Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kemahiran kreatif semakin penting bagi pekerjaan di luar sektor kreatif: Laporan SkillsFuture

Kemahiran kreatif akan menjadi keperluan untuk pekerjaan yang bukan sebahagian daripada sektor kreatif secara tradisi, menurut laporan oleh SkillsFuture Singapore (SSG).

Anggaran Waktu Membaca:
Kemahiran kreatif semakin penting bagi pekerjaan di luar sektor kreatif: Laporan SkillsFuture

Pekerja pejabat di sebuah jambatan bawah tanah di daerah perniagaan pusat Singapura pada 29 April 2021. (Gambar fail: Calvin Oh)

Diterbitkan : 22 Jan 2025 03:04PM Dikemas Kini : 22 Jan 2025 03:06PM
SINGAPURA: Kemahiran kreatif akan menjadi keperluan untuk pekerjaan yang bukan sebahagian daripada sektor kreatif secara tradisi, menurut laporan oleh SkillsFuture Singapore (SSG).

Edisi terkini laporan kemahiran tahunan mendapati tujuh daripada 10 peranan pekerjaan bukan kreatif memerlukan kemahiran kreatif.

Sebagai contoh, pembangun sofwe perlu memahami reka bentuk untuk membuat aplikasi yang mesra pengguna. Pengurus restoran juga memerlukan kemahiran dalam penjenamaan untuk menarik pelanggan, selain daripada menguruskan restoran, kata SSG dalam kenyataan medianya pada Rabu (22 Jan).

Menurut laporan itu, 40 kemahiran kreatif telah menjadi lebih mudah dipindahkan sejak 2019, yang menunjukkan bahawa lebih banyak peranan pekerjaan semakin memerlukan kemahiran kreatif.

Terdapat kira-kira 150,000 karyawan kreatif di Singapura, dan satu pertiga daripada mereka bekerja dalam syarikat industri kreatif, menurut SSG dalam kenyataan medianya. Ini termasuk seni persembahan, reka bentuk produk, media, seni bina, serta penjenamaan, pengiklanan dan pemasaran.

Dua pertiga yang lain mengambil peranan kreatif dalam syarikat lain, menurut laporan SSG.

Permintaan bagi kemahiran perniagaan, pengurusan kewangan dan pengurusan manusia juga kekal tinggi untuk pekerjaan dalam industri kreatif, dan permintaan untuk kemahiran yang berkaitan dengan kecemerlangan operasi semakin meningkat, kata SSG.

Laporan itu turut meneroka persoalan utama – kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap industri kreatif, kata Menteri Negara Pendidikan Gan Siow Huang semasa melancarkan laporan itu pada Rabu (22 Jan).

"Walaupun alat GenAI (AI Generatif) boleh menyokong kerja kreatif, ia juga penting untuk membimbing penggunaan peralatan ini secara beretika," tambahnya.

Untuk laporan itu, 87 karyawan kreatif telah ditinjau tentang sikap mereka terhadap AI Generatif. Kira-kira 85 peratus berkata alat sedemikian memberi kesan kepada kerja mereka, manakala 34.5 peratus berasa negatif tentang kemajuan AI Generatif.

Lebih 50 peratus daripada mereka yang ditinjau telah menggunakan beberapa bentuk alat AI Generatif dalam kerja mereka, dedah laporan itu.

"Para karyawan kreatif menekankan kepentingan menerapkan kreativiti manusia dan keupayaan AI dengan cara yang saling memperkukuh," kata SSG dalam kenyataannya.

"Mereka menyuarakan kebimbangan terhadap isu etika, hak intelek dan kualiti keluaran yang berkaitan dengan penggunaan AI Generatif, yang menunjukkan bahawa mungkin terdapat peranan pekerjaan, tugas atau kemahiran yang baharu didedikasikan untuk menangani kebimbangan ini."

ALAT DAN APLIKASI

Untuk laporan terbaharunya, SSG mengkaji data daripada lebih 5,000 aplikasi dan peralatan digital antara 2019 hingga 2023 untuk memahami cara ia digunakan bagi pelbagai peranan pekerjaan.

Aplikasi dan peralatan "digunakan secara meluas" merentas banyak peranan pekerjaan hari ini, dan senarai dalam laporan itu memberikan pemahaman yang lebih lengkap tentang perkara yang diperlukan oleh pekerja untuk sesuatu pekerjaan, kata SSG.

Keperluan kemahiran untuk aplikasi dan peralatan paling kerap ditemui dalam kerja kosong untuk peranan IT, kejuruteraan dan operasi, menurut laporan itu.

20 aplikasi dan peralatan utama pada 2023 terutamanya terdiri daripada peralatan produktiviti, bahasa pengaturcaraan, serta perisian yang direka untuk mengurus data, proses dan projek, kata SSG dalam kenyataan medianya.

PAPAN PEMUKA BAHARU

Cik Gan juga mengumumkan pelancaran portal online baharu untuk meningkatkan akses kepada data dan pandangan tentang pekerjaan dan kemahiran, yang boleh didapati di sini. Kebanyakan data yang dipaparkan pada papan pemuka datang daripada tawaran kerja kosong online, serta data pemerintah tentang pasaran kerja.

Terdapat enam papan pemuka yang tersedia di portal, termasuk papan pemuka kemahiran dan mobiliti pekerjaan, yang boleh digunakan untuk memahami cara faktor berbeza boleh dipertimbangkan semasa meneroka peluang menukar kerjaya.
Sumber : CNA/SK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan