Skip to main content

Singapura

Keluarga Cik Nor antara penerima komputer riba percuma bagi bantu 3 anaknya belajar di rumah

Apabila Cik Nor mendapat tahu bahawa sekolah-sekolah akan beralih kepada pembelajaran di rumah (HBL) sepenuhnya pada Rabu (8 Apr) beliau khuatir sekiranya ketiga-tiga anaknya tidak akan dapat berbuat demikian.

Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga Cik Nor antara penerima komputer riba percuma bagi bantu 3 anaknya belajar di rumah

Relawan daripada SG Bono memnghantar peralatan seperti komputer riba dan tablet kepada keluarga memerlukan bagi pembelajaran di rumah. (Gambar: SG Bono)

Diterbitkan : 08 Apr 2020 01:11PM Dikemas Kini : 08 Apr 2020 01:17PM

SINGAPURA: Apabila Cik Nor mendapat tahu bahawa sekolah-sekolah akan beralih kepada pembelajaran di rumah (HBL) sepenuhnya pada Rabu (8 Apr) beliau khuatir sekiranya ketiga-tiga anaknya tidak akan dapat berbuat demikian.

Ini kerana mereka hanya mempunyai satu komputer riba di rumah, milik anak perempuannya yang berusia 17 tahun. Komputer riba itu sering mengalami masalah disebabkan oleh penggunaannya yang begitu kerap. Cik Nor mengimbas kembali betapa sukarnya bagi dua lagi anaknya, yang menuntut di Darjah 1 dan 4 untuk mengikuti pelajaran dengan hanya satu komputer riba di rumah apabila HBL pertama kali diumumkan pada 1 April.

Ada banyak bahan online yang perlu dimuat turun dan beliau hanya dapat memuat turun satu persatu.

"Mereka juga perlu menonton video pembelajaran dan ia mengambil masa lebih lama untuk dimuat turun dan dibincangkan," kata ibu berusia 48 tahun itu. "Mereka terpaksa sabar menunggu. Akhirnya, bukan saja anak-anak saya yang berputus asa, saya juga berputus asa."

Anaknya yang paling kecil hanya berupaya menyelesaikan tugasan satu subjek pada hari itu dan beliau tahu anak-anaknya rasa kecewa.

Pada 3 April, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan pembelajaran akan beralih kepada HBL sepenuhnya di tengah-tengah kebimbangan terhadap kes jangkitan yang kian meningkat di Singapura. Langkah HBL sepenuhnya itu akan dilaksanakan selama sekurang-kurangnya sebulan.

Pada mulanya, Cik Nor berasa gusar tetapi perasaan itu berubah sejak beliau menerima dua komputer riba hasil sumbangan derma ReadAble, sebuah kumpulan relawan yang menganjurkan kelas membaca setiap minggu untuk kanak-kanak yang tinggal di kawasan Chin Swee.

"Kami melihat sesetengah keluarga kekurangan komputer riba dan mempunyai beberapa anak yang bersekolah, jadi kami sedang cuba mendapatkan lebih banyak komputer," kata Cik Samantha Kwan, anggota utama ReadAble.

"Kami tidak mahu ia menjadi satu halangan kepada pendidikan, jadi kami sedang cuba memenuhi keperluan."

MENGEJAR MASA MENGHANTAR KOMPUTER RIBA

Sejauh ini, ReadAble sudah menerima 17 permintaan untuk komputer riba dan pasukan itu sedang berusaha untuk mendapatkan derma daripada rangkaian kenalan mereka.

Related article image
Sebuah kereta seorang relawan yang sarat dimuatkan dengan komputer, sedia untuk dihantar kepada penerima. (Gambar: SG Bono)

Sebuah kereta seorang relawan yang sarat dimuatkan dengan komputer, sedia untuk dihantar kepada penerima. (Gambar: SG Bono)

"Menjelang penguatkuasaan langkah memutuskan rantaian COVID-19, kami sudah mengumpul komputer riba daripada kawan-kawan dan syarikat-syarikat yang mendermakan komputer riba yang sudah dibaiki untuk mempersiapkan kanak-kanak yang kami ajar untuk pembelajaran di rumah, tepat pada masanya," kata Cik Kwan.

"Kami memastikan setiap kanak-kanak bertanggungjawab ke atas komputer riba yang kami berikan. Meskipun kami sedia maklum bahawa sekolah-sekolah meminjamkan komputer riba kepada pelajar yang memerlukannya, kami rasa mungkin ia lebih baik jika mereka dapat memiliki komputer riba mereka sendiri," tambah beliau.

Related article image
Relawan daripada READABLE mengajar para penerima programnya mengenai kesejahteraan siber. (Gambar: ReadAble)

Relawan daripada READABLE mengajar para penerima programnya mengenai kesejahteraan siber. (Gambar: ReadAble)

ReadAble bagaimanapun bukan satu-satunya kumpulan relawan yang mencari sumbangan dan menawarkan komputer riba kepada kanak-kanak. Mediacorp juga bertemu dengan SG Bono yang turut menghulurkan bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli komputer atau tablet untuk anak-anak mereka yang masih bersekolah".

"Kami mempunyai komputer (komputer riba dan komputer peribadi) untuk diberikan secara percuma kepada keluarga-keluarga sedemikian jika mereka adalah pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) buat masa ini," menurut catatan Facebook tersebut.

Dalam masa seminggu, SG Bono menerima 1,200 permintaan daripada keluarga-keluarga di merata Singapura, kata Naib Presidennya Lim Keng Hong.
SG Bono sedang berusaha untuk mendapatkan penderma dan penaja korporat kerana ia hanya berhasil mendapatkan 200 komputer riba sejauh ini.

"Apa pun yang berlaku, pendidikan tetap penting." Kumpulan-kumpulan relawan melancarkan derma kilat bagi komputer riba supaya para pelajar boleh melakukan pembelajaran di rumah (HBL).

Untuk menderma komputer riba dan peranti lain:
SG Bono: Laman https://www.facebook.com/sgbono/ atau WhatsApp +65 8444 2227
Engineering Good: Laman https://www.facebook.com/engineeringgood.org/
Bridging The Digital Divide: Laman https://www.bridgethedigitaldivide.sg/donate-laptops 

Sumber : CNA/AY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita