Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kemahiran diperlukan untuk masa hadapan dibentang dalam laporan sulung SkillsFuture S'pore

Agensi kemahiran kebangsaan SkillsFuture Singapore (SSG) pada Rabu (8 Dis) mendedahkan laporan sulungnya kepada orang ramai yang memberikan gambaran tentang pekerjaan yang mungkin akan mendapat permintaan pada masa akan datang serta kemahiran dan latihan yang diperlukan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kemahiran diperlukan untuk masa hadapan dibentang dalam laporan sulung SkillsFuture S'pore

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 08 Dec 2021 01:28PM Dikemas Kini : 08 Dec 2021 01:31PM

SINGAPURA: Agensi kemahiran kebangsaan SkillsFuture Singapore (SSG) pada Rabu (8 Dis) mendedahkan laporan sulungnya kepada orang ramai yang memberikan gambaran tentang pekerjaan yang mungkin akan mendapat permintaan pada masa akan datang serta kemahiran dan latihan yang diperlukan untuk mengambil peranan-peranan tersebut.

Laporan Permintaan Kemahiran bagi Ekonomi Masa Hadapan yang diterbitkan buat julung-julung kalinya menggariskan tiga bidang pertumbuhan ekonomi dengan jumlah pekerjaan semakin bertambah yang boleh dimanfaatkan oleh tenaga kerja Singapura bagi kemajuan kerjaya jangka panjang.

Dapatan laporan tersebut adalah berdasarkan pangkalan data SkillsFuture Singapore (SSG) berhubung jenis pekerjaan dan penyenaraiannya serta perniagaan, tenaga kerja dan maklumat pasaran serta sumbangan daripada para pakar.

Semasa melancarkan laporan itu pada Rabu (8 Dis), Menteri Pendidikan Chan Chun Sing berkata bahawa gangguan ekonomi yang disebabkan oleh COVID-19 menunjukkan bahawa rentak perubahan di tempat hanya akan bertambah pantas pada masa hadapan.

"Ciri-ciri pekerjaan juga akan berubah dengan lebih pantas. Oleh itu ia bukan mengenai jika, tetapi bila kemahiran yang kita miliki hari ini akan menjadi tidak lagi relevan."

Tiga bidang pertumbuhan utama yang dikenal pasti dalam laporan itu adalah:

- Ekonomi digital
- Ekonomi hijau
- Ekonomi jagaan

Ketiga-tiga bidang yang digariskan itu sejajar dengan keutamaan ekonomi Singapura dalam masa beberapa tahun mendatang, yang dilakarkan dalam pelan-pelan yang dibentangkan oleh kumpulan-kumpulan pemerintah seperti Majlis Ekonomi Masa Hadapan dan Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF).

Bagi setiap bidang pertumbuhan, laporan itu turut menyenaraikan 20 kemahiran yang paling diperlukan secara meluas untuk memastikan para pekerja kekal berdaya saing, berdasarkan peranan-peranan yang mungkin diperlukan dalam masa tiga tahun mendatang.

Laporan itu juga menggambarkan kursus-kursus di bawah gerakan pembelajaran sepanjang hayat SkillsFuture yang para pemohon kerja boleh mendaftar untuk menimba kemahiran-kemahiran tersebut.

Menurut Encik Chan, SkillsFuture Singapore akan mengeluarkan laporan tersebut setiap tahun untuk mengikuti perubahan pesat pada keperluan teknologi dan pekerjaan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan