Skip to main content

Singapura

Kem perintis perkasa bahasa, budaya, warisan Melayu untuk murid sekolah rendah

Seramai lima guru dinobat sebagai penerima Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB 2017).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Nov 2017 05:24PM Dikemas Kini : 11 Nov 2017 09:48PM

BERITAMedicorp: Murid-murid darjah 4 Bahasa Melayu akan berpeluang untuk meningkatkan serta memperdalam kesedaran mengenai bahasa, budaya dan warisan Melayu menerusi sebuah kem yang dinamakan Kem Perkasa Warisan.

Diadakan pada awal tahun depan, kem sehari itu dianjurkan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) dengan kerjasama Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) serta kumpulan kerja Guru-Guru Bahasa Melayu Arif Budiman.

Inisiatif itu dikongsi Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, di luar acara Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) 2017, yang berlangsung hari ini (11 Nov).

Prof Madya Faishal, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) berkata tujuannya, untuk mengukuhkan ruang perkongsian dan pertukaran sumber antara sekolah-sekolah dan masyarakat bagi menyediakan pengalaman pembelajaran bahasa, budaya dan warisan Melayu yang lebih meluas.

Buat permulaan sekolah-sekolah di GRC Nee Soon dan Tampines akan dipelawa menghantar pelajar mereka ke kem Perkasa Warisan.

MLLPC berharap untuk meluaskan lagi inisiatif itu ke lebih banyak sekolah dan GRC pada masa depan.

Di majlis hari ini, seramai lima guru dinobat sebagai penerima Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB 2017).

Mereka dipilih daripada 112 guru yang dicalonkan, 64 dari sekolah rendah manakala 48 dari sekolah menengah, maktab rendah dan institusi pusat.

Pemenang bagi Agab (Teladan) adalah Cik Fauziah Mohamed Ata (Sekolah Rendah Endeavour), Encik Djohan Abdul Rahman (Sekolah Menengah Bishan Park) dan Dr Mohd Pitchay Gani Mohd Abdul Aziz (Institut Millennia).

Penerima bagi Agab (Perangsang) adalah Cik Nurhiza Mohamed
(Sekolah Rendah Cantonment) dan Encik Mohd Jamalludin Mohd Affandi (Sekolah Chung Cheng High, Utama).

AGAB mengiktiraf sumbangan guru-guru bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Guru yang mempunyai lebih 10 tahun pengalaman diberi Agab (Teladan), manakala yang kurang 10 tahun pengalaman diberi Agab (Perangsang).

Menteri Pendidikan Ng Chee Meng, selaku tetamu terhormat di majlis itu akur akan peranan guru yang bertambah rumit dalam berdepan dengan arus perubahan. Justeru, dalam ucapannya beliau berkata guru-guru bahasa Melayu memikul tanggungjawab berat yang tidak terbatas kepada membina keupayaan bahasa Melayu para pelajar dan menanam rasa cinta terhadap warisan dan budaya, malah membimbing golongan pelajar agar menjadi rakyat yang komited kepada Singapura.

AGAB 2017 yang masuk tahun ke-11 menampilkan buat julung-julung kalinya Forum AGAB yang bertemakan Anak Gembira, Anak Berjaya.

Sekitar 250 orang yang terdiri daripada golongan ibu bapa, para pendidik dan pemenang AGAB sebelumnya hadir bagi membincangkan pelbagai topik, termasuk peranan ibu bapa dalam menyumbang kepada pendidikan anak-anak mereka di luar bilik darjah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/HS/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita