Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelompok baru COVID-19 dikesan di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah; 8 kes sejauh ini

Kelompok baru COVID-19 dengan sebanyak lapan kes dikesan di sebuah madrasah tempatan pada Selasa (7 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Kelompok baru COVID-19 dikesan di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah; 8 kes sejauh ini

(Gambar: Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah/Facebook)

Diterbitkan : 07 Sep 2021 11:42PM Dikemas Kini : 07 Sep 2021 11:44PM

SINGAPURA: Kelompok baru COVID-19 dengan sebanyak lapan kes dikesan di sebuah madrasah tempatan pada Selasa (7 Sep).

Singapura melaporkan sebanyak 328 kes jangkitan tempatan hari ini, termasuk 185 kes yang tidak terkait dengan kes-kes terdahulu.

Dalam kalangan kes baru itu, 91 kes berhubung kait dengan kes-kes terdahulu dan sudah dikenakan kuarantin.

52 kes berhubung kait dengan kes-kes lalu dan dikesan menerusi ujian pemantauan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya.

Empat warga emas berusia 70 tahun ke atas yang belum divaksin atau sudah menerima satu dos vaksin berisiko sakit teruk dan mereka adalah antara kes-kes tempatan hari ini, menurut MOH.

Selain itu, terdapat empat kes import yang sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan sebaik tiba di sini.

Dua daripada kes-kes import itu dikesan sebaik tiba di Singapura manakala lagi dua mengalami jangkitan semasa menjalani SHN atau tempoh pengasingan.

Secara keseluruhannya, Singapura melaporkan 332 kes baru COVID-19 pada Selasa, iaitu perangkaan tertinggi sejak 5 Ogos tahun lalu.

Jumlah kes jangkitan dalam masyarakat meningkat dari 771 pada minggu sebelumnya kepada 1,489 pada minggu lalu, menurut MOH.

Jumlah kes tanpa hubung kait pula meningkat dari 184 kes pada minggu sebelumnya kepada 677 pada minggu lalu.

KELOMPOK BARU DI MADRASAH

MOH pada Selasa turut mengenal pasti satu kelompok baru di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah di Braddell Road. Lapan kes berhubung kait dengan kelompok itu, termasuk enam kes baru yang dilaporkan hari ini.

Satu kelompok sudah ditutup.

Sebanyak 20 kes baru dikaitkan dengan kelompok melibatkan sebuah tapak binaan di 30 Sunview Way, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 26 kes.

Lebih banyak kes juga dikaitkan dengan lapan kelompok melibatkan pusat-pusat pertukaran bas di Tampines, Boon Lay, Jurong East, Toa Payoh, Bishan, Clementi, Punggol dan Sengkang. Kelompok-kelompok tersebut kini mempunyai sebanyak 537 kes secara keseluruhannya.

Buat masa ini, terdapat 53 kelompok aktif di Singapura, yang melaporkan antara 3 dengan 291 kes jangkitan.

24 SAKIT TERUK, 6 DALAM KEADAAN TENAT

Sebanyak 643 kes sedang menjalani rawatan di hospital.

24 daripada kes-kes berkenaan sakit teruk dan memerlukan bantuan oksigen tambahan manakala lagi enam dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi (ICU).

Dalam kalangan mereka yang sakit teruk, 22 adalah warga senja yang berusia 60 tahun ke atas, dengan 14 daripada mereka belum divaksin atau sudah menerima satu dos vaksin.

"Terdapat bukti berterusan bahawa hampir kesemua individu yang sudah divaksin sepenuhnya tidak sakit teruk apabila terjangkit koronavirus kecuali jika mereka mempunyai keadaan perubatan yang menyebabkan mereka mudah terjejas," menurut MOH.

"Sepanjang 28 hari lalu, peratusan individu belum divaksin yang sakit teruk atau meninggal dunia adalah 6.1 peratus, manakala mereka yang sudah lengkap divaksin adalah 0.8 peratus."

81% PENDUDUK SUDAH SELESAI REJIM VAKSINASI

Setakat Isnin, lebih 8.8 juta dos vaksin COVID-19 sudah diberikan di bawah program vaksinasi negara. Ia merangkumi lebih 4.5 juta individu, dengan 4.3 juta sudah selesai menjalani rejimen vaksin sepenuhnya.

Lagi 171,961 dos vaksin lain yang diiktiraf bagi kegunaan darurat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga sudah diberikan, meliputi 86,204 individu.

Secara keseluruhannya, 81 peratus penduduk Singapura sudah selesai menjalani rejimen vaksinasi negara atau menerima dua dos vaksin COVID-19 dan 83 peratus sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos.

Setakat Selasa, Singapura melaporkan 69,233 kes COVID-19 secara keseluruhannya. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan