Skip to main content

Singapura

Kelompok kompleks Penjara Changi ditutup; kini ada 22 kelompok aktif COVID-19 di S'pura

Singapura melaporkan 13 kes COVID-19 dalam masyarakat setakat pukul 12.00 tengah hari tadi (8 Jul), termasuk dua kes tanpa hubung kait kepada kes-kes terdahulu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kelompok kompleks Penjara Changi ditutup; kini ada 22 kelompok aktif COVID-19 di S'pura

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 08 Jul 2021 10:46PM Dikemas Kini : 08 Jul 2021 10:48PM

SINGAPURA: Singapura melaporkan 13 kes COVID-19 dalam masyarakat setakat pukul 12.00 tengah hari tadi (8 Jul), termasuk dua kes tanpa hubung kait kepada kes-kes terdahulu.

Satu-satunya kes yang berhubung kait kes terdahulu dikesan melalui pemantauan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Terdapat 13 kes import yang dikenakan notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura. 12 kes dikesan sejurus tiba di Singapura manakala seorang lagi mengalami jangkitan semasa menjalani pengasingan.

Secara keseluruhan, Singapura melaporkan 16 kes baru COVID-19 pada Khamis.

KELOMPOK KOMPLEKS PENJARA CHANGI DITUTUP

Kelompok jangkitan COVID-19 di Kompleks Penjara Changi ditutup setelah tiada kes baru dikaitkan dengannya selama dua tempoh inkubasi atau 28 hari, menurut MOH.

Kini terdapat 22 kelompok aktif COVID-19, antara tiga dengan 94 jangkitan. Kelompok 115 Pusat Makanan & Pasar Bukit Merah View kekal sebagai kelompok terbesar dengan 94 kes.

Kelompok baru yang diumumkan pada Rabu (7 Jul), yang berhubung kait Kes 64599, bertambah satu kes menjadi lima kes secara keseluruhan.

Menurut MOH, jumlah kes baru dalam masyarakat merosot kepada 23 kes pada minggu lalu berbanding 58 kes pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes tanpa hubung kait dalam masyarakat meningkat kepada sembilan kes pada minggu lalu daripada lapan kes pada minggu sebelumnya.

Sebanyak 84 kes masih dirawat di hospital. Kebanyakan daripada mereka berada dalam keadaan baik dan di bawah pemantauan, menurut MOH.

Terdapat 10 kes jangkitan serius yang memerlukan bantuan oksigen, dan dua berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

MOH menyatakan terdapat bukti berterusan bahawa vaksinasi dapat mencegah jangkitan serius jika seseorang dijangkiti.

"Sepanjang 28 hari lalu, 23 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen, dimasukkan ke ICU atau sudah meninggal dunia. 20 belum divaksinasi, tiga sudah menerima satu dos vaksin dan tiada daripada mereka yang sudah lengkap menerima kedua-dua dos vaksin," ia menambah.

Setakat Khamis, Singapura melaporkan 62,668 kes COVID-19 secara keseluruhan dan 36 kematian disebabkan virus itu. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita