Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kematian kanak-kanak Chin Swee Road: AP Lily Neo luah keprihatinan, kesedihan

Berikutan berita baru-baru ini tentang pasangan yang didakwa membunuh anak mereka berusia dua tahun pada 2014, Anggota Parlimen (MP) kawasan tersebut, Dr Lily Neo meluahkan kebimbangan mengenai apa yang berlaku.

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian kanak-kanak Chin Swee Road: AP Lily Neo luah keprihatinan, kesedihan

Blok 52 Chin Swee Road.

Diterbitkan : 19 Sep 2019 12:00PM Dikemas Kini : 19 Sep 2019 12:04PM

SINGAPURA: Berikutan berita baru-baru ini tentang pasangan yang didakwa membunuh anak mereka berusia dua tahun pada 2014, Anggota Parlimen (MP) kawasan tersebut, Dr Lily Neo meluahkan kebimbangan mengenai apa yang berlaku.

Meskipun butiran tentang jenayah itu hanya akan diketahui semasa prosiding mahkamah nanti, Dr Neo memberitahu Mediacorp beliau mempunyai beberapa persoalan yang belum terjawab.

"Saya berasa sedih perkara seumpama itu terjadi. Saya berasa amat prihatin mengapa ia terjadi," katanya.

Jasad kanak-kanak berusia dua tahun itu ditemui pada 10 September lalu di sebuah flat di Blok 52 Chin Swee Road, lebih lima tahun setelah pembunuhan itu dipercayai berlaku.

Sedang Dr Neo berusaha untuk menyelidik situasi keluarga itu, beliau berkata beberapa agensi khidmat sosial aktif di blok berkenaan dan kawasan sekitarnya. Program-program sokongan rasmi bahkan juga disediakan untuk warga tua, yang membentuk majoriti penduduk di kawasan Chin Swee, dan kanak-kanak.

AGENSI KHIDMAT SOSIAL PROAKTIF DI CHIN SWEE

Agensi-agensi khidmat sosial melakukan kunjungan secara tetap ke kawasan tersebut dan ada pertubuhan-pertubuhan yang tampil membantu secara sendirian seperti menghantar makanan serta membersihkan rumah.

Namun, Dr Neo berkata bantuan hanya boleh dihulurkan apabila diketahui bahawa pertolongan diperlukan.

"Jika mereka langsung terpencil, sukar untuk membantu mereka. Sekiranya anda tidak dapat berjumpa mereka pun, dan mereka tidak mahu berjumpa anda, bagaimana anda melakukannya?" tanya beliau.

Dr Neo menambah tidak semua orang akan membuka pintu apabila beliau dan pasukannya membuat lawatan ke rumah.

"Kemungkinan mereka tidak ada di rumah, mereka inginkan privasi atau mereka tidak ingin diganggu," jelasnya.

Ketua Eksekutif Pusat Jagaan dan Kaunseling NuLife, Dr Sheena Jebal, berkata kakitangannya juga melalui pengalaman yang serupa.

Sebagai sebahagian usaha untuk mendekati masyarakat sejak pertubuhan itu berpindah ke Chin Swee Road pada Februari tahun ini, Dr Jebal mengaturkan sebuah pasukan terdiri daripada kakitangan, relawan dan kaunselor untuk melawat penduduk bagi menolong membersihkan rumah mereka.

Dalam sesetengah kes, kata beliau, mereka berdepan kesukaran untuk menghulurkan khidmat bantuan itu. "Malah sebelum mereka tahu mengapa kakitangan, sukarelawan atau kaunselor saya ada di sana, ada yang tidak berminat," katanya.

Beliau menambah kadang-kala pasukan itu tidak diendahkan meskipun pintu rumah mereka terbuka dan jelas ada orang di dalam rumah.

Dr Jebal menarik perhatian banyak pertubuhan khidmat sosial ditubuhkan dalam kawasan tersebut untuk menyediakan khidmat kepada para penduduk.

"Walaupun sumber-sumber sedemikian tersedia dan boleh digunakan, para penduduk teragak-agak untuk tampil dan meminta bantuan sosial serta sokongan emosi," ujarnya.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan