Skip to main content

Singapura

Keluarga dengan anak bawah 12 tahun akan terima Kredit LifeSG Anak S$500 pada Jul

Keluarga-keluarga yang mempunyai anak yang layak akan menerima Kredit LifeSG Anak sebanyak S$500 pada lewat bulan ini, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kenyataan media bersama pada Khamis (3 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga dengan anak bawah 12 tahun akan terima Kredit LifeSG Anak S$500 pada Jul

Gambar sebuah keluarga muda di Singapura. (Gambar: iStock/SDI Productions)

Diterbitkan : 03 Jul 2025 12:46PM Dikemas Kini : 29 Jul 2025 01:14PM
SINGAPURA: Keluarga-keluarga yang mempunyai anak yang layak akan menerima Kredit LifeSG Anak sebanyak S$500 pada lewat bulan ini, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dalam satu kenyataan media bersama pada Khamis (3 Jul).

Mereka yang mempunyai anak remaja juga akan menerima tokokan sebanyak S$500 dalam akaun Edusave atau Pendidikan Pos-Menengah pada Julai, menurut kedua-dua kementerian itu.

Sokongan sekali sahaja itu pertama kali diumumkan dalam kenyataan Belanjawan 2025 pada Februari lalu oleh Perdana Menteri Lawrence Wong bagi meringankan beban membesarkan anak.

KREDIT LIFESG ANAK

Kredit LifeSG Anak bagi kanak-kanak yang dilahirkan antara 2013 dengan 2024 dijadual diagihkan pada minggu bermula 7 Julai, manakala untuk bayi yang dilahirkan pada tahun ini, kredit itu akan diagihkan pada April 2026.

Lebih 450,000 kanak-kanak dijangka meraih manfaat daripada kredit tersebut, menurut kedua-dua kementerian itu.

Kredit itu boleh digunakan di kedai-kedai fizikal dan online bagi perbelanjaan barang rumah seperti barang dapur, produk farmasi, perbekalan dan pengangkutan, dan kedai-kedai itu harus menerima bayaran melalui PayNow UEN QR dan/atau NETS QR.

Pemegang amanah Akaun Pembangunan Kanak-Kanak (CDA) bagi setiap kanak-kanak yang layak akan menerima kredit itu secara automatik dan boleh mengakses kredit itu menerusi dompet digital melalui aplikasi LifeSG.

Tiada sebarang permohonan perlu dibuat, menurut kedua-dua kementerian tersebut.

Para penerima akan dimaklumkan menerusi kiriman SMS sebaik sahaja kredit itu dimasukkan ke dalam dompet digital mereka dalam aplikasi tersebut.

Kiriman SMS itu hanya akan dihantar oleh gov.sg dan hanya menyertakan maklumat mengenai status agihan kredit.

Mereka yang menerima kiriman SMS itu diminta supaya jangan membalas kiriman SMS tersebut, menekan pautan atau menyerahkan sebarang maklumat kepada penghantar SMS itu.

TOKOKAN KEPADA AKAUN EDUSAVE, PENDIDIKAN POS-MENENGAH

Kanak-kanak warga tempatan berusia antara 13 dengan 16 tahun pada tahun ini akan menerima tokokan S$500 ke dalam Akaun Edusave mereka, manakala mereka yang berusia antara 17 dengan 20 tahun pada tahun ini akan menerima tokokan S$500 ke dalam Akaun Pendidikan Pos-Menengah mereka.

"Tokokan itu memantu menampung sebarang perbelanjaan berkaitan pendidikan bagi keluarga-keluarga dengan anak remaja, selain daripada sumbangan Edusave tahunan oleh pemerintah," menurut kedua-dua kementerian itu.

Sekitar 300,000 pelajar dijangka akan meraih manfaat daripada tokokan itu, yang boleh digunakan untuk membayar yuran yang diluluskan dan program pengayaan.

Tokokan itu akan dimasukkan secara langsung ke dalam Akaun Edusave atau Pendidikan Pos-Menengah para pelajar yang layak pada Julai.

Para ibu bapa akan dimaklumkan menerusi kiriman SMS apabila tokokan dibuat.

Pemberitahuan itu juga hanya akan dihantar oleh gov.sg.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita