Skip to main content

Singapura

Kematian bermaruah: Sukarelawan, pekerja sosial SG bantu warga emas tanpa keluarga urus perjalanan terakhir

Anggaran Waktu Membaca:
Kematian bermaruah: Sukarelawan, pekerja sosial SG bantu warga emas tanpa keluarga urus perjalanan terakhir

Para pekerja sosial dan sukarelawan daripada Cheng Hong Welfare Service Society semasa upacara pembakaran mayat seorang lelaki yang tiada waris pada 10 Jun 2026. (Gambar: CNA/Sherlyn Seah)

Diterbitkan : 20 Jul 2026 11:26AM Dikemas Kini : 20 Jul 2026 12:55PM
SINGAPURA: Sekitar 10 orang yang membawa bunga berkumpul dalam suasana hening di Krematorium Mandai, di sekeliling keranda seorang warga emas yang meninggal dunia pada malam sebelumnya sambil mendoakan agar beliau dapat bersemadi dengan tenang.

Mereka bukan saudara-mara, mahupun rakan-rakannya. Kebanyakan daripada mereka hanya mengenali warga emas tersebut pada penghujung hayatnya.

Pada hari-hari terakhirnya mengharungi penyakit barah di sebuah hospis, beliau tidak mempunyai pasangan, anak atau saudara-mara untuk menguruskan perpisahan terakhirnya. Tanpa sekumpulan sukarelawan dan pekerja sosial yang tampil untuk membantu, tiada sesiapa yang akan menguruskan pengebumiannya.

Namun, mereka memastikan beliau tidak meninggalkan dunia ini bersendirian. Lagu-lagu pujian dinyanyikan dan bunga turut diletakkan untuk warga emas tersebut. Keesokan harinya, pekerja sosial Adelina Koh menaburkan abu warga emas tersebut di Garden of Peace di Choa Chu Kang, bagi menunaikan salah satu permintaan terakhirnya.

"Tiada sesiapa yang wajar dilupakan. Setiap orang berhak mempunyai seseorang di sisi mereka pada penghujung hayat," kata beliau.

Bagi Cik Koh, yang merupakan seorang Eksekutif Kanan Penjagaan Warga Emas di badan amal Cheng Hong Welfare Service Society, tugas yang amat peribadi itu sudah menjadi rutin hampir setiap hari.

Badan amal itu secara khusus membantu mereka yang mempunyai sedikit atau tiada sokongan keluarga untuk menguruskan sebahagian daripada urusan akhir hayat serta melaksanakan upacara terakhir mereka. Pertubuhan itu mempunyai sekitar 800 sukarelawan, dengan 40 daripada mereka dilatih secara khusus untuk menguruskan khidmat selepas kematian berlaku.

TIADA SESIAPA UNTUK MENGUCAPKAN SELAMAT TINGGAL

Secara rasmi, Singapura mencatatkan sekitar 87,000 penduduk berusia 65 tahun dan ke atas yang tinggal bersendirian pada 2024. Namun, tiada perangkaan nasional menyeluruh yang menjejaki jumlah individu yang meninggal dunia bersendirian.

Para pekerja sosial berkata jumlah itu semakin meningkat. Menurut Cheng Hong Welfare Service Society, ia mengendalikan 330 kes pengebumian secara pro bono tahun lalu, lebih tiga kali ganda berbanding 106 kes pada 2021. Jumlah kes pada tahun ini pula dijangka lebih tinggi.

Sebahagian kes itu dikenal pasti menerusi usaha mendekati masyarakat di kawasan kejiranan berpendapatan rendah, manakala yang lain dirujuk oleh pihak hospital, rumah jagaan atau polis.

Pertubuhan itu membelanjakan secara purata sekitar S$3,000 bagi setiap kes, yang dibiayai hampir sepenuhnya menerusi sumbangan dan sokongan sukarelawan.

Sokongan yang diberikan bukan sekadar menguruskan urusan akhir hayat. Para sukarelawan turut membawa warga emas keluar makan, menghantarkan barangan dapur dan memastikan kebajikan mereka terjaga.

Antara penerima bantuan sedemikian ialah Teo Ting Pow Chu, 70 tahun, yang menghabiskan sebahagian besar masanya secara bersendirian di flat sewanya selepas kehilangan suami enam tahun lalu.

Cik Teo sudah memutuskan bahawa beliau mahukan upacara pembakaran mayat yang ringkas.

"(Bantu saya) menaburkan abu saya ke laut," kata beliau.

GOLONGAN YANG TERPINGGIR

Rumah pengebumian menyaksikan semakin banyak kes melibatkan individu yang meninggal dunia tanpa disedari di rumah mereka dan hanya ditemui beberapa hari kemudian.

"Biasanya disebabkan oleh bau, atau cecair tertentu yang keluar, dan jiran mungkin menemukan individu yang sudah meninggal dunia itu," kata Pengarah Pengebumian Harmony Funeral Care, Harmony Tee.

Rumah pengebumian semakin kerap diperlukan untuk tampil membantu apabila tiada anggota keluarga yang dapat menguruskan pengebumian seseorang. Tiada keperluan undang-undang yang mewajibkan saudara-mara untuk menanggung kos pengebumian.

Apabila polis atau pekerja sosial tidak dapat mengesan atau meyakinkan waris terdekat untuk menguruskan pengebumian, pengendali pengebumian kadangkala diminta untuk menyediakan khidmat pembakaran mayat secara percuma. Cik Tee berkata ramai dalam industri itu menganggapnya sebagai satu tanggungjawab dari segi moral.

Sebuah lagi rumah pengebumian, Direct Funeral Services, menyewa bot setiap beberapa bulan untuk menaburkan ke laut abu 30 hingga 40 individu yang tidak dituntut. Ia mengendalikan lebih 120 kes secara pro bono setiap tahun.

Pengarah Urusannya, Cik Jenny Tay, berkata ramai warga emas bimbang akan meninggal dunia bersendirian. Seorang pengayuh beca berkongsi kebimbangan tersebut ketika membuat perancangan awal bagi pengebumiannya dengan syarikat tersebut.

Beliau yang uzur dan tinggal bersendirian bertanya sama ada rumah pengebumian itu boleh memasang kamera litar tertutup (CCTV) di flatnya supaya kakitangan dapat memantaunya sekiranya beliau terjatuh dan memerlukan bantuan. Meskipun permintaan itu luar biasa, rumah pengebumian tersebut bersetuju untuk berbuat demikian.

"Apabila kami memasang CCTV itu, beliau berasa sangat lega kerana tahu ada seseorang yang akan menjaganya," kata Cik Tay.

Kakitangan memantaunya setiap hari. Pada suatu hari, mereka melihat menerusi kamera berkenaan bahawa beliau terjatuh lalu segera membawanya ke hospital.

Kes seperti itu mendorong syarikat tersebut menubuhkan sebuah yayasan yang menganjurkan kegiatan dan acara sosial bagi warga emas yang hidup terasing.

"Apabila mereka lebih banyak bergaul, mereka akan lebih kerap bertanya khabar antara satu sama lain. Akhirnya, apabila sesuatu berlaku atau berlakunya kemalangan, bantuan dapat diberikan tepat pada masanya," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Direct Funeral Services, Encik Darren Cheng.

APABILA KAKITANGAN TAMPIL MEMBANTU

Isu itu bukan hanya melibatkan warga emas yang tinggal bersendirian.

Di rumah jagaan dan institusi penjagaan warga emas, para kakitangan semakin kerap memikul tanggungjawab yang secara tradisinya dilaksanakan oleh waris terdekat bagi para penghuni yang tiada keluarga yang diketahui.

Di rumah jagaan Sree Narayana Mission, sekitar tiga daripada 10 penghuni tiada sokongan keluarga, meningkat daripada sekitar dua kepada 10 pada tahun lalu.

Pekerja sosial utama rumah jagaan itu mengimbas kembali bagaimana beliau sendiri terpaksa menuntut jenazah seorang penghuni yang meninggal dunia semasa Hari Raya tiga tahun lalu.

"Pada hari itu, saya sedar bahawa jika saya tiada di sini, tiada sesiapa yang (akan) menuntut jenazah itu. Inilah yang berlaku kepada penghuni yang tidak mempunyai anggota keluarga," kata Ketua Kerja Sosial bagi Program Penghuni di Sree Narayana Mission Singapore, Cik Yogeswari Chandrasekaran.

Di Thye Hua Kwan Nursing Home, penghuni tinggal dalam ruang yang dipanggil "isi rumah", dan bukan wad tradisional. Terdapat pelbagai jenis bilik yang boleh menempatkan antara dua hingga lapan katil, dengan ruang rehat dan ruang makan tersendiri.

Matlamatnya adalah untuk menggalakkan interaksi, membantu para penghuni berasa lebih terhubung dan saling menjaga antara satu sama lain. Sekitar tujuh peratus daripada lebih 280 penghuninya tidak mempunyai anggota keluarga yang diketahui.

MELAKUKAN PERANCANGAN AKHIR HAYAT

Para pakar memberi amaran bahawa cabaran itu mungkin menjadi semakin serius, dengan penduduk Singapura terus menua dan saiz keluarga menjadi semakin kecil.

Walaupun inisiatif pemerintah sudah memperkukuh sokongan bagi warga emas yang tinggal bersendirian menerusi rakan masyarakat dan program pendampingan, pihak berkepentingan berkata isu itu memerlukan usaha seluruh masyarakat.

Namun, para pakar berkata masyarakat perlu terlebih dahulu mengatasi keengganannya untuk berbincang secara terbuka mengenai kematian.

"Punca utama masalah ini adalah kematian dan proses menghadapi kematian masih dianggap sebagai perkara tabu," kata Profesor Sosiologi Paulin Straughan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Perancangan awal dapat mengelakkan orang tersayang daripada perlu membuat keputusan yang sukar, di samping memastikan hasrat terakhir seseorang itu dihormati, kata beliau.

Pada akhirnya, mereka yang terlibat secara langsung dalam menangani isu tersebut berkata persiapan menghadapi kematian perlu dianggap sama seperti membuat perancangan bagi usia senja.

Ini bermakna membincangkan hasrat terakhir seseorang, menentukan siapa yang akan melaksanakannya dan, jika boleh, mengetepikan dana bagi urusan pengebumian bagi memastikan perpisahan terakhir dapat dilakukan secara bermaruah.
Sumber : CNA/AZ/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita