Kematian kucing di Punggol: Tiada bukti kekejaman, kecederaan mungkin akibat kemalangan, kata NParks
Tiada bukti jelas bahawa kucing masyarakat yang cedera di Punggol dan kemudian mati, adalah mangsa tindakan kejam yang dilakukan dengan sengaja, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) pada Sabtu (17 Mei).
Seekor kucing ditemui dalam keadaan parah berhampiran Blok 326B Sumang Walk. (Gambar: Facebook/Luni Singapore)
Kemas kini tersebut dikeluarkan beberapa hari selepas NParks menyatakan bahawa kes itu sedang disiasat sebagai kes yang disyaki berkaitan kekejaman terhadap haiwan.
Kucing berkenaan ditemui dalam keadaan cedera di kawasan memunggah barang berhampiran Blok 326B Sumang Walk di Punggol.
NParks mengambil kucing itu selepas menerima maklum balas pada pagi 12 Mei dan menghantarnya ke sebuah klinik veterinar swasta untuk rawatan segera, menurut Cik Jessica Kwok, pengarah kumpulan penguatkuasaan dan penyiasatan badan berkanun itu, dalam kenyataannya kepada media.
“Berdasarkan laporan siasatan dan pemerhatian veterinar, kami tidak menemui bukti nyata bahawa kecederaan yang dialami berpunca daripada perbuatan kejam yang disengajakan.
“Laporan dari klinik veterinar swasta menyatakan bahawa kecederaan kucing itu menunjukkan tanda-tanda hentakan pada kepalanya, dan kemalangan jalan raya merupakan antara punca lazim bagi kecederaan seperti itu.”
NParks juga telah memaklumkan penjaga kucing berkenaan, selepas menjejak cip mikronya, untuk menghubungi klinik bagi tindakan susulan.
“Kami difahamkan bahawa akibat kecederaan yang dialaminya, kucing itu kemudian ditidurkan di klinik tersebut untuk menamatkan penderitaannya, dan mayatnya dibakar,” kata Cik Kwok.
Semasa siasatan itu, NParks menemu bual individu yang pada awalnya menemui kucing tersebut dan meneliti rakaman kamera litar tertutup di sekitar kawasan tempat letak kereta dan tempat di mana kucing itu ditemui.
“Berdasarkan hasil siasatan, kemungkinan besar kecederaan yang dialami kucing itu berpunca daripada kemalangan melibatkan kenderaan,” kata Cik Kwok, sambil menambah bahawa siasatan bagi kes itu kini telah selesai.
KES KEKEJAMAN TERHADAP KUCING DI YISHUN
Ini merupakan kes kedua yang disyaki melibatkan kekejaman terhadap kucing dalam tempoh seminggu yang disiasat NParks, selepas seekor lagi kucing ditemui mati dengan tanda-tanda ia diseksa di Yishun Street 51.
Mengulas mengenai kes tersebut, Cik Kwok berkata siasatan masih dijalankan. “Kami menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi lanjut mengenai butiran kes yang sedang disiasat dan memastikan sumber maklumat mereka sahih. Ini penting bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan adil.”
“NParks memandang serius semua maklum balas orang awam berkaitan dakwaan kekejaman terhadap haiwan, dan akan menyiasat setiap maklum balas yang diterima.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.