Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Keluarga angkat' di S'pura pengubat rindu posmen M'sia yang tidak pulang beraya 2 tahun berturut-turut

Semangat kekeluargaan yang wujud antara rakan -rakan sekerja di SingPost menjadikan Siti Sarah Karim ibarat keluarga angkat bagi posmen warga M'sia Muhd Syakir Azman dan Khairul Nazmi Othman.

Anggaran Waktu Membaca:
'Keluarga angkat' di S'pura pengubat rindu posmen M'sia yang tidak pulang beraya 2 tahun berturut-turut

Posmen warga Malaysia, Khairul Nazmi Othman dan Muhd Syakir Azman, bersama rakan sekerja di SingPost, Cik Siti Sarah Karim. (Gambar: BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Semangat kekeluargaan yang dihulurkan pekerja Melayu/Islam di SingPost kepada rakan kerja mereka dari Malaysia cukup menyentuh perasaan.

Dua tahun beraya tanpa keluarga di sisi dek pandemik COVID-19, kehadiran keluarga angkat Singapura itu sedikit sebanyak mengubat rindu tidak dapat pulang beraya.

NIAT MURNI SIAPKAN JUADAH RAYA BAGI RAKAN SEKERJA

Sepanjang Ramadan ini, Cik Siti Sarah Karim, Cik Surati Kamat dan Encik Mohd Haslan Shafie secara bergilir-gilir menyediakan hidangan berbuka puasa bagi rakan-rakan Malaysia mereka.

Menjelang Syawal minggu depan, seperti umat Islam lainnya mereka juga sibuk berbelanja di Pusat Kejiranan Bukit Gombak bagi persiapan Lebaran.

Namun di sebalik kesibukan itu, tersirat juga niat murni untuk menyediakan juadah Hari Raya, untuk rakan-rakan sekerja mereka dari Malaysia di syarikat SingPost yang tidak dapat pulang beraya.

Encik Haslan, 41 tahun, berkongsi: "Sebab saya pun orang Malaysia, saya pun faham perasaan mereka jauh daripada isteri dan anak-anak. Nak berbuka puasa pun, nak cari lauk yang sedap pun susah juga, kita faham itu semua."

Isteri Encik Haslan, Cik Hamidah Nasrun, seorang rakyat Singapura menambah: "Hari-hari biasa pun kami selalu kongsi makan, tapi sejak tahun lepas COVID-19, jadi kami kesian, beraya di rantauan, jadi kami masak untuk mereka juadah Hari Raya."

"Mereka terkilan, Hari Raya tak ke sana. Kalau nak ke sana, kena bayar. Mereka tak berkemampuan. Kalau nak bayar dalam S$2,000 lebih, mungkin rasa tak cukup, sebab gaji mereka pun tak besar mana, jadi ada simpati juga," kata pegawai pos Cik Siti, 54 tahun.

KELUARGA ANGKAT SEBAGAI PENGUBAT RINDU

Secara keseluruhannya, lebih 30 kakitangan Melayu/Islam syarikat SingPost warga Malaysia terpaksa hidup terpisah dari keluarga pada Hari Raya nanti.

Ini gara-gara penutupan sempadan antara Malaysia dengan Singapura demi langkah membendung penularan COVID-19.

Lantaran itu, niat murni Cik Siti dan rakan-rakan sekerja untuk memasak hidangan berbuka dan Hari Raya nanti sedikit sebanyak mengubat rindu mereka kepada keluarga.

Yang jelas, semangat kekeluargaan yang wujud antara mereka menjadikan Cik Siti ibarat keluarga kedua bagi para posmen Muhammad Syakir Azman, 25 tahun, dan Khairul Nazmi Othman, 33 tahun.

Encik Khairul yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 6 tahun meluahkan: "Perasaannya memang sangat kecewa, pasal COVID-19 ini, dah dua kali Raya berturut-turut tak dapat balik, tapi adanya keluarga kedua Kak Siti membantu memberi juadah Hari Raya, kurang sikit rasa kecewanya untuk beraya jauh daripada keluarga."

Encik Khairul yang juga mempunyai anak perempuan dua tahun pula berkongsi beliau semestinya rindu dengan ketupat, lemang, ayam masak merah.

"Tapi bila Kak Siti bagi itu, hilanglah benda itu semua, dapat rasa juga benda-benda itu semua, tapi cuma rindu air tangan isteri, rindu air tangan mak ayah, tapi nak buat macam mana terpaksa bersabar sajalah di sini."

Bagi Cik Siti dan rakan-rakan beliau, mereka bersyukur dapat memberi secebis keriangan dan sokongan kepada rakan-rakan kerja Malaysia mereka sepanjang Ramadan dan Syawal ini.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan