Kematian NSF Dave Lee: Kapten SAF didakwa dengan tuduhan sebabkan kematian akibat tindakan cuai
Seorang pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) didakwa di mahkamah pada Rabu (31 Okt) kerana menyebabkan kematian anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) Dave Lee dengan tindakan terburu-buru.
SINGAPURA: Seorang pegawai Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) didakwa di mahkamah pada Rabu (31 Okt) kerana menyebabkan kematian anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa (NSF) Dave Lee dengan tindakan terburu-buru.
Korporal Kelas Pertama (CFC) Lee meninggal dunia pada usia 19 tahun pada 30 April, dua minggu selepas mengalami strok haba sejurus selepas kegiatan berbaris pantas sejauh lapan kilometer di Kem Bedok.
Menurut dokumen dakwaan, Kapten (CPT) Tan Baoshu, 30 tahun, merupakan Pegawai Pemerintah Kumpulan Sokongan Batalion Pengawal Pertama serta pegawai penyelia bagi kegiatan berbaris pantas yang dijalankan dari 6.30 hingga 8.25 pagi pada 18 April.
CPT Tan didakwa menyebabkan kematian CFC Lee kerana gagal menghantar mendiang ke pusat rawatan dengan segera dan "tidak membenarkan rawatan yang sewajarnya kepada CFC Lee dan atas sebab itu, menyebabkan CFC Lee meninggal dunia akibat strok haba.
CPT Tan menghadapi hukuman penjara maksimum sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.
CPT Tan tidak memberikan gambaran sama ada dia akan mengaku bersalah atau meminta supaya kesnya dibicarakan.
CPT Tan akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 28 November.
Dalam kenyataannya sebelum ini, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan bahawa CFC Lee dihantar ke pusat rawatan selepas kegiatan berbaris pantas itu.
Seorang pegawai perubatan SAF merawat beliau dan mendiang kemudian dihantar ke Hospital Besar Changi (CGH), di mana beliau dimasukkan ke dalam Unit Jagaan Rapi (ICU).
Pasukan Polis Singapura (SPF) juga sudah merujuk enam anggota SAF yang terbabit dalam insiden itu kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi siasatan.
Dalam kenyataannya pagi tadi (31 Okt), MINDEF menyatakan bahawa kementerian itu memandang serius terhadap keselamatan para askar dan anggota perkhidmatan negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.