Skip to main content

Singapura

Kemahiran sosio-emosi kanak-kanak tumpuan Brunch Bersama MENDAKI

Melengkapi anak-anak dengan kemahiran sosial dan emosi penting dalam pembangunan awal kanak-kanak. Kemahiran ini perlu diterapkan sejak dari awal, lebih-lebih lagi semasa kanak-kanak itu berusia bawah enam tahun. Demikian dibentangkan dalam acara Brunch Bersama MENDAKI pada 2 September.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Melengkapi anak-anak dengan kemahiran sosial dan emosi penting dalam pembangunan awal kanak-kanak.

Kemahiran ini perlu diterapkan sejak dari awal, lebih-lebih lagi semasa kanak-kanak itu berusia bawah enam tahun.

Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam pembangunan sosio-emosi kanak-kanak kerana mereka ialah guru pertama anak-anak sebelum mereka menjejakkan kaki ke sekolah.

Demikian antara isu-isu utama yang disentuh dalam sebuah ceramah sempena Brunch Bersama MENDAKI pagi ini (2 Sep). Acara tersebut yang diadakan di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat (LLI), adalah yang kedua diadakan bagi tahun ini.

'BERBILANG UPAYA' PENTING UNTUK SI KECIL

Topik ceramah "Ayuh Tingkatkan Potensi Anak Anda Dengan Pelbagai Pendekatan Literasi Abad ke-21" memberi tumpuan kepada "berbilang keupayaan" dan mengapa ia perlu diterapkan dalam kanak-kanak sejak mereka kecil lagi.

Kemahiran ini penting dan berguna bagi kanak-kanak sedang mereka membesar dalam landskap yang kian berubah-ubah di Singapura.

Menurut Cik Rahmah Mohd Ali, seorang pendidik bersekutu Kementerian Pendidikan (MOE), ibu bapa tidak seharusnya terlalu mengutamakan pencapaian akademik sehingga mengabaikan pembangunan sosio-emosi anak-anak mereka.

"Sosio-emosi sebenarnya membantu membina anak-anak lebih yakin, bersemangat waja, 'resilient' kita katakan, untuk mengharungi cabaran-cabaran hidup mereka," kongsi Cik Rahmah, yang merupakan salah seorang penceramah di seminar pagi tadi.

"Ini dapat membantu mereka mengharungi kehidupan atau alam remaja dan seterusnya."

IBU BAPA PERLU DILENGKAPKAN KEUPAYAAN

Setiausaha Parlimen Kanan Pembangnuan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim pula berpendapat, ibu bapa juga perlu membuat perubahan bagi melengkapkan diri mereka dengan keupayaan untuk menyediakan suasana pembelajaran yang holistik.

"Yang penting bagaimana kita boleh membangunkan atau mendidik anak itu supaya mereka boleh mempelajari dari aspek holistik, di mana setiap aspek-aspek pendidikan ini adalah penting untuk membentuk seorang individu yang boleh meningkatkan kecekapan mereka. Dan juga boleh memberi sumbangan yang positif bukan sahaja pada diri mereka sendiri tetapi bagi kehidupan kita," kata Dr Faishal yang hadir sebagai tetamu terhormat di Brunch Bersama Mendaki.

Salah seorang daripada 130 peserta yang hadir pagi tadi ialah Cik Suhaila Subtu, ibu kepada empat orang anak yang berusia antara empat hingga 14 tahun.

Kemahiran baru yang diperolehinya itu akan dimanfaatkan untuk berinteraksi lebih baik dengan anak-anaknya.

"(Saya mempelajari) kemahiran bahasa dan bagaimana memilih buku-buku bahasa untuk anak-anak dan juga mempelajari cara-cara bertutur dan berinteraksi dengan anak-anak," kongsi Cik Suhaila. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita