Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keluarga-keluarga besar boleh ditawarkan flat sewa 3 bilik mengikut kes

Keluarga-keluarga besar boleh ditawarkan flat sewa 3 bilik mengikut kes.

Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga-keluarga besar boleh ditawarkan flat sewa 3 bilik mengikut kes

Menteri Negara Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

SINGAPURA: Keluarga-keluarga besar yang tinggal di flat-flat sewa boleh ditawarkan flat sewa tiga bilik mengikut kes, bagi memberi lebih sokongan kepada golongan tersebut.

Menteri Negara Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim menarik perhatian usaha itu bagi meningkatkan mutu kehidupan mereka.

FLAT SEWA LEBIH BESAR DALAM KES TERTENTU

Daripada sekitar 50,000 isi rumah yang tinggal di flat sewa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), kurang 10 peratus mempunyai lebih daripada empat anggota yang duduk serumah. Sebilangan besar isi rumah tersebut menetap di flat sewa dua bilik.

Bagi mereka yang tinggal di flat sewa satu bilik, langkah Kementerian Pembangunan Negara (MND) yang membolehkan keluarga tiga anggota atau lebih yang tinggal di flat sewa satu bilik memohon dipindahkan ke flat sewa dua bilik, akan memberi manfaat kepada mereka.

Malah keluarga tiga generasi yang tinggal serumah di flat sewa boleh memohon bagi flat lain di blok yang sama.

Gambar fail sebuah blok flat rumah sewa.

MND, HDB dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) di bawah ComLink juga dapat menawarkan flat sewa tiga bilik dalam kes-kes tertentu, bagi lebih menyokong keluarga besar dengan anak-anak di flat sewa, sekaligus meningkatkan mutu kehidupan mereka.

Dr Faishal berkata: "Saya berasa gembira kerana saya lihat bagaimana kita menyediakan rumah sewa dan kita di MND selalu memikirkan bagaimana kita boleh meningkatkan mutu kehidupan mereka walaupun mereka tinggal di rumah sewa kecil dan juga mungkin ada isu-isu yang mereka hadapi.

"Walaupun ada di kalangan mereka memerlukan sokongan yang lebih, dari segi menyewa flat, kita juga akan memberikan sokongan, jadi tidak kira profil, latar belakang, kita akan sediakan perumahan."

FLAT SEWA LEBIH BESAR DI KAWASAN COMLINK

Menurut MND dan HDB, flat-flat sewa lebih besar itu akan ditempatkan di estet perumahan dengan program ComLink, seperti Kembangan-Chai Chee dan Jalan Kukoh.

Sehubungan itu, ComLink dijangka diperluaskan ke 21 estet dalam masa dua tahun.

Ini berupaya menyokong kesemua 14,000 keluarga dengan anak-anak yang tinggal di rumah sewa bersubsidi.

PILIHAN MOHON FLAT SENDIRIAN TANPA RAKAN SERUMAH

Dr Faishal juga baru-baru ini menarik perhatian warga bujang akan mempunyai pilihan memohon flat sendirian, tanpa perlu mencari rakan serumah, di bawah Skim Berkongsi Flat untuk Orang Bujang (JSS).

Agensi-agensi perkhidmatan sosial kemudian akan memadankan warga bujang lain dengan profil serupa untuk tinggal serumah dan menjadi orang tengah sekiranya pertikaian berlaku antara mereka.

"Ia memberikan ruang bagi agensi-agensi perkhidmatan sosial ini untuk bekerjasama dengan penduduk-penduduk di sana, di mana mereka boleh meningkatkan aspek-aspek interaksi, persefahaman antara penduduk dan juga kalau ada masalah, mereka boleh adakan proses intervensi, merapatkan silaturahim ataupun melihat apakah isu-isu yang harus ditangani.

"Jikalau situasinya tidak menepati sasarannya, mereka boleh pindahkan seseorang itu kepada unit yang lain," jelas Dr Faishal.

Usaha rintis tersebut dijangka dilancarkan lewat tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan