Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kematian akibat COVID-19 dalam kalangan penduduk bentuk separuh 'kematian berlebihan' pada 2021: Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kematian akibat COVID-19 dalam kalangan penduduk membentuk kira-kira separuh daripada "kematian berlebihan" yang dicatatkan tahun lalu, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di Parlimen pada Isnin (9 Mei).

Kematian berlebihan merujuk kepada peningkatan dalam kadar atau jumlah kematian akibat semua jenis sebab semasa satu tempoh krisis, berbanding dalam keadaan biasa.

Singapura mencatat 1,535 kematian berlebihan dalam kalangan penduduk pada 2021, selepas mengambil kira penuaan, kata Encik Ong.

Daripada jumlah itu, COVID-19 merupakan punca rasmi bagi 804 kematian, menyumbang kepada 52 peratus kematian berlebihan.

"Terdapat kematian berlebihan pada 2021 kerana pandemik global yang menyebabkan berjuta-juta kematian di seluruh dunia dan Singapura tidak terkecuali," katanya.

Encik Ong berkata demikian sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) Leon Perera (WP-Aljunied), yang ingin tahu jumlah kematian berlebihan akibat COVID-19 dan formula yang digunakan oleh Kementerian untuk mengira kematian.

Encik Ong menjelaskan bahawa kematian berlebihan bermakna membandingkan kadar kematian sepanjang beberapa tahun, dengan mengambil kira perubahan profil umur penduduk.

"Jika kadar kematian meningkat semasa pandemik melebihi jangkaan semasa luar pandemik dan melebihi apa yang dijangkakan daripada penuaan penduduk, ini bermakna terdapat kematian berlebihan," katanya.

Kadar kematian berdasarkan kelompok umur di Singapura merosot daripada 563 bagi setiap 100,000 penduduk pada 2017, kepada 519 setiap 100,000 pada 2020, kata Encik Ong.

Pada 2021, bagaimanapun, kadar itu meningkat kepada 557 bagi setiap 100,000 penduduk, hampir kembali ke tahap 2017.

Ini bermakna terdapat lebihan kematian pada 2021 berbanding 2020, katanya.

"Semasa pandemik, kematian berlebihan akan lebih tinggi daripada kematian yang dilaporkan secara rasmi disebabkan oleh penyakit," kata Encik Ong, sambil merujuk kepada sebab seperti perubahan dalam tingkah laku mendapatkan penjagaan dan kematian di mana jangkitan COVID-19 mungkin menjadi faktor penyumbang tetapi bukan punca utama.

Beliau juga memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia baru-baru ini yang menyatakan meskipun jumlah kematian berkaitan COVID-19 yang dilaporkan secara rasmi di seluruh dunia adalah lebih 6 juta, lebihan kematian adalah 15 juta, kira-kira 2.5 kali lebih banyak.

Ini, katanya, mungkin disebabkan oleh jumlah kematian yang kurang dilaporkan di kawasan yang mana ujian tidak mencukupi, atau di mana data sukar dikumpulkan.

Selain itu, mereka yang mempunyai penyakit kronik mungkin menangguhkan pemeriksaan dan rawatan semasa pandemik, lantas merugikan diri mereka sendiri, katanya.

Sebab yang sama boleh dikaitkan dengan lebihan kematian di Singapura kecuali kurang melaporkan kematian dan keadaan hospital yang tertekan, katanya.

"Kami mengutamakan perlindungan sistem penjagaan kesihatan kami, melaksanakan pemutus rantaian jangkitan apabila perlu," kata Encik Ong.

"Jadi, walaupun hospital kami mengalami tekanan yang ketara ketika kemuncak gelombang jangkitan, mereka tidak terbeban dan hospital boleh terus memberi keutamaan kepada kes yang serius dan mendesak," katanya.

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan