Keluarga Hanimeilisa Haron antara penduduk alami trauma; terpaksa berpindah susuli kebakaran ragut nyawa anggota bomba

Ibu dan abang Hanimeilisa Haron di rumah mereka di 91 Henderson Road yang terbakar, pada 9 Disember 2022. (Gambar: Davina Tham/CNA)
SINGAPURA: Cik Hanimeilisa Haron sedang makan di rumahnya selepas pulang dari syif malam apabila beliau terdengar teriakan "Kebakaran, kebakaran!" di luar flatnya di 91 Henderson Road pada Khamis (8 Dis).
Kebakaran itu tercetus sekitar pukul 11.10 pagi dan ketika itu api sedang marak di flat jirannya. Kebakaran itu malangnya meragut nyawa seorang anggota bomba berusia 19 tahun.
Punca kebakaean sedang disiasat.
Semasa Mediacorp melawat tempat kejadian pada Jumaat (9 Dis), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) masih berada di tempat kejadian.
Kebakaran itu bermula dari sebuah flat di tingkat empat yang dihuni Muhammad Azri Ramlan, 21 tahun, isterinya, anak mereka, ibu mertua Encik Azri dan dua adik-beradik isterinya.
Encik Azri berkata, beliau melihat api yang "amat besar berdekatan soket" di tingkap bilik di mana mereka sedang tidur ketika itu.
Beliau segera mengejutkan isterinya, serta adik iparnya, yang sedang tidur di ruang tamu dan mereka bergegas keluar dari rumah tersebut. Tiada seorang pun yang cedera akibat kebakaran itu.
Tambah Encik Azri, beliau kemudian memberitahu jiran-jirannya mengenai kebakaran tersebut dan membuat panggilan kepada SCDF. Keluarga berkenaan dipindahkan ke sebuah flat yang tidak dihuni di tingkat 10 blok yang sama pada Khamis malam.

PEMINDAHAN
Cik Hanimeilisa, 23 tahun, berkata situasi bertukar cemas dengan pantas dan beliau berasa "sangat, sangat takut". Beliau yang berada di rumah bersama ibunya ketika itu, berkata "semua orang panik".
"Perkara pertama yang kami lakukan adalah menyambar kucing-kucing kami," katanya.
Keluarganya berjaya menyelamatkan dua daripada tiga ekor kucing mereka, tetapi kucing mereka yang berusia 10 tahun mati dalam kebakaran tersebut.
Cik Hanimeilisa dan ibunya kemudian menunggu di bawah dengan penduduk-penduduk lain. Mereka tidak tahu pada masa itu bahawa dua jiran mereka yang tinggal di tingkat empat, masih berada di dalam flat mereka.
Jiran mereka - seorang kanak-kanak murid tadika dan seorang remaja berusia 18 tahun - tidak dapat keluar kerana ibu bapa mereka telah mengunci pintu flat mereka sebelum pergi kerja, kata Cik Hanimeilisa.
Beliau kemudian melihat mereka meninggalkan flat tersebut dengan diiringi pasukan bomba SCDF sekitar sejam kemudian.
Penduduk yang menetap di tingkat lain dan turut ditemui Mediacorp berkata, mereka tidak terhidu atau mengesan apa-apa yang mencurigakan sehinggalah mereka terdengar teriakan mengenai kebakaran. Seorang lelaki berkata, beliau tidur sewaktu kejadian itu dan disebabkan itu beliau tidak keluar dari flatnya.
PASCA KEBAKARAN
Pada pagi Jumaat, kedua-dua mertua Encik Azri kembali ke rumah mereka untuk menyelamatkan harta benda seperti pakaian dan pasport daripada rumah mereka yang terbakar itu.
Kawasan di luar rumah mereka juga berwarna hitam yang diselaputi dengan kesan terbakar. Para pekerja juga sedang menanggalkan kabel dari koridor berkenaan.
Sekitar lima unit di sebelah dan bertentangan dengan flat mereka turut kelihatan kosong atau sudah berpindah. Salah satu daripadanya adalah rumah Cik Hanimeilisa.
Buat masa ini, keluarga Cik Hanimeilisa, termasuk ibu bapa dan adik lelakinya, dipindahkan ke sebuah flat yang tidak dihuni di tingkat lapan blok yang sama.
Flat kosong itu tidak mempunyai sebarang perabot, dapur atau peti sejuk, tetapi mempunyai kipas, tilam dan makanan asas yang dibawa oleh para sukarelawan dari We Love Learning Centre (WeLL) yang terletak berdekatan.
Antara relawan tersebut, Donabel Manzaniro, 36 tahun, berkata sekitar lima keluarga belum boleh pulang ke rumah mereka. Para sukarelawan menghulurkan bantuan, seperti membersihkan flat, membeli makanan dan menyediakan barangan yang didermakan kepada keluarga-keluarga berkenaan.
Cik Hanimeilisa berkata, keluarganya dinasihatkan supaya tinggal di flat baru itu selama dua bulan, sedang siasatan terhadap kebakaran itu diteruskan.
Namun, beliau tidak ingin pulang ke flat sewa keluarganya itu, di mana mereka sudah menetap selama 12 tahun, menyusuli pengalaman yang "sangat traumatik" itu.
"Ibu saya tidak mahu pulang kerana beliau berasa trauma akibat kebakaran itu. Beliau tidak ingin melihat unit itu lagi.
"Semuanya berlaku dengan pantas sekali. Jika saya pulang, saya hanya akan fikirkan apa yang sudah berlaku, detik itu.
"Saya menangis sepanjang malam," katanya, sambil menambah bahawa anggota bomba yang meninggal dunia itu adalah "kenalan kawannya, justeru saya amat terkesan".
Cik Hanimeilisa berkata, beliau "agak marah" dengan jirannya itu berhubung kebakaran tersebut, sambil menambah bahawa jiran mereka itu tidak "meminta maaf, atau apapun" kepada keluarganya.
"Mereka terkenal dengan kecuaian mereka, seluruh kejiranan tahu tentang kecuaian mereka. Maka itu, tidak mengejutkan perkara seperti ini berlaku," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan atau membuat sumbangan boleh menghubungi Kelab Masyarakat Henderson melalui nombor telefon 6271 0168, menurut Anggota Parlimen (AP) Henderson-Dawson Joan Pereira dalam catatannya di Facebook pada Jumaat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.