Kemalangan basikal melonjak; semakin ramai berbasikal di S'pura tahun lalu
Jumlah kemalangan jalan raya membabitkan basikal melonjak tahun lalu sedang kegiatan berbasikal bertambah popular di tengah-tengah COVID-19.
SINGAPURA: Jumlah kemalangan jalan raya membabitkan basikal melonjak tahun lalu sedang kegiatan berbasikal bertambah popular di tengah-tengah COVID-19.
Sebanyak 572 kemalangan jalan raya membabitkan basikal dilaporkan pada 2020, naik 25 peratus berbanding 459 kemalangan pada tahun sebelumnya, menurut perangkaan Polis Trafik (TP).
Jumlah kemalangan yang membawa maut turun sedikit dari sembilan pada 2019 kepada tujuh pada 2020.
Meskipun perangkaan bagi tahun ini belum lagi dikeluarkan, namun beberapa kemalangan maut membabitkan basikal sudahpun dilaporkan oleh media tempatan.
Pada Mei, seorang wanita berusia 49 tahun meninggal dunia selepas bertembung dengan sebuah bas ketika mengayuh basikal di kampus Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Pada lewat bulan yang sama, seorang pengayuh basikal berusia 14 tahun maut menyusuli kemalangan dengan sebuah treler di Marine East Drive.
Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Pengangkutan Saktiandi Supaat berkata terdapat "beberapa alasan munasabah" mengapa jumlah kemalangan yang melibatkan basikal meningkat. Antaranya adalah jumlah pengayuh basikal yang semakin ramai.
Ini juga bermakna terdapat lebih ramai pengayuh basikal baru yang kurang berpengalaman dan pengetahuan tentang keselamatan jalan raya, kata Encik Saktiandi.
Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP) yang mengusulkan sejumlah peraturan berbasikal dan alat mobiliti peribadi (PMD) di tempat-tempat awam, sedang menyemak peraturan-peraturan berhubung kegiatan mengayuh basikal di jalan raya untuk meningkatkan tahap keselamatan para pengayuh basikal dan pemandu.
Namun, pakar pengangkutan bandar Profesor Madya Park Byung Joon berpendapat mungkin tidak perlu ada peraturan lebih lanjut.
"Saya berpendapat peraturan-peraturan sedia ada sudah mencukupi; ia lebih kepada soal penguatkuasaan," kata beliau.
Peraturan lebih ketat tidak akan memperbaiki keadaan sekiranya tenaga manusia dan perkakas pengawasan yang diperlukan untuk menguatkuasakan peraturan tidak dilaksanakan secukupnya, jelas beliau.
Encik Saktiandi berharap peraturan baru tidak akan "melemahkan semangat untuk berbasikal sebagai satu kegiatan riadah dan pengangkutan untuk berulang-alik ke tempat kerja".
Lebih banyak lagi boleh dilakukan untuk memupuk budaya "mengongsi dan menggunakan dengan selamat" jalan raya dan rangkaian penghubung taman di sini, kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.