Keluarga mangsa nahas PIE berat hati sampaikan berita kematian Toffazal Hossain kepada ibu
Keluarga mangsa nahas PIE berat hati sampaikan berita kematian Toffazal Hossain kepada ibu.

(Gambar: ItsRainingRaincoats/Facebook & Social Media)
SINGAPURA: Pekerja hijrahan yang maut dalam nahas jalan raya di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) pada pagi Selasa (20 Apr) adalah seorang warga Bangladesh berusia 33 tahun yang meninggalkan seorang balu, anak lelaki berusia dua tahun dan beberapa anggota keluarga lain yang kesemuanya bergantung kepada pendapatan Allahyarham.
Allahyarham Toffazal Hossain juga amat rapat dengan ibunya yang berusia 57 tahun, kata saudara lelakinya, Abdul Haziz.
Encik Abdul, 27 tahun, menerusi seorang penterjemah bahasa Benggali semalam (21 Apr) memberitahu Mediacorp bahawa ibunya masih belum dimaklumkan tentang kematian abangnya kerana mereka bimbang beliau tidak dapat menerimanya dengan baik. Ini kerana beliau baru sahaja menjalani pembedahan jantung.
"Beliau cuma tahu anaknya kemalangan," kata Encik Abdul, yang merupakan salah seorang daripada lima beradik Allahyarham.
Allahyarham Tofazzal bekerja di Singapura sejak tahun 2009.
Allahyarham adalah antara 17 penumpang, yang berusia antara 23 dengan 46 tahun, yang duduk di bahagian belakang lori apabila ia bertembung dengan sebuah lori jongket di PIE menghala ke Lapangan Terbang Changi sebelum susur keluar Jalan Bahar awal pagi Selasa lalu.
Menurut polis, pihaknya dimaklumkan tentang kemalangan itu sekitar pukul 6.00 pagi dan sudah memberkas pemandu lori berusia 36 tahun itu atas kesalahan memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.
Siasatan sedang dijalankan, menurut polis.
Pusat Pekerja Migran (MWC) menerusi catatan di laman Facebooknya pada Selasa malam menyatakan sembilan pekerja cedera dan sudah dibenarkan pulang dari hospital selepas dirawat bagi kecederaan ringan manakala baki tujuh pekerja masih dirawat di wad.
Daripada tujuh pekerja itu, dua berada di unit jagaan rapi (ICU), menurut pertubuhan bukan pemerintah itu, yang menjaga kebajikan para pekerja hijrahan.
Bapa Allahyarham, yang berusia 63 tahun, yang mengetahui tentang kematian anaknya itu menitiskan air mata semasa bercakap kepada Mediacorp menerusi panggilan telefon dan tidak dapat meneruskan wawancara, selain daripada mengatakan anaknya adalah "anak yang sangat baik" yang kacak dan baik hati.
"Semuanya sudah berakhir," kata bapa Allahyarham, tanpa memberikan namanya. "Tolong kami, kami dalam keadaan yang teruk."
Menurut Encik Abdul, bapanya menghidap kencing manis dan baru sahaja pulih daripada jangkitan COVID-19. Jangkitan yang baru sahaja meragut nyawa datuk Allahyarham bulan lalu.
Encik Abdul menyifatkan abangnya sebagai seorang yang tenang dan tidak pernah bertikai dan disayangi semua orang. Beliau menambah, kali terakhir Allahyarham pulang ke kampung halamannya adalah pada 2018 untuk berkahwin.
Beliau juga berkata tiga hari lalu abangnya dapat bercakap dengan mereka sekeluarga kecuali dengan anaknya yang berusia dua tahun.
Allahyarham pertama kali tiba di Singapura pada 2009 dan akan mengirimkan wang antara 30,000 and 50,000 taka sebulan (S$470 hingga S$784), kata Encik Abdul yang memberitahu Mediacorp bahawa abangnya adalah satu-satunya pencari nafkah untuk keluarganya.
Selain sumbangan terbaru sebanyak 35,000 taka sempena bulan Ramadan, Allahyarham juga memberikan 200,000 taka (sekitar S$3,100) untuk pembedahan jantung ibunya, kata Encik Abdul, yang menambah ibunya juga memerlukan ubat tekanan darah dan insulin untuk kencing manis.
Encik Abdul berkata jenazah abangnya dijadual dihantar pulang petang esok (23 Apr).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.