Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keluarga besar 5 generasi teruja dapat beraya di Pulau Ubin selepas 2 tahun

Selepas dua tahun tidak dapat beraya bersama-sama, anggota keluarga 5 generasi Haji Abdullah Haji Salleh berpakat untuk pulang ke kampung.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selepas dua tahun tidak dapat beraya bersama-sama, anggota keluarga 5 generasi Haji Abdullah Haji Salleh berpakat untuk pulang ke kampung.

Kampung halaman yang dimaksudkan sebenarnya tidak jauh dari "tanah besar Singapura"

Haji Abdullah Bin Haji Salleh dahulu menetap di Kampung Sungai Durian di Pulau Ubin.

Dan sudah menjadi tradisi bagi keluarga besar itu untuk berkumpul di rumah pusaka mereka pada setiap Lebaran.

Perjumpaan hari ini (22 Mei) adalah yang ke-15 diadakan.

"Rumah ini ada di sini sejak saya kecil lagi. Ibu saya dibesarkan di sini jadi tentu sekali bila kita sudah besar, kita akan pulang beraya di sini.

"Malah bukan sahaja untuk beraya, setiap minggu kita akan datang sini untuk bermain dengan saudara mara yang lain," kata Encik Muhamad Shahir Abdul Majid, 39 tahun.

Encik Shahir merupakan generasi keempat daripada keluarga besar Haji Abdullah.

Beliau merasa sangat teruja kerana dapat membawa keluarganya berjumpa sanak-saudara di rumah pusaka datuknya di Pulau Ubin selepas sudah dua tahun tidak dapat beraya bersama gara-gara COVID-19.

"Rumah ini ada di sini sejak saya kecil lagi. Ibu saya dibesarkan di sini jadi tentu sekali bila kita sudah besar, kita akan pulang beraya di sini.

"Malah bukan sahaja untuk beraya, setiap minggu kita akan datang sini untuk bermain dengan saudara mara yang lain," kata Encik Shahir, 39 tahun.

Sambutan kali ini juga lebih meriah kerana saudara mara dari seberang tambak juga dapat bersama.

Setiap keluarga juga sepakat mengenakan baju Melayu atau baju batik dengan corak yang sedondon.

Beraneka juadah seperti nasi kerabu, sate ayam dan sambal telur juga dihidangkan kepada para tetamu yang datang.

"Alhamdulillah, syukur Tok sangat berasa gembira betul-betul kerana saudara mara semua sudah berkumpul pada hari ini.

"Dua tahun saya tidak datang. Jadi ini julung-julung kali saya datang di mana pakai tongkat dah, sudah tak berapa kuat lagi. Tetap gagah lagi. Tapi Alhamdulillah meriah betul hari ini," kata Haji Abdullah Haji Salleh, 90 tahun.

Tradisi berkumpul di kampung nenek moyang pada setiap Hari Raya adalah sesuatu yang ingin Encik Shahir teruskan selagi rumah pusaka itu tegak berdiri.

"Pakcik-pakcik saya ada yang tinggal jauh, ada yang tiada lagi. Jadi tanggungjawab inilah saya harus teruskan supaya tradisi ini akan berlanjutan untuk generasi-generasi akan datang.

"Saya bawa anak kedua saya, ia detik bermakna bagi saya kerana anak saya dapat mengalami suasana kampung di sini dengan seisi keluarga. Jadi saya harap ini dapat diteruskan," kata Encik Shahir.

Selaku generasi pelapis, ibu saudara Encik Shahir juga melahirkan harapan agar rumah kampung mereka di Pulau Ubin dapat terus dikekalkan.

"Kita orang Melayu, orang Melayu tinggal di kampung, kita berasal dari kampung. Jadi sangat berharap generasi baru macam anak saudara saya, Shahir dapat ambil alih dan dapat menguruskannya. Semoga dapat memperkenalkan akan adat-adat budaya dan warisan Melayu yang lama," kata Cik Samsiah Abdullah, 65 tahun.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan