Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kemahiran merosot, tidak lagi relevan mungkin faktor keupayaan literasi berkurangan dalam kalangan dewasa di SG: Chan Chun Sing

Kemungkinan besar, kemahiran yang merosot selepas seseorang meninggalkan sistem pendidikan formal atau kemahiran itu tidak lagi dianggap relevan di tempat kerja merupakan faktor utama di sebalik kehilangan kecekapan literasi dalam kalangan golongan dewasa lebih berumur di Singapura, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Rabu (8 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kemungkinan besar, kemahiran yang merosot selepas seseorang meninggalkan sistem pendidikan formal atau kemahiran itu tidak lagi dianggap relevan di tempat kerja merupakan faktor utama di sebalik kehilangan kecekapan literasi dalam kalangan golongan dewasa lebih berumur di Singapura, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Rabu (8 Jan).

Satu kajian oleh Pertubuhan bagi Program Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) untuk Penilaian Antarabangsa Kecekapan Orang Dewasa (PIAAC) yang diterbitkan pada Disember lalu mendedahkan bahawa kecekapan literasi golongan dewasa di Singapura berada di bawah purata OECD.

PIAAC menilai keupayaan tenaga kerja untuk memperolehi pengetahuan lanjut dan kemahiran baharu.

Ia dijalankan dalam dua pusingan sejauh ini, dari 2014 hingga 2015 dan 2022 hingga 2023.

Dalam pusingan terkini, sekitar 5,000 rakyat Singapura dan penduduk tetap Singapura berusia antara 16 dengan 55 tahun dinilai dari segi kecekapan literasi dan angka mereka, serta kemahiran menyelesaikan masalah mengikut kesesuaian keadaan.

Kebanyakan negara yang mengambil bahagian dalam kajian itu menyaksikan kemerosotan dalam kecekapan literasi.

Di Singapura, keupayaan literasi bagi golongan dewasa merosot secara mendadak selepas usia 35 tahun dan trend menurun itu berterusan sehingga usia mereka meningkat.

Trend yang berlaku itu mungkin disebabkan oleh gabungan pelbagai faktor, kata Encik Chan di parlimen.

Beliau menukil kesan atrofi di mana kemahiran merosot selepas seseorang itu meninggalkan sistem pendidikan formal dan melangkah ke alam pekerjaan.

Ini mungkin kerana kemahiran itu tidak lagi digunakan secara kerap atau sering diasah berbanding ketika di sekolah.

Beliau juga menarik perhatian kepada kesan keusangan - di mana kemahiran semakin kurang relevan atau tidak lagi digunakan di tempat kerja disebabkan permintaan pasaran yang pesat berubah, kemajuan teknologi dan transformasi perusahaan.

Kesan kohort, di mana kohort lebih muda dapat meraih manfaat daripada peluang pendidikan yang lebih baik berbanding kohort-kohort sebelumnya, juga berkemungkinan satu lagi faktor penyumbang.

Beberapa Anggota Parlimen mengajukan soalan mengenai keputusan kajian PIAAC, di mana mereka bertanya sama ada Kementerian Pendidikan (MOE) mempunyai inisiatif untuk membantu penduduk Singapura mengekalkan kadar keupayaan literasi mereka sedang usia mereka meningkat, dan sama ada kemerosotan dalam keupayaan literasi itu akan menjejas daya pengambilan bekerja golongan berusia 35 tahun dan ke atas.

Encik Chan berkata kini terdapat minat yang semakin mendalam terhadap bagaimana teknologi telah mengubah cara seseorang menerima dan memproses maklumat, di mana lebih ramai orang lebih cenderung ke arah catatan media sosial dan rakaman video ringkas berbanding daripada catatan penulisan yang rumit.

"Apabila penyumberan luar kognitif menjadi lebih berleluasa dengan AI, terdapat juga risiko berlaku penghakisan pemikiran dan renungan yang mendalam," katanya.

PENINGKATAN KEMAHIRAN SELEPAS 15 TAHUN PERTAMA PENDIDIKAN FORMAL

Menjawab pertanyaan tentang kesan daripada hasil kajian PIAAC itu terhadap daya saing tenaga kerja Singapura, Encik Chan berkata kemahiran yang dinilai oleh OECD bukan satu-satunya yang menjejas daya pengambilan bekerja para pekerja tempatan.

Beberapa titik data lain juga perlu dipertimbangkan seperti sama ada para pekerja mempunyai kemahiran khusus kepada pekerjaan itu yang penting untuk daya saing mereka.

Encik Chan menambah terdapat metrik lain yang boleh mengukur daya persaingan sesebuah negara atau tenaga kerja mereka, seperti kadar pekerjaan, jumlah syarikat yang melabur dalam kewujudan pekerjaan yang baik di Singapura, dan sama ada para pekerja masih meraih pendapatan yang tinggi.

"Namun begitu, bagi mengurangkan kesan atrofi dan kemahiran menjadi usang, penting untuk kita terus meningkatkan kemahiran dan mengasah semula kemahiran sepanjang hidup, menjangkau 15 tahun pertama pembelajaran formal," katanya.

"Saya sentiasa menekankan bahawa walaupun kita telah mencapai prestasi yang baik untuk 15 tahun pertama pencapaian pelajar di sekolah, kita juga perlu beri tumpuan kepada tempoh 50 tahun akan datang selepas mereka meninggalkan alam persekolahan."

Justeru, Encik Chan yang juga Menteri Pendidikan Singapura berkata pemerintah telah banyak melabur dalam pendidikan berterusan dan latihan di bawah SkillsFuture - iaitu sebuah skim yang memberi kredit kepada para pekerja untuk menjalani latihan semula atau meningkatkan kemahiran mereka menerusi kursus-kursus.

Namun para individu juga harus bertanggungjawab ke atas perjalanan pembelajaran mereka sepanjang hidup dan mengambil langkah untuk sentiasa meningkat kemahiran masing-masing bagi mengatasi kesan atrofi.

Pada masa yang sama, para majikan juga perlu melabur dalam kesihatan kerjaya para pekerja mereka, seperti dengan menyatakan keperluan kemahiran syarikat dan menyokong para kakitangan mereka untuk menjalani latihan bagi memperoleh keupayaan demi berjaya mencapai matlamat perniagaan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan