Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelompok Changi kini kelompok aktif terbesar dengan 46 kes

Dengan 19 kes baru itu, kini kelompok Lapangan Terbang Changi melaporkan 46 kes, menjadikannya kelompok aktif terbesar di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Kelompok Changi kini kelompok aktif terbesar dengan 46 kes

Orang ramai memakai pelitup di Terminal 1. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 14 May 2021 12:52AM Dikemas Kini : 14 May 2021 12:54AM

SINGAPURA: Sebanyak 19 daripada 24 kes jangkitan dalam masyarakat yang dilaporkan pada Khamis (13 Mei) terkait kelompok Lapangan Terbang Changi. Satu terkait dengan seorang jururawat di Hospital Besar Sengkang.

Dengan 19 kes baru itu, kini kelompok Lapangan Terbang Changi melaporkan 46 kes, menjadikannya kelompok aktif terbesar di Singapura.

Kes-kes itu termasuk seorang penolong khidmat jagaan kesihatan di Raffles Medical di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, seorang pegawai eksekutif runcit di sebuah kedai di Terminal 3, seorang pegawai keselamatan penerbangan di Terminal 3 dan seorang pemandu kereta sewa privet GoJek.

Beberapa pekerja pembersihan di lapangan terbang itu yang digajikan syarikat Ramky Cleantech Services juga diuji positif, begitu juga kontak-kontak kes sebelum ini yang terkait kelompok itu.

Lapan daripada 19 kes baru itu sudah diuji awal positif bagi varian B1617 dari India.

Empat kes dalam masyarakat pula tiada kaitan dengan mana-mana kes sebelum ini.

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) mengenai perincian 34 kes baru COVID-19.

Baki 10 kes adalah kes import dan sudah diberikan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di Singapura.

2 AMAH ANTARA 4 KES TIDAK TERKAIT KES SEBELUM INI

Dua pembantu rumah hijrahan adalah antara empat kes yang tiada kaitan dengan kes-kes sebelum ini.

Salah satu daripada mereka adalah pembantu berusia 43 tahun dari Myanmar yang dikenali sebagai Kes 63127. Satu lagi adalah pembantu rumah dari Filipina berusia 51 tahun yang dikenali sebagai Kes 63147. Pembantu rumah dari Filipina itu diuji awal positif bagi varian B1617 dari India dan sedang menunggu keputusan ujian pengesahan.

Dia mengalami demam pada 8 Mei dan mendapatkan rawatan di sebuah klinik. Pada 12 Mei, dia mengalami demam, batuk, selesema dan sakit kepala dan mendapatkan rawatan di klinik yang sama dan diuji bagi COVID-19. Keputusan ujiannya positif hari yang sama.

Pembantu rumah Myanmar itu pula mengalami sengal-sengal badan, selesema dan demam serta sakit tekak antara 8 Mei hingga 10 Mei. Dia kemudian mendapatkan rawatan di sebuah klinik pada 10 Mei dan diuji bagi COVID-19 pada keesokan harinya. Keputusan ujiannya positif pada 12 Mei.

Lagi dua kes yang tidak terkait mana-mana kes sebelum ini adalah suri rumah rakyat Singapura berusia 47 tahun dan seorang guru tuisyen rakyat Singapura berusia 50 tahun di Learning Point.

Suri rumah itu, yang dikenali sebagai Kes 63120, juga diuji awal positif bagi varian B1617 dan sedang menunggu keputusan ujian pengesahannya.

PELAJAR TERKAIT KES JURURAWAT HOSPITAL BESAR SENGKANG

Seorang pelajar berusia tujuh tahun di Sekolah Rendah Yio Chu Kang yang diuji positif bagi COVID-19 pada 12 Mei dikaitkan dengan seorang jururawat bilik pembedahan di Hospital Besar Sengkang yang diuji positif pada 11 Mei.

Budak lelaki itu adalah kontak serumah dengan jururawat tersebut. Kedua-duanya warga Filipina, menurut MOH.

Setakat Khamis, Singapura melaporkan sebanyak 61,451 kes COVID-19 dan 31 kes kematian.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan