Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelengahan pindah kes COVID-19 & mutu makanan isu dibangkitkan pekerja dormitori Jalan Tukang

Para pekerja hijrahan yang tinggal di dormitori Westlite Jalan Tukang membangkitkan isu-isu berkaitan penangguhan memindahkan kes-kes positif COVID-19 dan mutu makanan katering semasa satu lawatan oleh Pusat Pekerja Hijrahan (MWC) pada Jumaat (15 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Kelengahan pindah kes COVID-19 & mutu makanan isu dibangkitkan pekerja dormitori Jalan Tukang

(Gambar: MWC)

Diterbitkan : 20 Oct 2021 04:22PM Dikemas Kini : 20 Oct 2021 04:24PM

SINGAPURA: Para pekerja hijrahan yang tinggal di dormitori Westlite Jalan Tukang membangkitkan isu-isu berkaitan penangguhan memindahkan kes-kes positif COVID-19 dan mutu makanan katering semasa satu lawatan oleh Pusat Pekerja Hijrahan (MWC) pada Jumaat (15 Okt).

Para kakitangan MWC yang diiringi oleh wakil daripada Kesatuan Pekerja Kejuruteraan Marin dan Binaan Kapal mengadakan lawatan ke dormitori itu bagi mendampingi para penduduk dan mengesahkan bahawa isu-isu yang diketengahkan sedang ditangani, menurut pengerusi MWC Yeo Guat Kwang hari ini (20 Okt) dalam satu kenyataan media.

MWC juga memeriksa "keadaan fizikal dan emosi" para pekerja dan menawarkan bantuan untuk menyelesaikan "sebarang isu berkaitan kebajikan atau pekerjaan baru atau isu-isu lain yang mungkin mereka hadapi", menurut kenyataan itu lagi, sambil menambah bahawa MWC bercakap kepada hampir 200 pekerja semasa lawatan tersebut.

MWC merupakan inisiatif perikatan dua pihak Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF).

PENANGGUHAN MEMINDAHKAN KES-KES JANGKITAN

Minggu lalu, Mediacorp melaporkan bahawa polis rusuhan dikerahkan ke dormitori itu di Jurong, menyusuli dakwaan berlaku penangguhan untuk memindahkan kes-kes COVID-19, kurang akses kepada bantuan perubatan dan isu makanan katering bermutu rendah yang disediakan di dormitori tersebut.

"Kami mendapat tahu bahawa sebahagian besar daripada keprihatinan mereka berhubung Langkah Pengurusan Selamat (SMM) yang baru dilaksanakan dan ujian COVID-19 serta protokol pengasingan dapat dihuraikan dalam tempoh sehari selepas nasib mereka mendapat liputan media tempatan," menurut MWC hari ini.

Berlaku "gangguan terhadap pelaksanaan protokol baru ujian dan pengasingan" sehingga 13 Oktober, tambah MWC.

Isu-isu logistik dan sumber-sumber dalam proses pemindahan serta lonjakan kes jangkitan juga menyumbang kepada kelengahan memindahkan kes-kes positif COVID-19 ke kemudahan-kemudahan jagaan dan pemulihan di luar dormitori tersebut.

Namun, para penghuni "mengesahkan" bahawa pihak berkuasa "dengan segera" menangani situasi itu menerusi kerjasana dengan pengendali dormitori serta para majikan dalam menangani isu kelengahan dan "mengembalikan ketenteraman dan kestabilan di dormitori", menurut MWC.

"Mereka memberitahu kami bahawa sejak penambahbaikan dibuat, proses pemindahan bagi kes-kes COVID-19 dilaksanakan tepat pada waktu dan mereka berharap bahawa proses ini akan terus berjalan lancar."

MWC menyatakan ia juga mendapati bahawa segelintir pekerja "tidak memahami sebab dan strategi di sebalik langkah-langkah baru pengurusan selamat, protokol ujian dan pengasingan, yang mungkin menimbulkan kebingungan serta keadaan huru-hara sebelum 13 Oktober".

MWC menyatakan ia sudah memberi maklum balas kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan sedang "segera bekerjasama" dengan kementerian itu untuk mempertingkatkan perhubungan dan pendampingan serta mengedarkan bahan-bahan pendidikan melalui rangkaian duta MWC serta wadah media sosial. Bahan-bahan itu akan diedarkan dalam bentuk cetakan dan video dan akan diterjemah ke dalam bahasa asal para pekerja.

MWC menambah ia sedang memantau situasi dan akan segera memaklumkan sebarang keadaan yang tidak kena atau kelengahan kepada MOM.

ISU MUTU MAKANAN

Berhubung isu makanan yang disediakan, MWC menyatakan bahawa ia "tidak dapat berjumpa dengan sesiapa yang mendakwa makanan katering yang disediakan sudah rosak atau mengandungi serangga seperti yang tular online" namun maklum bahawa pihak berkuasa masih menyiasat perkara itu.

Sekalipun demikian, para pekerja berkata "kadangkala terdapat isu dengan ketepatan waktu dan jumlah makanan yang diberikan kepada mereka sebelum 13 Oktober", ia menambah.

"Langkah kawalan baru dilaksanakan oleh pihak berkuasa dan majikan memastikan bahawa isu-isu tersebut sudah diselesaikan sejak itu," menurut MWC.

MWC menyatakan bahawa ia juga mendengar keluhan daripada para pekerja yang berkata bahawa "lebih banyak boleh dilakukan" untuk menyediakan makanan sesuai dengan citarasa dan kecenderungan para pekerja, terutama sekali mereka yang dari tanah besar China.

"Oleh kerana para pekerja hijrahan dari China mempunyai pelbagai kecenderungan dari segi makanan berdasarkan daerah mana mereka berasal, ia kadangkala mengambil masa untuk mencapai aturan katering optimum untuk mereka", menurut MWC.

"Walaupun kita sudah menjelaskan hal ini kepada para pekerja, kami memberitahu mereka dengan jelas bahawa ini satu ikhtiar yang perlu dilakukan dengan baik oleh para majikan."

MWC juga menyatakan bahawa ia sudah memberitahu para pekerja hijrahan China bahawa majikan mereka "komited untuk memberi lebih tumpuan dan sumber dalam mengusahakan huraian-huraian optimum dari segi pilihan makanan secepat mungkin" dan memberi jaminan kepada para pekerja bahawa MWC akan terus memantau isu tersebut.

Dalam kenyataan medianya, MWC tidak mendedahkan siapa majikan tersebut. Pada Jumaat lalu, sehari selepas laporan Mediacorp diterbitkan, Sembcorp Marine meminta maaf kepada 1,400 pekerja di dormitorinya berhubung isu-isu berkaitan makanan yang disediakan.

Selain itu, para pekerja China memberitahu MWC bahawa mereka sebelum ini boleh membeli barangan keperluan peribadi, bekalan dan barangan dapur menerusi online lalu dihantar ke dormitori. Ini membolehkan mereka untuk mempunyai tambahan "makanan yang biasa dimakan" selain yang disediakan oleh pihak katering, menurut MWC.

"Para pekerja hijrahan menjelaskan bahawa khidmat penghantaran ke dormitori mereka dihentikan seminggu sebelumnya... sekaligus memburukkan situasi katering makanan yang sememangnya sudah tidak optimum," ia menambah.

MWC juga menyatakan bahawa ia sudah meminta kepada para majikan dan pihak pengurusan dormitori supaya menawarkan semula khidmat penghantaran bagi menyediakan "huraian pantas dan mudah" kepada para pekerja berhubung keprihatinan mereka.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan