Keluarga wanita meninggal dunia 4 hari selepas disuntik dos penggalak diberikan S$225,000
SINGAPURA: Keluarga wanita yang meninggal dunia sekitar empat hari selepas menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 diberikan S$225,000 di bawah Program Bantuan Kewangan Bagi Kecederaan Vaksin (VIFAP).
Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Ahad (16 Apr).
Ontal Charlene Vargas, seorang warga Filipina, meninggal dunia pada 13 Disember 2021, empat hari setelah disuntik dos penggalak.
Mahkamah Koroner pada Jumaat (14 Apr) diberitahu bahawa punca kematian beliau adalah miokarditis atau keradangan jantung.
Koroner Negara Adam Nakhoda mendapati, berdasarkan imbangan kebarangkalian, ia mungkin ada kaitan dengan vaksinasi COVID-19.
MOH mengesahkan, kematian itu adalah yang kedua terkait dengan vaksinasi COVID-19 di Singapura.
Kematian pertama melibatkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun yang meninggal dunia akibat miokarditis pada 9 Julai 2021, sekitar tiga minggu selepas menerima suntikan vaksin COVID-19.
VIFAP menyediakan "bantuan kewangan muhibah sekali saja" kepada individu-individu yang menerima vaksin COVID-19 di bawah Program Vaksinasi Nasional dan mengalami kesan sampingan teruk yang dinilai mempunyai kaitan dengan vaksinasi COVID-19 yang dijalankan di Singapura.
MOH pada Ahad menyatakan, keluarga Cik Vargas membuat permohonan di bawah VIFAP pada Januari 2023 dan ia dinilai oleh sebuah panel perubatan bebas.
"Panel itu mendapati kematiannya berkemungkinan terkait dengan vaksinasi COVID-19 dan bantuan kewangan sekali saja sebanyak S$225,000 dihulurkan kepada keluarganya di Filipina," menurut MOH.
DIMASUKKAN KE HOSPITAL SEHARI SELEPAS DISUNTIK DOS PENGGALAK
Cik Vargas menerima dos penggalak Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech pada 9 Disember 2011. Sewaktu pemantauan selama 42 minit di klinik itu, beliau tidak menunjukkan sebarang kesan sampingan.
Beliau berasa tidak sihat pada pagi keesokan hari dan menaiki teksi ke Hospital Besar Singapura (SGH).
Wanita itu memberitahu pihak hospital bahawa keluarga beliau tidak mempunyai sejarah penyakit jantung atau masalah jantung kongenital.
Beliau turut berkata, beliau tidak mengalami sebarang tindak balas terhadap dos pertama dan kedua vaksin Pfizer-BioNTech.
Keadaannya bertambah teruk pada 12 Disember 2021.
Meskipun mendapatkan jagaan perubatan yang sewajarnya, keadaannya bertambah teruk dan Cik Vargas meninggal dunia pada 13 Disember 2021.
Koroner memutuskan bahawa kematiannya itu merupakan satu peristiwa perubatan yang malang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.