tidak perlu untuk membuat sebarang spekulasi. Kami yakin pihak tentera sedang menjalankan siasatan yang menyeluruh dan kami memandang serius terhadap semua insiden yang melibatkan latihan penting. Kami perlu bertanyakan soalan-soalan dengan sejujurnya," tambah beliau.

"Kami juga sudah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Siasatan bebas. Sebagai sebuah institusi awam, kami mesti bertanggungjawab dan yakin bahawa pihak tentera akan bersikap adil. Kami akan menyokong para komander dan jurulatih, selagi kami menjalankan tugas sejajar dengan peraturan yang betul dan menetapkan nilai-nilai kami," kata BG Goh.

Beliau berkata, pihak tentera akan memperkukuh sistem keselamatannya bagi memastikan para askar boleh menjalankan "latihan secara realistik dan menjalaninya dengan selamat".

BG Goh juga menggesa para komander dan jurulatih supaya melindungi dan mengembalikan keyakinan terhadap institusi itu dan menyeru para NSF supaya menjalankan tugas dengan baik.

Upacara persemadian tentera akan dijalankan buat Korporal Kelas Pertama Lee esok (5 Mei).

Lee menyertai tentera pada 5 Januari. Setelah selesai menjalani Latihan Asas Tentera (BMT) pada bulan Mac, beliau ditempatkan dalam unit Batalion Pertama Pengawal Singapura.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita