Keluarga digalak berhemat guna elektrik, sedang harga bahan bakar meningkat
Keluarga-keluarga di Singapura digalakkan supaya menggunakan elektrik "dengan berhemat" kerana harga elektrik meningkat disebabkan oleh kenaikan seganda pada harga bahan bakar, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada Selasa (5 Okt).

(Gambar fail: Rachel Phua)
SINGAPURA: Keluarga-keluarga di Singapura digalakkan supaya menggunakan elektrik "dengan berhemat" kerana harga elektrik meningkat disebabkan oleh kenaikan seganda pada harga bahan bakar, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada Selasa (5 Okt).
Dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Parlimen pada Selasa, Encik Gan berkata harga bahan bakar sudahpun naik lebih seganda sepanjang setahun setengah yang lalu, dengan banyak tempat terjejas termasuk China, Jepun, Kesatuan Eropah serta United Kingdom.
"Sebagai pengimport tenaga, Singapura juga akan terkesan dengan naik turun harga dalam pasaran tenaga sejagat," kata Encik Gan.
Beliau memberi respons tersebut kepada soalan-soalan daripada Anggota Parlimen Murali Pillai (PAP-Bukit Batok) mengenai harga gas asli yang sudahpun naik lebih seganda sehingga kini dan dijangka menyebabkan harga elektrik meningkat lebih tinggi pada suku seterusnya.
Encik Pillai bertanya apakah langkah-langkah lanjut yang akan diambil untuk memastikan harga elektrik tidak naik mendadak bagi tempoh ini.
Beliau juga bertanya apakah langkah-langkah yang akan diambil bagi mengurangkan kesan harga elektrik lebih tinggi terhadap keluarga yang sangat terjejas oleh pandemik COVID-19 serta langkah-langkah untuk menggalak keluarga menjadi pengguna lebih cekap tenaga pada masa yang sama.
Encik Gan berkata kesan jangka pendek bagi lonjakan pada harga bahan bakar dikurangkan melalui dua cara - syarikat penjanaan tenaga membeli sebahagian besar gas aslinya di bawah kontrak bekalan gas selama bertahun-tahun. Ia juga memberikan kestabilan harga ini kepada pengguna melalui pelan harga yang tetap.
Harga tinggi bahan bakar yang berlarutan akan akhirnya menjejas harga elektrik Singapura, kata Encik Gan, sambil menambah bahawa Singapura buat masa ini mengimport hampir 100 peratus keperluan tenaganya.
Harga bahan bakar juga berada pada paras rendah buat beberapa waktu dan merosot ke harga paling rendah sejak 20 tahun lalu pada awal tahun ini, kata Encik Gan. Bagaimanapun, harga ini mungkin menigkat sedang permintaan global pulih.
Pada masa yang sama, harga elektrik borong "jatuh" di bawah kos menjana elektrik sepanjang lima tahun lalu disebabkan oleh kapasiti yang berlebihan dalam penjanaannya, kata beliau.
"Dengan permintaan meningkat daripada sektor-sektor seperti pusat data, rangkaian 5G dan kenderaan elektrik, kita akan menyaksikan harga elektrik naik dan pulih ke paras biasa.
"Tiada syarikat yang dikendalikan secara komersil akan menjual elektrik (pada harga) di bawah kos buat selama-lamanya," tambah Encik Gan.
Keluarga yang layak akan menerima Baucar GST - Rebat U-Save untuk menampung perbelanjaan bil api air, kata Encik Gan.
Pada 2021, tambahan 50 peratus rebat disediakan melalui bayaran khas U-Save GST, yang diagihkan pada April dan Julai 2021.
KELUARGA DIGALAK GUNA "ELEKTRIK DENGAN CERMAT"
Encik Gan juga menggalak keluarga untuk menggunakan "elektrik dengan cermat" dalam pelbagai cara. Beliau berkata SP Services sudahpun secara bertahap-tahap menggantikan meter elektrik analog untuk kegunaan di rumah dengan meter yang lebih canggih, yang membolehkan pengguna untuk memantau pengunaan elektrik mereka melalui aplikasi mudah alih SP Utilities.
Ini akan membantu keluarga lebih memahami corak kegunaan elektrik dan menggalak mereka untuk menjadi lebih cekap tenaga, ujarnya.
Selain itu, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyediakan sumber online melalui laman E2Singapore untuk membantu keluarga mereka rumah yang cekap tenaga serta mengamalkan tabiat menjimat tenaga, tambah Encik Gan.
Beliau memberi contoh bagaimana sesebuah keluarga boleh menggunakan "Life Cycle Cost Calculator" untuk membandingkan tahap kecekapan dengan alat elektrik rumah yang berbeza. Mereka juga boleh merujuk kepada panduan kecekapan sumber bagi pemilik rumah baru bagi mendapatkan tip ubah elok rumah yang cekap tenaga.
Pada November tahun lalu, NEA dan agensi air negara PUB melancarkan Program Keluarga Mesra Iklim untuk menggalak keluarga yang tinggal di flat 1 dan 3 bilik menukar kepada peralatan cekap sumber.
"Setiap keluarga yang layak diberikan e-baucar untuk mengimbangi kos pembelian lampu LED mereka, peti sejuk cekap tenaga dan kelengkapan mandi yang cekap air," kata Encik Gan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.