Keluarga menetap di flat sewa diberi pilihan flat 3 bilik dengan tempoh pajakan lebih singkat mulai Feb

(Gambar: Assoc Prof Muhammad Faishal Ibrahim/Facebook)
BERITAmediacorp: Para pemohon kali kedua yang beranak pinak dan menetap di flat sewa akan diberi pilihan untuk membeli flat tiga bilik dengan tempoh pajakan yang lebih singkat.
Bermula dengan pelancaran flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada bulan Februari, ia akan ditawarkan di bawah Skim Perumahan Permulaan Baru yang dipertingkat, seperti yang diumumkan oleh Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) bagi Kementerian Pembangunan Negara (MND) pada tahun lalu.
Langkah itu diharap akan memberi keluarga-keluarga yang menetap di flat sewa lebih banyak pilihan untuk memenuhi keperluan perumahan mereka.
Flat-flat itu lebih dimampui berbanding flat-flat dengan tempoh pajakan selama 99 tahun.
Demikian menurut Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara dalam catatan Facebooknya pada Selasa (24 Jan).
"Flat-flat yang ditawarkan itu lebih dimampui berbanding flat-flat dengan tempoh pajakan selama 99 tahun," tulis Dr Faishal di Facebooknya.
"Ia akan memanfaatkan terutama sekali mereka yang mempunyai keluarga lebih besar. Ramai keluarga yang tinggal di flat sewa yang saya temui, bercita-cita untuk memiliki rumah mereka sendiri.
"Rumah bukan sekadar tempat tinggal; ia juga memberikan kestabilan, keselamatan, identiti dan jati diri," kata Dr Faishal.
Tambah Dr Faishal, Pemerintah sedia maklum, sebahagian besar keluarga, khususnya mereka yang mempunyai anak, menginginkan ruang yang lebih besar dan persekitaran yang lebih kondusif untuk membesarkan anak-anak mereka.
"Kami berharap dengan pelancaran flat tiga bilik dengan tempoh pajakan lebih singkat di bawah Skim Perumahan Permulaan Baru yang dipertingkat ini, ia akan memberi mereka sokongan dan bantuan tambahan agar mereka berupaya memiliki rumah mereka sendiri pada masa akan datang."
Pemerintah turut meningkatkan Geran Perumahan Permulaan Baru kepada S$50,000 sebagai sebahagian daripada Skim Perumahan Permulaan Baru yang dipertingkatkan itu.
Sepanjang tempoh 10 tahun yang lalu, lebih 7,800 keluarga yang menetap di flat sewa berupaya memiliki rumah mereka sendiri, dengan bantuan pelbagai skim perumahan dan geran Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Dr Faishal turut menekankan bahawa Pemerintah akan terus bekerjasama dengan para penyewa untuk membantu mereka mencapai aspirasi memiliki rumah mereka sendiri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.