Skip to main content

Singapura

Keluarga, masyarakat tunggak sokongan penting pembangunan belia dan kanak-kanak: Indranee Rajah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Keluarga dan masyarakat merupakan dua tunggak sokongan penting dalam memperkukuh pembangunan asas belia secara positif.

Demikian menurut Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Indranee Rajah semasa memberi ucapan di Simposium MENDAKI 2025 pada Isnin (7 Jul) yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.

Bertemakan “Pemangkin Perubahan: Menggerakkan Masyarakat, Memperkasa Masa Depan”, acara tahunan itu menghimpunkan pelbagai pihak – dari ahli akademik dan pengamal profesional hingga anggota masyarakat – untuk berkongsi pandangan dan memperkukuh kerjasama masyarakat.

Simposium kali ini memberi tumpuan khas terhadap pembangunan kanak-kanak dan belia, sejajar dengan kajian mengenai Pembangunan Belia Positif yang dijalankan Yayasan MENDAKI dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Para peserta di Simposium MENDAKI 2025 (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Ia mendapati bahawa faktor utama yang menjejaskan pembangunan belia termasuk sokongan daripada orang dewasa, peluang mengambil bahagian dalam membuat keputusan dalam keluarga serta kehadiran peran contoh yang positif.

Kajian yang dijalankan sejak 2024 itu melibatkan lebih 600 pelajar sekolah menengah yang mengikuti Program Tuisyen MENDAKI (MTS) dan bertujuan membantu badan itu mengaturkan program yang lebih berkesan dan berdaya inklusif berdasarkan keadaan golongan belia zaman kini.

PERANAN PENTING KELUARGA DAN MASYARAKAT DALAM PEMBANGUNAN BELIA DAN KANAK-KANAK

Cik Indranee menegaskan bahawa keluarga adalah asas utama dalam membentuk generasi muda yang berjaya.

"Keluarga merupakan tunjang masyarakat kita. Mereka adalah barisan sokongan pertama dalam menghadapi masa sukar, dan berperanan besar dalam perkembangan awal serta jangka panjang anak-anak kita,” katanya.

Beliau memberi contoh program KelasMateMatika (KMM), yang membantu ibu bapa membimbing kanak-kanak prasekolah dalam kemahiran asas matematik.

Sejak 2021, KMM telah memberi manfaat kepada lebih 11,000 ibu bapa dan kanak-kanak.

Menurut penilaian MENDAKI pada 2023, sembilan daripada 10 kanak-kanak yang mengikuti KMM tidak memerlukan sokongan tambahan dalam Matematik apabila melangkah ke Darjah 1 – satu peningkatan berbanding lapan dalam 10 kanak-kanak pada tahun sebelumnya. Tahap keyakinan ibu bapa juga meningkat, dengan 95 peratus menyatakan mereka yakin mengajar konsep asas matematik selepas menyertai KMM.

Cik Indranee berkata: “Hasil KMM mengesahkan dua perkara penting: bahawa campur tangan dalam masyarakat menghasilkan keputusan positif, dan langkah menyokong ibu bapa dan keluarga membawa kepada hasil yang baik untuk kanak-kanak. Program seperti ini melengkapi sokongan pemerintah kepada keluarga dalam membesarkan dan menyokong anak-anak mereka, dari sejak lahir sehingga ke tahun-tahun awal.
Para tetamu kehormat semasa di Simposium MENDAKI 2025 (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Namun, pembangunan belia tambah beliau tidak hanya bergantung kepada keluarga.

Penemuan daripada kajian bersama MENDAKI dan SUSS menunjukkan bahawa apabila belia mencecah usia 15 tahun dan ke atas, mereka semakin bergantung kepada sokongan dan pengesahan daripada masyarakat sekeliling.

Bagi memenuhi keperluan ini, MENDAKI telah melaksanakan pelbagai program seperti #amPowered, yang membimbing belia mengenal pasti kekuatan diri dan menetapkan matlamat hidup melalui bimbingan mentor. Sejak 2021, seramai hampir 1,900 mentor telah dilatih untuk membantu lebih 7,900 belia.

Siri “Future of…” juga memberi peluang kepada belia untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar industri, sekali gus memahami keperluan pasaran kerja dan kemahiran masa hadapan.
Para pengunjung berinteraksi dengan pameran di Simposium MENDAKI 2025 (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Dalam ucapannya, Cik Indranee mengajak semua pihak agar turut serta menyumbang masa dan tenaga untuk memperkukuh program-program seperti ini.

“Ia adalah tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap kanak-kanak dan belia di Singapura mempunyai sokongan yang kukuh untuk berkembang dan mencapai potensi penuh mereka,” tambahnya.

Kajian yang dijalankan MENDAKI dan SUSS itu dijangka selesai tahun depan.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita