Skip to main content

Singapura

Keluarga, perniagaan SG akan terima bantuan apabila cukai karbon naik pada 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga, perniagaan SG akan terima bantuan apabila cukai karbon naik pada 2024

(Gambar: TODAY/Ili Nadhirah Mansor)

Diterbitkan : 10 Nov 2022 02:36PM Dikemas Kini : 10 Nov 2022 02:37PM
SINGAPURA: Keluarga-keluarga boleh menjangkakan bantuan daripada pemerintah apabila cukai karbon meningkat mulai 2024. Bantuan akan disasarkan kepada mereka yang terkesan dengan kenaikan harga.

Bantuan itu bukan hanya bertujuan untuk melindungi semua keluarga daripada kesan kenaikan cukai karbon tetapi juga untuk memberi insentif kepada rakyat Singapura untuk melakukan bahagian mereka dan mengurangkan penggunaan tenaga.

Demikian dikatakan Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Grace Fu pada Rabu (9 Nov).

Perniagaan-perniagaan juga akan diberikan masa untuk merancang dan menyesuaikan penggunaan tenaga mereka.

Industri tertentu yang menghasilkan pelepasan karbon tertinggi namun penting bagi perdagangan akan diberi elaun, kata Cik Fu semasa temu bual dalam Singapore Tonight.

"Kami akan membantu keluarga-keluarga seperti mana kami membantu mereka mengurangkan kesan akibat inflasi," kata Cik Fu.

"Memandangkan cukai karbon dikenakan pada kadar yang lebih tinggi, kami akan memantau keadaan dan memutuskan tahap yang sesuai untuk membantu, namun dengan cara yang sangat bersasar."

Ia adalah temu bual pertama Cik Fu sejak Rang Undang-Undang Cukai Karbon diluluskan Parlimen pada Selasa (8 Nov).

Singapura akan menaikkan cukai karbon kepada S$25 setiap tan bagi pelepasan gas rumah hijau pada 2024 dan 2025 dan S$45 setiap tan mulai 2026.
KESAN TERHADAP PENGGUNA

Menangani kebimbangan pengguna tentang kesan kos yang lebih tinggi yang ditanggung oleh perniagaan, Cik Fu berkata kesannya "sebenarnya tidak besar".

Beliau menarik perhatian tentang kadar cukai karbon semasa S$5 setiap tan. Bagi firma besar, mereka menanggung kira-kira S$200 juta cukai karbon dan kos itu diimbangi oleh pemerintah.

"Ia bukan jumlah yang besar. Jika anda melihat jumlah yang kami berikan kepada setiap isi rumah untuk rebat U-Save, jumlah adalah S$580 juta. Jadi hampir tiga kali ganda jumlah tersebut," kata Cik Fu.

Pemerintah akan membantu keluarga-keluarga menangani kesan kenaikan cukai karbon, serupa dengan bagaimana pemerintah membantu mengurangkan tekanan daripada kadar inflasi yang semakin meningkat, tambah beliau.

Memandangkan cukai karbon akan dikuatkuasakan secara beransur-ansur, pihak berkuasa akan memantau keadaan dan memutuskan tahap bantuan yang sewajarnya meskipun dalam cara yang disasarkan.

Cik Fu menambah bahawa walaupun terdapat inflasi dan ketidaktentuan di seluruh dunia, pemerintah masih meneruskan kenaikan cukai karbon berikutan keperluan mendesak untuk menangani perubahan iklim.
Beliau berkata perjalanan ke arah tenaga yang lebih bersih masih panjang dan ia akan melibatkan perubahan asas tentang cara kita menjana kuasa dunia, seperti cara kita bekerja dan jenis tenaga yang digunakan.

"Kita menghadapi peperangan di Ukraine dan inflasi buat masa ini, siapa tahu apa yang akan berlaku beberapa tahun lagi, tapi saya fikir manusia perlu bekerja ke arah itu," katanya sambil menambah bahawa pemerintah dan perniagaan juga perlu bekerjasama ke arah tenaga yang lebih bersih.

KESAN TERHADAP PERNIAGAAN

Perniagaan akan terkesan dengan kenaikan cukai karbon. Sementara itu, mereka digesa untuk memantau bagaimana mereka boleh mengurangkan pelepasan karbon menjelang 2024.

Ada beberapa sektor penting yang melepaskan karbon dengan lebih tinggi disebabkab sifat operasi mereka, tetapi merupakan bahagian penting dalam prasarana perdagangan Singapura, kata Cik Fu, sambil memberi contoh industri petrokimia.

Buat masa ini terdapat kira-kira 50 kemudahan di Singapura yang tertakluk kepada cukai karbon dan ia akan diukur berdasarkan penanda aras industri dan piawaian global, kata Cik Fu.

Beliau menambah bahawa akan ada rangka kerja untuk membimbing pegawai awam dalam membuat keputusan mengenai elaun.

Cik Fu berkata meskipun ada beberapa teknologi yang disediakan, ia memerlukan sejumlah besar pelaburan yang memerlukan tempoh yang panjang untuk firma pulih. Jadi, tempoh ini memberi mereka masa untuk membuat persediaan.

Bagi firma bersaiz sederhana, terdapat geran daripada agensi seperti Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Enterprise Singapore (ESG) untuk menyokong usaha kecekapan tenaga mereka.

"Kami inginkan syarikat untuk memantau kecekapan tenaga mereka dan mengurangkan perbekalan buat masa ini meskipun negara mengubah campuran tenaganya," kata Cik Fu.

Beliau menambah bahawa Singapura bergantung hampir sepenuhnya kepada gas pada masa ini dan perlu mencari bahan api alternatif seperti tenaga boleh diperbaharui atau hidrogen hijau.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita