Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keluarga ini sudah lebih 20 tahun bertukar-tukar juadah berbuka bersama jiran tetangga semasa Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bertukar-tukar juadah sesama jiran tetangga.

Budaya ini semakin bersemangat dan bertambah muhibah lebih-lebih lagi semasa bulan Ramadan.

Bagi keluarga Encik Mazli Anwar misalnya, amalan yang dimulakan sejak beliau dan isteri berpindah ke flat mereka di Woodlands 22 tahun yang lalu, masih diteruskan sehingga ke hari ini.


"Amalan ini dicetuskan apabila kami mula menetap di sini sekitar tahun 2000. Saya cuma beritahu isteri apa kata kita bertukar-tukar juadah dengan jiran-jiran?

"Ibu bapa saya menggalakkan kita bertukar-tukar juadah berbuka dengan jiran-jiran juga. Jadi selepas saya berumah tangga pun kami teruskan juga amalan itu," kata Encik Mazli.

Juadah berbuka puasa yang dimasak oleh isterinya dihantar ke lima rumah jiran Melayu pada jam 5.00 petang setiap hari.


Ada yang tinggal sederet dengan flatnya dan ada juga yang menetap di tingkat atas dan bawah rumah mereka.

Makanan yang dihantar ke rumah-rumah jirannya kemudian akan dibalas dengan juadah daripada jiran-jiran itu sendiri.

Walaupun sekadar menghantar makanan, ia tetap bermakna bagi Encik Mazli kerana tradisi itu merupakan salah satu cara untuk beliau sekeluarga mengenali jiran-jiran mereka dengan lebih erat dan mesra lagi.

"Apabila kita bertukar-tukar juadah, kita dapat ketahui bagaimana keadaan jiran kita sama ada mereka sihat ke tidak," kata Encik Mazli.


Budi baik Encik Mazli sekeluarga, amat dihargai oleh jirannya, Encik Sulaiman Mohd Daud, yang juga terdorong untuk meneruskan tradisi tersebut dengan beliau sekeluarga turut membalas dan bertukar-tukar juadah berbuka puasa.

"Alhamdulillah bagi saya sebab tradisi kita orang Melayu/Islam kan, ibarat satu amal jariah di bulan Ramadan. Kami dapat merasakan masakan kami dan masakan jiran, jadi kami lebih bergotong-royong dan bersilaturahim," kata Encik Sulaiman.



KONGSI MAKANAN DENGAN JIRAN BUKAN MELAYU UNTUK MENYERLAHKAN SEMARAK RAMADAN

Dalam usaha menyemarakkan lagi suasana Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang dalam kalangan jiran tetangga yang berlainan agama, Encik Mazli sekeluarga turut bermurah hati untuk mengongsi juadah berbuka puasa bersama mereka.

Antara jiran berbangsa India yang kerap menerima juadah berbuka puasa ialah Cik Sainthamarai, yang sudah lebih 23 tahun menetap di blok tersebut.



"Walaupun saya bukan Melayu yang menyambut Hari Raya, tetapi saya rasa amat baik ada jiran Melayu yang menyambut Hari Raya. Rasa seronok ada jiran seperti itu," kata Cik Sainthamarai, sambil menguntum senyuman.

Lebih manis lagi, mereka juga saling bertukar-tukar juadah semasa musim perayaan masing-masing.

"Setiap tahun mereka beri juadah berbuka puasa kepada kami semua. Pada Tahun Baru Cina pula, kami beri mereka habuan. Rasa gembira seperti satu keluarga," kata Cik Chan Yim pula.


Bagi Lebaran pula, Encik Mazli biasanya akan berkongsi lauk-pauk Hari Raya seperti Lontong, Ayam Masak Merah dan Rendang untuk memperkenalkan adat dan budaya Melayu kepada mereka.

Sekalipun perlu menanggung kos lebih sedikit, Encik Mazli berharap beliau dapat terus mengekalkan tradisi tersebut.

"Perbelanjaan ini pun berbaloi kerana ia dapat merapatkan lagi hubungan jiran serta bangsa lain pun dapat merasakan bagaimana kita orang Melayu/Islam meraikan Hari Raya," jelas Encik Mazli.

Beliau juga berharap agar anak-anaknya dapat mengikut jejak langkahnya itu apabila mereka sudah berkeluarga kelak.

Menariknya, tradisi ini bukan setakat semasa bulan mulia ini sahaja, bahkan ia diteruskan selepas Ramadan.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan