Kemalangan Koswe: Pemandu lori diberkas; siasatan awal dapati brek rosak
Petikan skrin daripada video yang tersebar di media sosial, menunjukkan kereta-kereta rosak dan serpihan bertaburan di jalan raya selepas sebuah lori merempuh beberapa kenderaan di Koswe menghala ke Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Kemalangan berlaku di Koswe menghala ke Pusat Pemeriksaan Woodlands sekitar pukul 9.25 pagi, menurut Polis Daerah Selatan Johor Bahru dalam kenyataannya.
Selain lori itu, kemalangan tersebut juga melibatkan sebuah van, sebuah bas dan sembilan kereta. Enam kenderaan adalah kenderaan yang didaftarkan di luar negara manakala bakinya merupakan kenderaan berdaftar di Malaysia.
Siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan hilang kawalan ke atas lori itu disebabkan oleh brek yang rosak, menurut polis.
Pemandu warga Malaysia itu ditangkap sekitar pukul 1.15 tengah hari dan diuji negatif bagi dadah, tambah polis.
Mujur, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.
Video-video insiden yang tersebar di media sosial menunjukkan sebuah lori merempuh beberapa kenderaan sebelum ia akhirnya berhenti.
Serpihan-serpihan kereta dilihat bertaburan di jalan raya dengan beberapa kenderaan yang dirempuh diletakkan di tepi jalan raya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.