Skip to main content

Singapura

Kemalangan trafik melibatkan penunggang motosikal naik sedikit

Jumlah kemalangan di jalan raya melibatkan penunggang motosikal naik pada separuh kedua tahun ini, meskipun kadar nahas trafik pada keseluruhannya merosot.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Aug 2018 02:16PM Dikemas Kini : 19 Aug 2018 12:16AM

SINGAPURA: Jumlah kemalangan di jalan raya melibatkan penunggang motosikal naik pada separuh kedua tahun ini, meskipun kadar nahas trafik pada keseluruhannya merosot.

Polis Trafik mengumumkan demikian dalam laporan pertengahan tahun yang dikeluarkan hari ini (18 Ogos) sempena pelancaran edisi ke-12 kempen menunggang dengan selamat 'Singapore Ride Safe'.

Jumlah kemalangan melibatkan penunggang motosikal naik sekitar 1.9 peratus kepada 2,216 kes pada separuh pertama 2018, berbanding 2,175 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu. Dalam pada itu, jumlah kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal adalah 27, naik 12.5 peratus dari 24 kes yang dicatatkan bagi tempoh yang sama pada 2017.

Polis menyatakan bahawa penunggang motosikal membentuk sekitar 57 peratus jumlah kemalangan trafik keseluruhannya dan 44 peratus kemalangan maut pada separuh pertama 2018. Pekerja penghantar barang merupakan salah satu kelompok yang terjejas, tambah pihak berkuasa.

Antara punca-punca kemalangan termasuk memandu laju dan pemandu lain yang tidak periksa dulu dan melihat penunggang motosikal.

Berucap di pelancaran Singapore Ride Safe 2018 di Singapore Expo, Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Sun Xueling berkata "setiap kecederaan dan kematian tidak harus dianggap enteng".

Beliau menambah: "Pada peringkat nasional, Polis Trafik akan terus mendekati para penunggang motosikal dan menggalak mereka supaya menjadi pengguna jalan raya yang bertanggungjawab."

KADAR KEMALANGAN TURUN SEDIKIT

Jumlah kemalangan trafik yang mengakibatkan kematian atau kecederaan susut sedikit - 0.1 peratus - dari 3,908 kes pada 2017 kepada 3,905 tahun ini.

Jumlah kemalangan trafik yang mengakibatkan kematian pada separuh pertama 2018 jatuh 5.1 peratus kepada 56 kes, dari 59 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu. Sementara itu, jumlah kematian turun 1.7 peratus kepada 59, berbanding 60 kes.

Jumlah kemalangan yang mengakibatkan kecederaan adalah 3,849 kes bagi separuh pertama tahun 2018, tidak berubah berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Polis menyatakan bahawa penurunan dalam jumlah kes kemalangan maut dan kematian "terus berkurangan sejak 2012".

KEPRIHATINAN UTAMA: KEMALANGAN MELIBATKAN WARGA EMAS

Kemalangan yang melibatkan pejalan kaki lanjut usia terus menjadi keprihatinan utama, menurut polis.

Jumlah kemalangan seumpama itu turun pada separuh pertama 2018 sebanyak 4.4 peratus kepada 130 kes, dari 136 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu. Namun, jumlah kemalangan maut yang melibatkan pejalan kaki lanjut usia tidak berubah berbanding tempoh yang sama pada 2017, iaitu 11 kes.

Jumlah pejalan kaki lanjut usia yang cedera pada 2018 juga naik sedikit sebanyak 0.8 peratus kepada 119, dari 118.

Pada separuh pertama 2018, hampir 40 peratus kemalangan melibatkan pejalan kaki warga emas yang menyeberang jalan sembarangan, menurut polis.

Kempen Singapore Ride Safe tahun ini diadakan bersempena Pertunjukan Motor 2018 yang diadakan buat kali ketiga.

Tema edisi kali ini 'Gear Up, Ride Safe' adalah lanjutan kepada usaha-usaha menggalak masyarakat yang menunggang motosikal untuk memakai perlengkapan perlidungan semasa menunggang, dan mengamalkan tabiat menunggang yang baik. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita