Skip to main content

Singapura

Kelengahan waktu perjalanan akibat gangguan isyarat pada Laluan Utara-Timur

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Para penumpang perlu menempuh masa perjalanan pulang yang lebih lama semasa waktu sibuk pada lewat petang Selasa (15 Nov).

Ini selepas khidmat kereta api di Laluan Utara-Timur (NEL) arah selatan menuju ke Habourfront mengalami gangguan pada sistem isyarat. Gangguan tersebut menjejas stesen-stesen MRT di antara Boon Keng dengan Potong Pasir.

Dalam satu catatan di Twitter pada 6.37 petang semalam, pengendali kereta api SBS Transit memaklumkan para penumpang agar mengambil kira masa tambahan selama 10 minit dalam perjalanan kereta api.

Kemudian pada 6.53 petang, SBS Transit memberi kemas kini kepada para penumpang untuk menjangkakan waktu perjalanan tambahan selama 20 minit.

Pada 7.40 malam, ia menyatakan bahawa khidmat bas percuma disediakan secara berkala di perhentian-perhentian tertentu di sepanjang NEL.

Dalam catatan-catatan seterusnya di laman Twitter, pengendali kereta api tersebut kemudian menasihati para penumpang supaya menggunakan perjalanan-perjalanan alternatif bagi meneruskan perjalanan mereka.

"Anda boleh menggunakan laluan MRT yang lain sekiranya anda berada di (stesen) HarbourFront, Outram Park, Chinatown, Dhoby Ghaut, Little India atau Serangoon," nyata SBS Transit dalam catatan tersebut.

SBS Transit juga menyatakan bahawa para penumpang boleh mendapatkan sebarang bantuan daripada kakitangan mereka.

Seorang penumpang berkongsi di kumpulan Facebook Tata SMRT - sebuah kumpulan yang memuat naik kemas kini secara berkala mengenai sebarang gangguan khidmat kereta api atau bas di Singapura - bahawa hampir tiada ruang untuk berjalan di platform tersebut selepas para penumpang turun dari tangga bergerak.

Dalam catatan yang dimuat naik pada 9.05 malam di laman Twitter, SBS Transit memaklumkan bahawa khidmat kereta api sudahpun disambung semula sejak pukul 8.52 malam manakala khidmat bas percuma dihentikan.

Dalam menjawab pertanyaan Mediacorp, Cik Grace Wu, Naib Presiden (Gred Khas) Pengalaman dan Perhubungan Pelanggan di SBS Transit, berkata perkhidmatan kereta api NEL beroperasi pada kekerapan yang lebih panjang selama sekitar 2.5 jam pada lewat petang Selasa disebabkan kerosakan sistem isyarat di landasan-landasan di stesen Potong Pasir.

Oleh sebab itu, Cik Wu menjelaskan kereta api terpaksa dipandu secara manual pada kelajuan yang lebih perlahan sedang ia melakukan perjalanan di antara stesen Potong Pasir hingga Boon Keng.

Beliau menambah khidmat kereta api disambung semula seperti sedia kala mengikut jadual pada pukul 8.52 malam sedang para jurutera menjalankan kerja-kerja pembaikan sementara pada kabel isyarat yang rosak itu.

Kerja-kerja pembaikan sepenuhnya diteruskan semasa waktu kejuruteraan pada Selasa malam.

"Kami memohon maaf kepada para penumpang yang terjejas atas sebarang kesulitan. Sementara itu, kami sedang menjalankan siasatan ke atas insiden tersebut."
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita