Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kem Perkasa Warisan dilanjutkan kepada pelajar sekolah menengah tahun depan

 Lebih 1,000 pelajar Darjah 4 daripada 35 sekolah menyertai program Kem Perkasa Warisan 2019.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 1,000 pelajar Darjah 4 daripada 35 sekolah menyertai program Kem Perkasa Warisan 2019.

Jumlah itu tiga kali ganda lebih banyak berbanding edisi sulungnya tahun lalu.

Buat pertama kali, hampir 100 pelajar Madrasah, menyertai program anjuran PA Mesra, MAEC dan Kumpulan Kerja Guru Bahasa Melayu Arif Budiman yang disokong oleh Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Program itu juga bakal dilanjutkan kepada pelajar sekolah menengah tahun depan ekoran sambutan memberangsangkan.

Hari ini (2 Nov) seawal 8.30 pagi lagi 171 pelajar Darjah 4 dari tujuh buah sekolah rendah sudah tiba di Fort Canning Park untuk belajar tentang ulam-ulaman yang biasa digunakan dalam lauk-pauk Melayu.

Mereka adalah pelajar dari Sekolah Rendah Chongzheng, Sekolah Rendah Gongshang, Sekolah Rendah East Spring, Sekolah Rendah Yumin, Sekolah Rendah Park View, Sekolah Rendah Elias Park dan Sekolah Rendah Casuarina.

Mereka diberi tunjuk ajar cara-cara menyediakan urap atau salada menggunakan ulam yang diperkenalkan kepada mereka.

Ia antara usaha untuk mewujudkan pengalaman pembelajaran lebih mendalam di luar lingkungan bilik darjah.

"Saya berasa sangat gembira dan seronok kerana saya dapat pelajari nama-nama herba dan ulam seperti cekur dan petai," kata pelajar Sekolah Rendah Chongzheng Nur Shalynn Mohamed Shahari.

Pelajar Sekolah Rendah East Spring, Upu Puteri Nur Khadijah pula berkta: "Melalui perkhemahan ini saya pelajari tentang khasiat ulam-ulaman. Inilah kali pertama saya membuat salada menggunakan ulam-ulaman."

Kemahiran yang baru ditimba itu digunakan pula sebagai inspirasi untuk para pelajar mencipta resepi salada sendiri untuk dipersembahkan kepada khalayak.

Antaranya termasuk Salada Pegaga & Taugeh,
Salada Bebas, Salada Kacang Panjang dan
Salada Power!

Jelas terpancar keseronokan pada wajah-wajah mereka yang sudah mempelajari sesuatu yang baru dan ghairah untuk berkongsi dengan rakan-rakan serta anggota keluarga.

Sebanyak enam sesi kem Perkasa Warisan diadakan tahun ini berbanding hanya dua sesi pada tahun lalu, apabila program Kem Perkasa Warisan mula dirintis.

Daripada penyertaan 35 sekolah rendah tahun ini, dua adalah madrasah - iaitu Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dan Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah.

"Kita melihat ada peluang bagi kita untuk memberikan ruang. Ruang integrasi bagi para pelajar sekolah dengan pelajar-pelajar sekolah madrasah. Kita telah melakarkan di mana pelajar-pelajar madrasah dan pelajar-pelajar kita di sekolah biasa boleh bersama-sama menikmati. Mendapatkan keseronokan dalam pembelajaran bahasa Melayu," kata Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan, Profesor Madya Muhd Faishal Ibrahim.

Tahun depan, PA Mesra dan Kumpulan Kerja Guru Bahasa Melayu Arif Budiman (AGAB) bakal merintis program serupa, yang diberi nama Citra Warisan, kepada para pelajar Menengah 2 pula.

BERITAmediacorp diberitahu, konsepnya sama namun pendekatannya lebih mendalam sesuai dengan peringkat pendidikan sekolah menengah.

Harapannya, agar para pelajar sekolah menengah juga dapat sama-sama menikmati "tambah nilai" dalam pembelajaran bahasa dan budaya Melayu.

Sementara itu, Dr Faishal turut menyeru para ibu bapa agar dapat merebut peluang untuk meneruskan usaha menggalak anak-anak melestarikan bahasa, budaya dan warisan Melayu dalam sekitaran yang selesa di rumah.

"Di rumah mereka boleh berbincang apakah pengalaman anak anak mereka pada hari ini. Yang kedua selepas berbincang mereka boleh menyediakan jamuan bersama anak-anak mereka dan makan bersama. Ini adalah peluang. Walaupun kita menyediakan peluang ini di peringkat masyarakat dan di peringkat sekolah tetapi peluang yang sangat baik adalah di rumah kerana anak-anak mereka rasa selesa di rumah," ujar Dr Faishal. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan