Skip to main content

Singapura

Keluarga, kewangan dan kesihatan 3 faktor dorong perokok berhenti merokok

Keluarga, kesihatan peribadi dan kestabilan kewangan merupakan antara faktor utama yang mendorong seorang perokok untuk berhenti merokok. Demikian dapatan tinjauan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) pada tahun lalu selepas menjalankan tinjauan ke atas 100 perokok.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Keluarga, kesihatan peribadi dan kestabilan kewangan merupakan antara faktor utama yang mendorong seorang perokok untuk berhenti merokok.

Demikian dapatan tinjauan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) pada tahun lalu selepas menjalankan tinjauan ke atas 100 perokok.

Sehubungan itu, Kempen Pendidikan Awam mengenai Tembakau dilancarkan di peringkat nasional siang tadi bagi meningkatkan kesedaran terhadap bahaya merokok pada kesihatan orang ramai.

Kempen itu dilancarkan oleh Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, Encik Amrin Amin.

Menurut hasil tinjauan HPB, merokok masih disifatkan sebagai antara punca utama menyebabkan kematian tidak disangka-sangka yang paling boleh dicegah di dunia hari ini.

Namun, dianggarkan sekitar enam rakyat Singapura meninggal dunia lebih awal akibat penyakit yang berkaitan dengan tabiat merokok seperti barah, penyakit jantung, dan angin ahmar pada setiap hari.

Menurut HPB lagi, merokok dilaporkan sebagai penyumbang kedua terbesar kepada masalah kesihatan yang dialami rakyat Singapura.

TIGA FAKTOR UTAMA PEROKOK BERHENTI MEROKOK

Menurut Encik Amrin Amin, terdapat tiga faktor utama yang berhasil mendorong perokok supaya berhenti merokok.

Ia adalah kesihatan peribadi, keluarga dan kewangan.

"Kita ingin menyebarkan mesej ini dan kami telah membuat tinjauan mereka yang telah merokok, dan mereka telah memberitahu kami yang faktor-faktor seperti keluarga, seperti kesihatan mereka, dan kewangan itu adalah perkara yang mendorong mereka untuk berhenti merokok atau tidak sama sekali menggunakan tabiat ini," ujarnya yang turut merupakan Setiausaha Parlimen Kanan, Kementerian Ehwal Dalam Negeri.

LANCARKAN IKLAN AGAR BERI KESEDARAN TENTANG BAHAYA MEROKOK

Kempen Pendidikan Awam mengenai Tembakau yang akan berlangsung sehingga bulan Disember akan memaparkan kekesalan seorang perokok menerusi iklan berbentuk emotif yang menunjukkan kesan buruknya terhadap keluarga dan kedudukan kewangan.

"Jadi kempen ini juga ada saranan-saranan di mana kita memberitahu atau memberi idea kepada keluarga apa yang mereka boleh lakukan untuk memujuk mereka yang merokok itu mengadakan atau mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang lain, aktiviti-aktiviti yang lebih sihat contohnya, bersenam, berjalan, menonton tv dan sebagainya," katanya lagi.

PELBAGAI PROGRAM BANTU PEROKOK BERHENTI MEROKOK

Selain iklan itu, Encik Amrin turut berkongsi strategi-strategi yang akan dilaksanakan oleh pasukan HPB untuk menangani tabiat yang merugikan itu.

Antaranya, program 'Smoking Cessation' di mana para perokok diberikan sokongan dan bimbingan untuk membuang tabiat tersebut.

Turut dilancarkan hari ini (14 Okt) ialah kempen ‘I Quit 2018' (#28Days28Ways) yang selain menggalak para perokok supaya berhenti merokok, juga menyarankan 28 kegiatan bermanfaat yang dapat disertai bersama keluarga dan rakan-rakan sepanjang tempoh 28 hari bagi membantu membuang tabiat merokok. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita