Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keluarga besar 4 generasi Wahid Satay gembira dapat berkumpul buat Syawal selepas 2 tahun

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Daripada anak, cucu hinggalah ke cicit - lebih 40 anggota keluarga empat generasi seniman terkenal Wahid Satay, akhirnya dapat berkumpul di bawah satu bumbung pada pagi Syawal hari ini (3 Mei). 

Sudah menjadi tradisi bagi keluarga Pak Wahid Satay, atau nama sebenar Abdul Wahid Ahmad, berkumpul beramai-ramai untuk menyambut lebaran bersama.

Namun, akibat COVID-19, tradisi ini tidak dapat dilaksanakan buat dua tahun berturut-turut.

Namun selepas kelonggaran diumumkan oleh pemerintah baru-baru ini di mana tiada had akan dikenakan buat saiz pengunjung, keluarga beliau mula membuat perancangan untuk berkumpul pada Hari Raya bagi mengubat rindu masing-masing.  

Perasaan gembira hingga tidak terkata turut dirasakan oleh salah seorang cucu Wahid Satay, Mahirah Yasin.

"Nak katakan memang sekarang pun, (perasaan) gementar juga ada sebab dah lama tak jumpa keluarga, terutama sekali sepupu-sepupu semua. Kita memang sangat rapat daripada kecil sekali sehingga sekarang ," kongsi Cik Mahirah, 36 tahun.

"Daripada dulu, rumah keluarga di Eunos iaitu rumah Atok ini, memang kita akan selalu berkumpul beramai-ramai. Ini kirakan rumah pertama untuk kita berkumpul sebelum semua bersurai mengikut jadual masing-masing," tambah beliau. 

SUASANA MERIAH, SEMUA AHLI KELUARGA DAPAT BERKUMPUL 

Bagi anak lelaki Pak Wahid Satay pula, Mohd Raidin, suasana tahun ini disifatkan beliau sebagai "meriah" kerana kesemua ahli keluarga dapat berkumpul bersama. 

Ini berbanding tahun lalu di mana jumlah pengunjung dihadkan kepada lima orang tetamu sahaja.

"Hari ini yang ada sekarang dalam 80 peratus adik beradik, anak saudara, semua lah. Dahulu kita memang selalu berkumpul begini, jadi perasaan ini sangat baiklah ibarat kembali kepada masa lalu," kongsi Encik Raidin, 62 tahun. 

Namun, dengan ramai tetamu yang boleh disambut kali ini, ia juga bermakna lebih banyak persiapan perlu dilakukan.

"Banyak persiapan yang kita buat sekarang ini jadi masakan juga kita menyediakan lebih daripada biasa. Jadi tahun ini dan tahun lalu ada banyak perbezaan, tapi kita bersyukur dapat berkumpul lagi," ujar Encik Raidin, yang merupakan anak keempat daripada enam adik-beradik. 

Namun begitu, ini tidak mendatangkan sebarang masalah buat keluarga itu, yang sudah biasa menerima ramai tetamu sebelum COVID-19.

Menariknya kali ini, ada juga sanak-saudara yang datang dari Kuala Lumpur serta sejauh Australia untuk bersua kembali setelah sekian lama tidak berjumpa.

AIDILFITRI YANG BERMAKNA BUAT PAK WAHID SATAY

Setiap kali mendengar salam yang diberikan tetamu yang datang, jelas terpancar senyuman pada wajah seniman Wahid Satay, 92 tahun. 

Beliau juga berkongsi kepada BERITAmediacorp bahawa beliau tidak sangka ada ramai orang yang datang kali ini.

"Saya bersenang hati kepada anak-anak saya dan cucu-cucu saya dan kepada kesemuanya keluarga saya. Terima kasih banyak," luah Pak Wahid Satay.

Menurut anak beliau, Pak Wahid Satay kelihatan lebih gembira tahun ini dapat dikelilingi anak-cucu dan cicit pada pagi Lebaran berbanding tahun-tahun sudah. 

Bagi memeriahkan lagi suasana, anak-anaknya memainkan lagu-lagu raya nostalgia sambil menikmati hidangan lauk-pauk raya.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan