Skip to main content

Singapura

Kemalangan antara bas sekolah dan kereta di Bukit Timah Road cetus kesesakan trafik selama berjam-jam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kemalangan di Bukit Timah Road melibatkan sebuah bas sekolah dan sebuah kereta pada awal pagi Rabu (6 Mac) telah menyebabkan kesesakan trafik yang memanjang selama berjam-jam.

Kereta itu dilihat terbakar berhampiran tiang lampu yang tumbang. Lampu bahagian depan kereta tersebut dilihat beberapa meter dari kenderaan yang terbakar itu.

Gambar dan video kemalangan, yang berlaku selepas Sixth Avenue, menunjukkan bas sekolah itu hilang kedua-dua roda hadapannya. Cermin depannya pecah dan serpihan, termasuk yang kelihatan seperti buku, bertaburan di jalan raya tersebut.


"HANGUS SEHINGGA TIDAK DAPAT DIKENAL PASTI"


Seorang saksi memberitahu Mediacorp bahawa dia mendengar "bunyi yang sangat kuat" pada pukul 6.05 pagi dari rumahnya di kondominium Royalgreen.

Ia "seperti logam besar jatuh terhempas ke tanah", kata Encik Ang, yang berkata bahawa kemalangan itu berlaku di Bukit Timah Road berhampiran pusingan U selepas Anamalai Avenue.

"Saya menjenguk ke luar balkoni dan kemalangan itu kelihatan sangat serius. Saya melihat beberapa murid sekolah rendah dibawa keluar dari bas sekolah tersebut," cerita pesara itu. Murid-murid itu kelihatannya semua lelaki.

Beberapa letupan kedengaran selepas kereta itu terbakar dan "tiang lampu rosak", katanya sambil menambah keadaan trafik masih sesak pada pukul 10.45 pagi.

"Satu kereta terbakar sehingga tidak dapat dikenal pasti."

Seorang lagi saksi yang tidak mahu dikenali berkata, semua lorong di kawasan itu ditutup kecuali satu ketika dia memandu pada sekitar 8.45 pagi. Dia menyifatkan "kereta itu hangus terbakar".

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sebelum ini memaklumkan para pemandu tentang kemalangan di Bukit Timah Road menuju Woodlands, selepas Sixth Avenue. Catatan di X pada pukul 8.45 pagi menyatakan, kesesakan memanjang sehingga Kheam Hock Road.

Masih ramai anggota polis di tempat kejadian semasa Mediacorp tiba kira-kira pukul 10.20 pagi. Polis sudah mengepung tempat kejadian dan sebuah lori tunda turut kelihatan.

SBS Transit dalam catatan Facebooknya pada pukul 9.00 pagi menyatakan khidmat bas 74, 151, 154, 156, 157, 170, 174 dan 852 mengalami kelengahan di Bukit Timah Road (menuju Clementi Road) akibat kemalangan itu.

Mediacorp sudah menghubungi polis dan Pasukan Pertahan Awam Singapura (SCDF) untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita