Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keluarga 3 Generasi alu-alukan kenaikan jumlah bonus bayi, pakej jaminan & skim Baucar GST

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Gembira tetapi dibelenggu dengan pelbagai persiapan yang perlu dilakukan bagi menyambut kelahiran anak kedua.

Antara persiapan yang perlu mereka sediakan termasuklah dari segi kewangan.

Isteri Encik Muhammad Faisal Selamat, 31 tahun kini sarat mengandung dan hanya menanti masa untuk melahirkan anak keduanya.



Maka itu, kenaikan hadiah Tunai Bonus Bayi sebanyak S$3,000 yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 ibarat bulan jatuh ke riba buat Encik Faisal.

Mereka layak menerima Hadiah Tunai Bonus Bayi sebanyak S$11,000 untuk anak kedua mereka.

Menteri Kewangan, Lawrence Wong mengumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 bahawa ibu bapa kepada bayi yang dilahirkan pada 14 Februari dan selepas itu akan menerima S$11,000 bagi setiap seorang untuk anak pertama dan kedua mereka, dan S$13,000 bagi anak ketiga dan seterusnya.

Bantuan itu menurut Encik Faisal dapat membantu keluarganya terutama sekali untuk pembiayaan yuran tajaka yang "bukanlah murah sangat" jika dibandingkan dengan sekolah rendah dan menengah.

"Jadi kalau pemerintah memberi kami lagi $3,000, ia tentunya akan membolehkan kita untuk membuat tambahan kepada Akaun Pembangunan Anak (CDA). Kita tidak perlu bimbang tentang yuran sekolah," kongsi Encik Faisal kepada BERITAmediacorp.

"Daripada umurnya letaklah 18 bulan, sehingga sekurang-kurangnya peringkat K2, yurannya semua sudah dibiayai sebab kita membuat kiraan dengan $8,000 yang pemerintah pada mulanya berikan, kita hanya mampu membiayai sehingga 5 atau 6 tahun," tambah beliau.



Selain sekolah, Encik Faisal berkongsi bahawa duit tambahan itu juga dapat digunakan untuk lawatan ke doktor.

"Kita tak perlu risau sangat cukup duit ataupun tidak bila ingin pergi ke doktor sebab semua duit yang pemerintah berikan, kami akan meletakkannya ke dalam CDA dan kami tentunya akan menggunakannya untuk semua perbelanjaan doktor," ujar Encik Faisal.

"Ini membantu kita sedikit sebanyak di mana kita tidak perlu mengeluarkan duit dari kocek," tambah beliau.

PAKEJ JAMINAN DAN SKIM BAUCAR GST BANTU MENAMPUNG PERBELANJAAN RUMAH

Bantuan dan sokongan lain yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 juga disambut baik keluarga tiga generasi itu. Rumah mereka dihuni tujuh anggota keluarga.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Ini termasuk bantuan tunai lebih tinggi di bawah Pakej Jaminan dan skim Baucar GST (GSTV) yang dapat membantu terutama sekali dalam perbelanjaan rumah.

Ia lebih-lebih lagi dengan pembiayaan lebih tinggi ekoran inflasi serta kenaikan kadar GST.

Bagi GSTV misalnya, bayaran tunai akan meningkat daripada S$500 kepada S$700 tahun ini dan kepada S$850 mulai tahun depan bagi warga Singapura yang layak dan tinggal di rumah dengan nilai tahunan sebanyak S$13,000 atau lebih rendah.

Untuk Pakej Jaminan pula, Encik Faisal dan keluarganya antara 2.9 juta warga dewasa Singapura yang akan menerima jumlah antara S$700 dengan S$2,250 secara keseluruhan sepanjang lima tahun, iaitu kenaikan sehingga S$650 daripada bantuan yang diumumkan sebelum ini.

BANTU BIAYA KOS PERUBATAN, RINGANKAN BEBAN ANAK-ANAK



Buat masa ini, flat empat bilik Encik Faisal itu didiami oleh tujuh orang, termasuk ibu dan adik perempuannya serta adik lelakinya yang berkeperluan khas.

Menurut ibunya, Cik Kamisah Ayub, beberapa perkara perlu dia fikirkan lagi-lagi kos perubatan beliau dan anaknya yang berkeperluan khas, termasuk untuk membiayai kos lampinnya.

Lantaran itu, beliau melahirkan rasa lega dengan bantuan tambahan dari pemerintah.

Ia menurutnya dapat digunakan untuk membantu dalam membiayai biaya hospital dan lebihannya bagi simpanan untuk masa depan.

"Macam gembira, ada juga bantuan daripada pemerintah. Jadi dapat juga kata orang tepi-tepikan duit untuk dia. Dia pun dapat juga. Jadi kita tepikan untuk barang-barang dia semua," kongsi Cik Kamisah, 53 tahun yang menghidapi penyakit kencing manis.

"Mungkin simpan separuh untuk duit hospital dan lawatan kita. Ubat pun sekarang sudah naik, semua mahal. Saya pun perlu suntikan dan semua perlu dibeli. Jadi apa-apa pun, simpan sedikit untuk masa depan untuk saya dan anak saya yang istimewa ini," tambahnya.

Pada masa yang sama, Cik Kamisah berpendapat bahawa bantuan itu juga dapat meringankan beban anak-anaknya.

KURANGKAN KESAN KENAIKAN HARGA BARANGAN


(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri) 

Ini termasuk anak perempuannya, Nurul Azira Selamat yang bekerja dalam industri makanan dan minuman (F&B).

"Selalunya kalau kita akan dapat (bantuan) ini, saya dan mak saya akan kongsi. Jadi duit itu kita akan bayar, kebanyakan untuk rumah seperti barang-barang keperluan, barang dapur dan selepas itu, ubat-ubatan untuk mak dan abang saya dan yang bakinya, kita simpan untuk kita belanja keperluan harian," kongsi Cik Azira, 25 tahun, kepada BERITAmediacorp.


Dengan harga barang di Singapura yang semakin meningkat, beliau juga amat mengalu-alukan bantuan yang disediakan.

"Alhamdulillah suka tetapi pada masa yang sama, memang khuatir sangat duit itu tidak cukup atau kita terbelanja lebih. Jadi memang kita akan membuat kira-kiraan dahulu sebelum menggunakan duit itu," ujarnya.

Bantuan itu juga menurutnya dapat membantu dalam perbelanjaan bagi pengangkutan ke tempat kerja serta duit belanja harian.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan