Keluarga Melayu tidak guna Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rumah naik sepertiga
Semakin ramai orang Melayu di negara ini tidak menjadikan Bahasa Ibunda mereka sebagai bahasa utama untuk berkomunikasi di rumah, berbanding sedekad lalu.
(Gambar fail: Laman MOE)
SINGAPURA: Semakin ramai orang Melayu di negara ini tidak menjadikan Bahasa Ibunda mereka sebagai bahasa utama untuk berkomunikasi di rumah, berbanding sedekad lalu.
Peratusannya merosot hampir sepertiga menurut data terkini Jabatan Perangkaan (DOS) yang dikeluarkan pada Rabu (16 Jun).
Jika pada tahun 2010, sebanyak 82.7 peratus penduduk Melayu kerap bertutur dalam Bahasa Melayu di rumah, kini hanya 60.7 peratus yang berbuat demikian.
Bahasa Inggeris sebaliknya, semakin sering digunakan keluarga Melayu. 39 peratus didapati bertutur dalam Bahasa Inggeris dalam perbualan seharian mereka di rumah pada 2020. Ini berbanding 17 peratus sedekad lalu.
Namun ini tidak bermakna Bahasa Melayu sama sekali tidak digunakan oleh keluarga Melayu yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama di rumah.
Buat pertama kalinya, DOS turut melakukan tinjauan untuk mencari tahu tentang bahasa kedua paling lazim digunakan para penduduk semasa di rumah.
Hasil tinjauan menunjukkan ternyata 93.3 peratus daripada 39 peratus keluarga Melayu yang didapati biasanya berbicara dalam Bahasa Inggeris di rumah, juga menggunakan Bahasa Melayu dalam perbualan seharian mereka.
PENGGUNAAN BAHASA INGGERIS MENINGKAT BAGI SEMUA PERINGKAT USIA
Umumnya Bahasa Inggeris lebih banyak digunakan oleh golongan muda - baik dalam masyarakat Melayu, Cina mahupun India.
Kalau dalam masyarakat Melayu, sehingga 63 peratus mereka yang berusia antara 5 hingga 14 tahun bertutur dalam Bahasa Inggeris di rumah. Peratusan ini hampir 2.5 kali lebih tinggi berbanding 10 tahun lalu.
Peratusan anggota masyarakat Melayu yang berusia 15 hingga 24 tahun, 25 hingga 34 tahun dan 35 hingga 44 tahun masing-masing adalah 48.5 peratus, 44.9 peratus dan 45.5 peratus pada 2020. Semua peratusan itu juga lebih seganda lebih tinggi jika dibandingkan sedekad lalu.
Sungguhpun demikian, ada suatu trend menarik. Walaupun peratusan anggota masyarakat Melayu lebih berumur yang bertutur dalam Bahasa Inggeris di rumah lebih rendah, perangkaannya turut meningkat - malah melonjak paling tinggi bagi mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas.
Bagi peringkat usia itu, 16 peratus kini banyak bercakap dalam Bahasa Inggeris di rumah. Peratusan pada 2020 ini hampir tiga kali lebih tinggi berbanding 5.5 peratus yang dicatat pada 2010.
PENGGUNAAN INGGERIS MELUAS TIDAK KIRA LATAR PENDIDIKAN
DOS turut merangkumkan penduduk berusia 15 tahun dan ke atas mengikut kelayakan tertinggi yang diperolehi untuk melihat jika latar pendidikan turut mempengaruhi mereka untuk lebih terbiasa bercakap dalam Bahasa Inggeris di rumah.
Bagi penduduk Melayu, penggunaan Inggeris semakin meluas bagi semua kumpulan - pelajar menengah, lulusan ITE, politeknik mahupun universiti.
Perbezaan paling ketara dilihat dalam kumpulan pelajar menengah. Peratusan yang lazimnya bertutur dalam Bahasa Inggeris di rumah tiga kali lebih tinggi, iaitu sebanyak 13.5 peratus pada 2020, berbanding 4.4 peratus pada 2010.
Peratusan lulusan sekolah menengah dan posmenengah pula naik seganda sepanjang tempoh yang sama.
Bagi kumpulan yang mempunyai kelayakan diploma dan profesional, peratusannya meningkat dari 27.3 peratus pada 2010, menjadi 47.9 peratus pada 2020.
Perbezaan bagi lulusan universiti yang bertutur dalam Bahasa Inggeris di rumah 10 tahun lalu dan sekarang, juga boleh dikatakan besar - dari 46.7 peratus kepada 61.4 peratus.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.