Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keluarga Melayu di flat sewa, flat 1 & 2 bilik terus bertambah banyak

Bilangan orang Melayu yang tinggal di rumah-rumah sewa sejak 10 tahun lalu, meningkat lebih 40 peratus. Demikian menurut data terbaru Banci Penduduk 2020 daripada Jabatan Perangkaan (DOS) yang diumumkan hari ini (18 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bilangan orang Melayu yang tinggal di rumah-rumah sewa sejak 10 tahun lalu, meningkat lebih 40 peratus. Demikian menurut data terbaru Banci Penduduk 2020 daripada Jabatan Perangkaan (DOS) yang diumumkan hari ini (18 Jun).

Data tersebut menunjukkan, pada tahun 2010, sebanyak 9.7 peratus keluarga Melayu tinggal di rumah-rumah sewa. Namun pada tahun 2020, bilangannya adalah 14 peratus. Ini suatu pertambahan sebanyak 4.3 peratusan mata.

Sebaliknya, sebagai perbandingan, keluarga kaum India yang tinggal di rumah-rumah sewa merosot daripada 21.9 peratus, kepada 17.1 peratus. Keluarga Cina yang menginap di rumah sewa pula naik sedikit - dari 8.8 peratus kepada 9.2 - iaitu 0.4 peratusan mata.

Hakikatnya di peringkat nasional, bilangan penduduk yang tinggal di rumah sewa sebenarnya merosot dari 11.6 peratus kepada 11.1 peratus.

Mengupas mengenai jenis-jenis rumah yang didiami keluarga-keluarga Melayu pula, Banci Penduduk itu mendapati orang Melayu yang tinggal di flat kecil - iaitu 1 dan 2 bilik - meningkat lebih 80 peratus antara tahun 2010 hingga 2020.

Iaitu pada 2010 orang Melayu di flat 1 dan 2 bilik adalah 8.7 peratus daripada keseluruhan penduduk Melayu. Namun pada 2020 jumlahnya menganjak kepada 16 peratus. Ini pertambahan 7.3 peratusan mata.

Bilangan keluarga Cina dan India di flat 1 dan 2 bilik jauh lebih kecil pada 2020, iaitu masing-masing 5.1 peratus dan 7.7 peratus.

Sementara itu, di kalangan keluarga-keluarga Melayu yang tinggal di rumah lebih besar, 22.3 peratus tinggal di flat 5 bilik atau flat Eksekutif (26.9% pada 2010), 3 peratus tinggal di kondominium atau apartmen (2%), dan 0.7 peratus di hartanah berlaman (0.9%).

PEMILIHAN RUMAH PERINGKAT NASIONAL

Di peringkat nasional, pemilikan rumah dalam kalangan penduduk Singapura kekal tinggi sepanjang dekad lalu, menurut laporan Banci Penduduk tersebut.

Pada tahun lalu, hampir sembilan dalam 10 atau 89.7 peratus isi rumah tinggal di rumah sendiri, meningkat sedikit daripada 87.2 peratus pada 2010.

Pada tahun lalu, kira-kira 78.7 peratus penduduk tinggal di flat Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) dan kira-kira satu dalam tiga penduduk atau 31.6 peratus tinggal di flat empat bilik HDB.

Flat HDB jenis empat bilik kekal sebagai jenis rumah yang paling banyak duduki sedekad lalu.

Isi rumah penduduk yang tinggal di kondominium dan apartmen pula meningkat 4.5 peratusan mata daripada 11.5 peratus pada tahun 2010 kepada 16.0 peratus pada tahun lalu.

Bilangan mereka yang tinggal di hartanah tetap tidak berubah pada kadar 5.0 peratus.

Pada tahun lalu, lebih ramai penduduk Cina yang memiliki rumah sendiri sebanyak 89.6 peratus berbanding 85.6 peratus bagi penduduk Melayu dan dan 82.2 peratus bagi penduduk India, menurut data yang dikumpul DOS.

Apabila diteliti lagi, data itu menunjukkan bahawa terdapat penurunan pada kadar pemilikan rumah dalam kalangan masyarakat Melayu iaitu sebanyak 4 peratusan mata kepada 85.4 peratus pada 2020 berbanding 89.6 peratus 10 tahun sebelumnya.

SAIZ KELUARGA MELAYU MENGECIL

Saiz purata isi rumah pula semakin berkurangan, daripada 3.5 orang pada 2010 kepada 3.2 orang pada 2020.

Khususnya, purata isi rumah yang tinggal sendirian bertambah daripada 12.2 peratus sedekad lalu kepada 22.6 peratus pada tahun lalu. Manakala isi rumah dua orang bertambah hampir 4 peratusan mata daripada 18.8 peratus kepada 22.6 peratus sepanjang tempoh yang sama.

Hampir 60.0 peratus isi rumah mempunyai tiga atau kurang anggota pada 2020.

Saiz isi rumah yang lebih kecil itu lebih ketara di kalangan penduduk Melayu dengan bilangan anggota isi rumah tiga atau kurang meningkat sebanyak 14.2 peratusan mata kepada 49.9 peratus pada tahun lalu berbanding 35.7 peratus 10 tahun sebelumnya.

Kenaikan itu lebih tinggi apabila dibandingkan dengan penduduk Cina dan India.

Bagaimanapun menurut DOS, saiz purata isi rumah Melayu tetap lebih besar iaitu sebanyak 3.7 orang berbanding 3.1 orang untuk isu rumah Cina dan 3.4 orang bagi isi rumah India.

Jumlah pasangan Melayu dan India yang mempunyai anak adalah lebih tinggi iaitu (55.1% dan 54.0%) jika dibandingkan dengan penduduk Cina (45.8%) pada 2020.

Saiz purata isi rumah yang tinggal di flat HDB satu dan dua bilik dan hartanah privet tidak banyak berubah antara 2010 dan 2020.

Dalam kalangan 220,300 isi rumah yang hidup sendiri pada 2020, lebih separuh atau 55.5 peratus masih bujang. Hampir satu pertiga atau 32.5 peratus merupakan individu yang kematian pasangan, bercerai atau berpisah daripada pasangan mereka, meningkat daripada 27.8 peratus pada 2010.

ANGGOTA KELUARGA 65 TAHUN KE ATAS BERTAMBAH

Dengan penduduk Singapura yang semakin menua, bilangan isi rumah yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anggota yang berusia 65 tahun dan ke atas turut bertambah, iaitu daripada 24.1 peratus pada 2010 kepada 34.5 peratus pada 2020.

Bilangan isi rumah di mana semua anggotanya berusia 65 tahun dan ke atas juga bertambah, daripada 4.6 peratus sedekad lalu kepada 9.3 peratus tahun lalu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan