Keluarga anggota kerahan kini boleh dapat keahlian percuma SAFRA, HomeTeamNS
Isteri dan anak-anak anggota kerahan (NSmen) kini boleh mendapatkan keahlian SAFRA dan HomeTeamNS secara percuma hingga Mac tahun depan.
SINGAPURA: Isteri dan anak-anak anggota kerahan (NSmen) kini boleh mendapatkan keahlian SAFRA dan HomeTeamNS secara percuma hingga Mac tahun depan.
Ini adalah sebahagian daripada skim baru yang diumumkan hari ini (3 Okt) oleh Menteri Negara Kanan Pertahanan, Zaqy Mohamad, semasa melakukan lawatan ke SAFRA Yishun.
Antara kegiatan yang anggota kerahan boleh lakukan bersama keluarga di sebuah kelab Home TeamNS atau SAFRA berdekatan rumah mereka termasuklah beriadah di kolam renang ataupun bermain boling.
Kini dengan sekatan perjalanan masih dilaksanakan, satu skim baru diperkenalkan bagi ahli keluarga anggota Home TeamNS dan SAFRA.
Itulah yang dinanti-nantikan Encik Muhd Sabri yang selama ini hanya beliau dan isteri menjadi anggota kelab SAFRA.
Kini ketiga-tiga anaknya dapat mendaftarkan diri secara percuma.
"Jadi dengan skim ini saya berharap sebagai seorang ayah dan bapa kepada anak-anak remaja, saya dapat lapangkan masa untuk kita rekreasi sebagai satu keluarga," kata Encik Muhd Sabri.
Skim baru itu akan menyaksikan hanya seorang ahli keluarga anggota kerahan perlu membayar yuran keanggotaan kelab.
Ahli keluarga yang lain pula boleh mendaftarkan diri sebagai anggota kelab secara percuma dari hari ini hingga hujung Mac tahun depan.
Encik Zaqy, yang melakukan lawatan ke SAFRA Yishun hari ini menyifatkan skim itu sebagai satu pengiktirafan atas sokongan yang diberikan ahli keluarga kepada para anggota kerahan.
"Jadi saya rasa ini amat penting yang mana kita juga meluaskan lagi pendekatan kita kepada rakyat dan keluarga, anggota tentera kita dan keluarga mereka untuk menunjukkan pengiktirafan bagi sumbangan mereka terhadap perkhidmatan negara," ujar Encik Zaqy.
Dengan skim baru itu, SAFRA dan Home TeamNS berharap dapat meningkatkan keanggotaan ahli keluarga kepada lebih 200,000 orang dalam tempoh lima tahun akan datang - naik daripada 93,000 orang sekarang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.