Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kemalangan e-skuter junam 30% lepas larangan; sambung laluan basikal perlu lebih $1 bilion

Jumlah kemalangan melibatkan e-skuter menjunam 30 peratus sejak larangan penggunaan alat itu di laluan pejalan kaki dikuat kuasa pada 5 November tahun lalu, dedah Menteri Negara Kanan Pengangkutan Dr Lam Pin Min di Parlimen pada Isnin (Jan 6).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Jan 2020 06:42PM Dikemas Kini : 06 Jan 2020 11:51PM

SINGAPURA: Jumlah kemalangan melibatkan e-skuter menjunam 30 peratus sejak larangan penggunaan alat itu di laluan pejalan kaki dikuat kuasa pada 5 November tahun lalu, dedah Menteri Negara Kanan Pengangkutan Dr Lam Pin Min di Parlimen pada Isnin (Jan 6).

"Sedang kami meningkatkan penguatkuasaan, kita boleh menjangkakan kemalangan seperti itu berkurangan lagi," kata Dr Lam.

Tinjauan telefon yang ditugaskan agensi maklumbalas Pemerintah baru-baru ini mendapati dua daripada setiap tiga responden bersetuju bahawa tahap keselamatan di laluan pejalan kaki meningkat sejak larangan itu diperkenalkan, katanya.

Menjawab soalan-soalan daripada Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong Ang Wei Neng, Dr Lam berkata antara 5 November hingga 31 Disember, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengeluarkan kira-kira 6,000 makluman untuk mengingatkan para pengguna tentang peraturan baru itu. Dalam tempoh yang sama, lebih daripada 300 saman dikeluarkan terhadap "pengguna yang tidak berhati-hati".

LTA memulakan penguatkuasaan lebih tegas bermula 1 Januari. Mereka yang menunggang e-skuter di laluan pejalan kaki akan dikenakan denda hingga S$2,000 atau penjara hingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.

Undang-undang yang lebih ketat itu diperkenalkan menyusuli beberapa kes kemalangan melibatkan alat mobiliti peribadi (PMD) dengan pejalan kaki, antaranya membabitkan penunggang basikal Cik Ong Bee Eng, 65 tahun, yang meninggal dunia pada September tahun lalu setelah dilanggar pengguna PMD.

Menjawab AP Tanpa Kawasan Undi dari Parti Pekerja Dennis Tan, yang bertanya sama ada sumber tambahan diperuntukkan untuk menguatkuasakan larangan tersebut, Dr Lam berkata LTA telah menambah jumlah pegawai penguat kuasanya, termasuk pegawai polis tambahan, dari 100 kepada 182 pegawai.

"Usaha pengambilan pekerja sedang berlangsung dan sasaran LTA adalah untuk menambah pasukannya kepada 200 pegawai tidak lama lagi," kata Dr Lam, sambil menambah bahawa teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) bergerak digunakan untuk melengkapi usaha penguatkuasaan.

Menteri itu berkata 27 penunggang e-scooter ditangkap sejak awal tahun ini.

LEBIH S$1 BILION PERLU UNTUK LUASKAN LALUAN BERBASIKAL

Dr Lam berkata seperti diumumkan sebelum ini, rangkaian laluan berbasikal - di mana e-skuter boleh digunakan - akan diperluas dari 440 kilometer kepada 750 kilometer menjelang 2025 dan menjadi 1,300 kilometer selewat-lewatnya pada 2030.

"Kami juga sedang berbincang dengan MOF (Kementerian Kewangan) untuk mendapatkan pembiayaan tambahan untuk tujuan ini," katanya.

"Anggaran awal kami adalah lebih S$1 bilion untuk melengkapkan rangkaian laluan berbasikal di seluruh pulau."

Kementerian Pengangkutan akan "mempercepatkan pelaksanaannya" seawal beberapa tahun dan sedang berbincang dengan HDB, NPark dan majlis bandaran berhubung "garis masa praktikal", kata menteri itu sambil menambah bahawa butirannya akan dibentangkan semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS).

58% MANFAATKAN GERAN TUKAR GANTI E-SKUTER

Geran tukar beli e-skuter, yang membolehkan pekerja penghantaran untuk menukar beli e-skuter mereka dengan e-basikal atau basikal biasa susulan larangan penggunaannya di laluan pejalan kaki, dimanfaatkan oleh ribuan penunggang.

Kira-kira 6,120 pengguna layak mendapatkan geran itu. Setakat tarikh akhir geran itu pada 31 Disember, LTA sudah menerima dan meluluskan 3,550 permohonan, dedah Dr Lam kepada para AP.

Menjawab soalan tambahan dari Encik Ang tentang pecahan permohonan, Dr Lam menjawab 74 peratus daripada mereka yang diluluskan memilih untuk beralih ke e-basikal.

Hanya 25 peratus memilih basikal biasa, manakala kurang 1 peratus memilih alat bantuan mobiliti peribadi seperti kerusi roda elektrik. Beliau menambah bahawa 20 peratus pemohon sudahpun berubah untuk menggunakan alat alternatif.

Dr Lam berkata setakat 30 Dis, 130 pekerja penghantaran sudah selesai menjalani program yang diperkenalkan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) untuk membantu mereka beralih ke penggunaan basikal bermotor (PAB) atau e-basikal.

"Ini amat berguna kerana kemalangan di jalan raya yang melibatkan PAB bukan jarang berlaku. Dari Januari hingga November tahun lalu, terdapat 21 kemalangan seperti itu," katanya sambil menambah bahawa LTA sedang bekerja dengan Polis Trafik berhubung usaha meningkatkan kesedaran dan pendidikan awam.

PERATURAN E-BASIKAL DIKEMASKINI

Secara berasingan, peraturan kawal selia untuk e-basikal sedang dikemas kini, kata Dr Lam.

E-basikal harus memenuhi beberapa syarat, seperti didaftarkan dengan LTA, memenuhi piawai keselamatan elektrik dan kebakaran EN15194, dan mempunyai motor yang akan berhenti apabila mencapai kelajuan maksimum 25km/sejam.

"Sejak November 2019, kami sudah menangkap 70 PAB yang tidak patuh pada peraturan.
PAB yang ditahan dirampas," kata Dr Lam, sambil menambah bahawa pesalah boleh didenda sehingga S$5,000, atau dipenjara tiga bulan, atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan