Skip to main content

Singapura

Kemalangan jalan raya libatkan pejalan kaki warga tua naik pada 2022: SPF

Anggaran Waktu Membaca:
Kemalangan jalan raya libatkan pejalan kaki warga tua naik pada 2022: SPF

(Gambar fail: Jeremy Long/CNA)

Diterbitkan : 14 Feb 2023 09:00PM
SINGAPURA: Jumlah kemalangan jalan raya yang melibatkan pejalan kaki warga tua meningkat pada 2022, dengan jumlah kecederaan dan kematian juga melonjak.

Demikian menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (14 Feb).

Pejalan kaki warga tua - mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas - terlibat dalam 235 kemalangan jalan raya tahun lalu, iaitu kenaikan sebanyak 14.6 peratus daripada 205 pada 2021, menurut data daripada laporan tahunan situasi jalan raya.

Sehubungan itu, jumlah pejalan kaki warga emas yang maut dalam kemalangan jalan raya meningkat sebanyak 53.3 peratus kepada 23 pada 2022, berbanding kepada 15 dalam tahun sebelumnya.

Manakala, jumlah pejalan kaki warga tua yang cedera di jalan raya meningkat sebanyak 10.4 peratus daripada 193 pada 2021 kepada 213 pada 2022.

Secara keseluruhannya, terdapat sebanyak 104 kemalangan maut pada 2022, naik sebanyak empat peratus daripada 100 yang dicatat pada 2021. Jumlah orang yang maut dalam nahas jalan raya juga naik sedikit, daripada 107 kepada 108.

Jumlah kemalangan yang menyebabkan kecederaan melonjak sebanyak 13.8 peratus kepada 6,760 pada 2022, berbanding 5,939 yang dicatat pada 2021. Bilangan orang yang cedera dalam kemalangan jalan raya juga meningkat kepada 8,252 pada 2022, naik 14 peratus daripada 7,240 dalam tahun sebelumnya.

Kadar kematian dalam kemalangan jalan raya bagi setiap 100,000 penduduk merosot kepada 1.92 pada 2022 daripada 1.96 pada 2021, di tengah-tengah kenaikan dalam jumlah penduduk di Singapura.

"Dengan penyambungan semula lebih banyak kegiatan berikutan pelonggaran langkah pengurusan selamat, bilangan kemalangan jalan raya meningkat pada 2022 berbanding 2021," menurut SPF dalam satu kenyataan media.


Jumlah kemalangan jalan raya bagaimanapun kekal lebih rendah berbanding jumlah yang dicatat dalam tempoh sebelum COVID-19.


"Bilangan kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal dan pejalan kaki warga emas melonjak pada 2022. Kedua-duanya menyumbang kepada bilangan tidak seimbang kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecederaan atau kematian."

PEJALAN KAKI WARGA TUA, PENUNGGANG MOTOSIKAL KEKAL MUDAH TERDEDAH

Kemalangan maut melibatkan pejalan kaki warga tua membentuk sekitar 70 peratus daripada kemalangan maut yang melibatkan pejalan kaki pada 2022, menurut data SPF.

Sebilangan besar kemalangan maut yang melibatkan pejalan kaki warga tua - 73.9 peratus - adalah disebabkan perbuatan melintas jalan raya sembarangan atau 'jaywalk'. Ini naik daripada 50 peratus pada 2021.

Polis menyatakan bahawa penunggang motosikal kekal sebagai golongan pengguna jalan raya yang mudah terdedah, meskipun 2022 menyaksikan kemerosotan dalam kemalangan maut yang melibatkan para pengguna jalan raya.

Terdapat 3,854 kemalangan membabitkan penunggang motosikal tahun lalu, naik 11.3 peratus daripada 3,464 pada 2021.

Jumlah penunggang dan pembonceng motosikal yang mengalami kecederaan, meningkat kepada 4,165, iaitu naik sebanyak 12.8 peratus berbanding 3,693 kecederaan yang dicatat tahun lalu.

KESALAHAN LANGGAR LAMPU MERAH BERKURANGAN TETAPI KEMALANGAN AKIBAT MEMANDU MELEBIHI HAD LAJU MENINGKAT

Jumlah pemandu yang melanggar lampu merah turun 2.3 peratus kepada 43,697 kes pada 2022 berbanding 44,745 kes pada tahun sebelumnya.

Jumlah kemalangan akibat pemandu yang melanggar lampu merah bagaimanapun merosot 2.9 peratus, daripada 136 kes pada 2021 kepada 132 kes pada 2022.

Jumlah pemandu yang memandu melebihi had laju jatuh 10.1 peratus kepada 125,189 kes pada 2022.

Jumlah kemalangan berkaitan memandu melebihi had laju pula meningkat 14.2 peratus kepada 1,124 pada 2022, berbanding 984 yang dicatat pada tahun sebelumnya.

Kemalangan melibatkan pemandu mabuk pada tahun lalu, meningkat sebanyak 9.7 peratus kepada 170 kes pada 2022 daripada 155 kes yang dicatat pada tahun sebelumnya.
Sumber : CNA/SS/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita