Skip to main content

Singapura

Keluarga ini layan wanita seperti hamba, simbah air panas dan ikatnya di mangkuk tandas

Seorang wanita yang pada awalnya tinggal bersama sebuah keluarga setelah lari dari rumahnya, sebaliknya menjadi hamba mereka setelah mencetuskan kemarahan salah seorang wanita daripada keluarga itu. Ini kerana, dia mengadakan hubungan seks dengan suami wanita itu.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Jan 2021 10:37PM Dikemas Kini : 08 Jan 2021 12:35AM

SINGAPURA: Seorang wanita yang pada awalnya tinggal bersama sebuah keluarga setelah lari dari rumahnya, sebaliknya menjadi hamba mereka setelah mencetuskan kemarahan salah seorang wanita daripada keluarga itu. Ini kerana, dia mengadakan hubungan seks dengan suami wanita itu.

Empat orang daripada keluarga itu mengaku bersalah pada Khamis (7 Jan) atas beberapa jenayah termasuk menyerang wanita berusia 30 tahun itu dan berbohong kepada pihak polis kerana ingin melindungi keluarga mereka.

Muhammad Iskandar Ismail, 32 tahun, dikenakan hukuman penjara selama dua bulan dan empat minggu kerana berbohong kepada pihak polis dan sengaja menyebabkan kecederaan. Abangnya, Muhammad Iski Ismail, 29, dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan kerana berbohong kepada pihak polis dan meminta abangnya supaya berbohong juga.

Dua kakaknya, Hasniza Ismail, 39 tahun dan Haslinda Ismail, 34 tahun, akan dijatuhi hukuman pada tarikh nanti.

Si mangsa disuruh membuat kerja tanpa dibayar, dikurung dalam flat selama setahun setengah dan diikat setiap malam pada katil, piring besi dipasang di tembok atau di mangkuk tandas.

Dua wanita tersebut dan ibu mereka, Hasmah Sulong, menganiaya si mangsa dengan mengetap jari kakinya dengan playar, menghentak giginya dengan penukul dan menyimbah air panas di bahagian lipatan pahanya.

Meskipun dia mengalami kelecuran dan kulitnya melecet serta tidak boleh mengawal untuk membuang air, tiada sesiapa anggota keluarga itu bertindak untuk mendapatkan bantuan perubatan. Sebaliknya, mereka menyapu Dettol, krim atau ubat di bahagian luka.

Hanya apabila Hasniza menyedari bahawa si mangsa terlalu lemah untuk bangun, atau makan dan cecair hitam mula keluar daripada mulut dan hidungnya, barulah dia menelefon ambulans.

Buat beberapa minggu sebelum ini, si mangsa diikat dalam keadaan separuh bogel pada mangkuk tandas di dapur, dalam keadaan berlumuran dengan najisnya sendiri dan makan di lantai tandas itu.

Dia dibawa ke hospital dan didapati dalam keadaan amat tenat, mengalami radang paru-paru dan sepsis di bahagian lukanya. Para pekerja jagaan kesihatan menjangkakan bahawa dia akan meninggal dunia.

Wanita berusia 30 tahun itu, yang memiliki kurang daya intelektual dan dianggap sebagai mangsa berisiko, memiliki pelbagai kecederaan di seluruh badannya - kecacatan di telinganya, 10 gigi hilang, jari kaki cacat - dan teramat kurang zat pemakanan.

Dia memerlukan bantuan pernafasan selama lapan jam di Jabatan Kecemasan dan dihantar ke sebuah hospital lain akibat kelecuran teruk yang dialaminya. Mujur, dia akhirnya pulih dan dibenar keluar hospital setelah lebih tiga bulan, namun masih mengalami kecacatan di bahagian telinganya.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita