Skip to main content

Singapura

Kelonggaran had penghuni sewa flat HDB, rumah privet dilanjutkan hingga 2028 susuli permintaan kukuh

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Jan 2026 02:31PM Dikemas Kini : 27 Jan 2026 06:21PM
SINGAPURA: Kelonggaran sementara pada had bilangan penghuni seramai lapan penyewa yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan untuk menyewa sebuah flat yang lebih besar dan rumah privet akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2028.

Lanjutan selama dua tahun itu merupakan langkah sementara untuk memenuhi permintaan sewa yang berterusan, menurut kenyataan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (16 Jan).

Kenaikan had penghuni itu membolehkan flat HDB empat bilik dan yang lebih besar, serta rumah privet dengan keluasan sekurang-kurangnya 90 meter persegi, untuk menampung sehingga lapan orang yang tidak mempunyai ikatan kekeluargaan - ditakrifkan sebagai mereka yang bukan daripada unit keluarga yang sama - berbanding had sebelumnya iaitu enam orang.

Had bilangan penghuni itu mula dilonggarkan pada Januari 2024 dan sepatutnya berakhir pada 31 Disember 2026.

Lanjutan itu diumumkan di tengah-tengah peningkatan bekalan perumahan awam dan privet secara bertahap-tahap, kata pihak berkuasa.

Hampir 100,000 unit rumah awam dan privet sudah siap dibina dari 2023 hingga 2025, dengan anggaran lagi 21,000 unit rumah dijangka siap pada 2026, tambah HDB dan URA.

"Walaupun bekalan perumahan yang meningkat membantu mengurangkan kesesakan dalam pasaran sewa dan menyumbang kepada kesederhanaan kenaikan kadar sewa kediaman, permintaan sewa secara keseluruhan tetap kukuh," tambah agensi-agensi itu.

Pemilik flat HDB, serta pemilik dan penyewa hartanah komersial HDB yang mempunyai ruang kediaman, dikehendaki mendapatkan kelulusan HDB sebelum tarikh permulaan tempoh sewa.

Permohonan untuk menyewakan flat HDB atau bilik tidur boleh dikemukakan secara online melalui perkhidmatan elektronik HDB. Pemilik dan penyewa hartanah komersial HDB yang ingin menyewakan ruang kediaman mereka boleh memohon melalui Portal GoBusiness.

Pemilik hartanah privet yang lebih besar dengan keluasan sekurang-kurangnya 90 meter persegi mesti mendaftarkan hartanah mereka dengan URA melalui lamannya untuk layak mendapat had bilangan penghuni yang lebih tinggi.

Mereka akan dimaklumkan setelah pendaftaran mereka diluluskan dan hartanah mereka boleh menampung sehingga lapan orang yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan.

Pemilik dan penyewa flat awam, hartanah komersial HDB dengan ruang kediaman, dan hartanah privet mesti mematuhi had bilangan penghuni dan meminimumkan gangguan terhadap orang awam, menurut HDB dan URA.

"Kelulusan atau kebenaran untuk menyewakan flat dan rumah privet kepada sehingga lapan orang yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan akan ditarik balik atau dihentikan sekiranya berlaku gangguan (ketenteraman) yang serius," menurut pihak berkuasa.

"Kami akan terus memantau keadaan pasaran sewa dengan teliti, dan menyemak keperluan untuk melanjutkan kelonggaran sementara had bilangan penghuni ini menjangkaui 2028."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita