Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kemalangan 3 kereta di BKE akibat babi hutan bunting

Seekor babi hutan bunting mati dalam kemalangan yang melibatkan tiga kereta di Ekpreswe Bukit Timah menghala Woodlands.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 22 Jun 2018 10:49AM Dikemas Kini : 22 Jun 2018 08:55PM

SINGAPURA: Seekor babi hutan bunting mati dalam kemalangan yang melibatkan tiga kereta di Ekpreswe Bukit Timah menghala Woodlands.

Dalam kemalangan yang berlaku berdekatan dengan susur keluar Mandai Road malam semalam (21 Jun), isi bangkai haiwan itu terburai. Malah, anak babi yang belum dilahirkan kelihatan bergelimpangan di jalan raya dalam gambar yang dikongsi di media sosial.

Mediacorp difahamkan bahawa tiga kereta tersebut dipandu pada lorong paling kanan ekspreswe ketika haiwan itu melintas jalan raya dari kiri ke kanan. Dua daripada kereta berkenaan melanggar babi hutan itu, sementara kereta ketiga bertembung dengan kereta kedua.

Polis dimaklumkan tentang kemalangan itu pada 7.40 malam dan ia masih menjalankan siasatan.

Insiden ini berlaku tidak lama selepas seekor rusa sambar terpaksa dimatikan selepas cedera parah dalam kemalangan di ekspreswe yang sama pada Ahad lalu (17 Jun). Tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan itu dan seorang pemandu teksi cedera.

Tahun lalu, beberapa kemalangan melibatkan babi hutan juga berlaku di jalan raya Singapura.

Pada bulan September, lima orang cedera dalam dua nahas berasingan di Lentor Avenue dan Ekspreswe Ayer Rajah yang melibatkan babi hutan. Pada bulan November pula, seekor babi hutan ditembak polis kerana mengancam keselamatan orang awam di Jejambat Punggol West. Sebulan selepas insiden itu, seekor babi hutan mengakibatkan kemalangan antara dua kenderaan di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE).

Kementerian Pembangunan Negara menyatakan bahawa ia sedang bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan untuk "menangani masalah-masalah berkaitan babi hutan" di Singapura sebagai menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Sun Xueling pada November lalu.

Pemerintah juga menyatakan bahawa ia akan mempergiat usaha mendidik masyarakat tentang tindakan yang perlu diambil sekiranya berdepan dengan haiwan-haiwan seperti babi hutan. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan