Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keluhan peniaga F&B, harap larangan makan di luar ditarik balik seperti dirancang

Makan dan minum akan dibenarkan di tempat F&B seandainya jumlah jangkitan COVID-19 dalam masyarakat kekal terkawal, menurut pemerintah baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para peniaga di kedai kopi dan pusat penjaja mengalami kerugian sehingga 70 peratus sepanjang Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat).

Pengalaman itu semestinya membuat mereka mengharapkan larangan makan di luar ditarik balik pada 21 Jun, seperti dirancang.

Mentelah lagi, usaha beralih ke penjualan online tidak menghasilkan pendapatan yang setimpal.

ADA DI 5 PLATFORM ONLINE TETAPI....

Antara gerai yang menggerakkan wadah digital mereka sebaik saja Fasa 2 (HA) diumumkan sekitar sebulan lalu adalah FS Bros Satay.

Selain menyertai lima platform khidmat penghantaran seperti FoodPanda dan GrabFood, gerai milik dua beradik itu juga meluaskan pemasaran mereka melalui media sosial.

Menu di kedai pula disesuaikan mengikut "selera pelanggan online" seperti menawarkan hidangan set 'platter' sate.

Namun begitu, hasil jualan di wadah online tidak selalu menggalakkan berbanding pelanggan yang datang sendiri ke kedai.

"Dalam satu hari itu, saya menerima dua atau tiga tempahan saja. Kadang-kadang hendak cecah S$50 pun susah.

"Kadang kala, saya hendak bayar gaji pekerja dan membayar sewa kedai pun tidak dapat dilunaskan," ujar pemilik bersama FS Bros Satay Firdaus Sulaiman.

Cabaran itu, menurut beliau, amat berat sekali apatah lagi beliau dan abangnya baru saja membuka gerai mereka pada Februari lalu.

"Cabarannya tiada pelanggan yang datang secara fizikal dan keuntungannya itu amat kecewa. Secara jujurnya, tiada keuntungan langsung,"ujar Encik Firdaus.

Pengalaman mereka berniaga di bawah Fasa 2 (HA) serupa dengan pemilik kedai kopi, Al Nour Kitchen.

Sering membuat promosi melalui wadah Facebook Live, pemiliknya Encik Riskandar Roslan berkata kerugian yang dialami amat besar sekali.

"Dengan kiraan saya, semua saya rasa kerugian dalam 70 peratus. Boleh rasa terkejutlah. Hendak dekat mengimbangi kos itupun kira payah sebab pekerja pun hendak dibayar, sewa hendak dibayar. Banyak benda yang hendak dibayar," luah beliau.

ADA YANG HINGGA TUTUP KEDAI

Bagi gerai yang lebih bergantung kepada pelanggan yang datang secara fizikal dan tidak menggunakan wadah digital, kesannya lebih teruk lagi, tambah Encik Riskandar.

Di kedai kopi beliau yang terletak di kawasan Geylang Serai, separuh pegerai di situ sudah putus asa dan berhenti berniaga.

"Mereka tutup kerana tidak ada sambutan dan tidak ada pelanggan-pelanggan yang datang duduk makan," jelas Encik Riskandar.

Lantaran itu bagi penjaja yang masih bertahan, mereka tidak sabar menantikan 21 Jun nanti apabila orang ramai dibenarkan untuk makan di luar semula.

"Saya menanti-nantikan kedatangan 21 Jun ini apabila Fasa 2 (HA) dibuka semula. Saya harap sangatlah untuk semua vendor saya pun dapat berniaga seperti biasa lagi," kongsi Encik Riskandar.

"Saya harap pada Fasa 3 ini orang ramai dapat datang ke kedai kami dan menolong serta menyokong pegerai-pegerai kami di sini," ujar Encik Firdaus pula.

Makan dan minum akan dibenarkan di tempat F&B seandainya jumlah jangkitan COVID-19 dalam masyarakat kekal terkawal, menurut pemerintah baru-baru ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan