Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kelengahan di sesetengah hospital, poliklinik dek gangguan terhadap sistem perubatan elektronik

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Gangguan terhadap sistem rekod perubatan elektronik menyebabkan kelengahan dalam pendaftaran dan masa menunggu lebih lama pada Khamis (29 Sep) di hospital serta poliklinik di bawah Kumpulan Jagaan Kesihatan Nasional (NHG) dan Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS). 

Beberapa janji temu yang tidak mendesak terpaksa dijadual semula. 

"Para pesakit yang memerlukan bantuan perubatan kecemasan diberikan perhatian dengan segera," menurut NHG, NUHS dan Sistem Maklumat Kesihatan Bersepadu (IHiS) pada Sabtu (1 Okt) dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp. 

"Para anggota kakitangan di lapangan menghulurkan sokongan dan membantu pesakit memandangkan terdapat kelengahan dalam pendaftaran serta masa menunggu lebih lama. Para pesakit yang berpuasa sebagai sebahagian daripada prosedur perubatan ditawarkan minuman dan biskut untuk mengatasi keadaan itu dengan sewajarnya." 

Institut-institut jagaan kesihatan yang terjejas pada Khamis termasuk Poliklinik Woodlands dan Poliklinik Yishun. 

Encik A Kannan, yang sepatutnya menjalani ujian darah pada pagi itu, memberitahu Mediacorp bahawa beliau menghadapi masalah untuk mendapatkan nombor giliran di aplikasi HealthHub sebelum janji temunya. 

Para pesakit lazimnya boleh mendapat nombor giliran melalui aplikasi berkenaan 30 minit sebelum janji temu mereka dijadual diadakan. 

Encik Kannan kemudian meninggalkan rumah lebih awal untuk mendapatkan nombor giliran daripada terminal layan diri di Poliklinik Woodlands. Namun katanya, terminal-terminal di sana "ditutup" dan beliau menggambarkan situasi di poliklinik tersebut sebagai "huru-hara". 

"Kakitangan memberitahu pesakit untuk mendapatkan nombor giliran secara manual, menjadual semula janji temu mereka atau menghubungi pusat talian," katanya kepada Mediacorp. 

"Tiada pengumuman di HealthHub mengenai situasi di poliklinik dan menghubungi talian bantuan juga tidak membantu," ujarnya.

Seorang lagi pembaca Mediacorp, yang tidak mahu mendedahkan identitinya, juga menghadapi masalah yang serupa dengan terminal layan diri di Poliklinik Yishun apabila beliau tiba di sana pada pukul 9.50 pagi untuk janji temunya yang dijadualkan pada jam 10.00 pagi. 

"Saya dilayan dengan serta-merta," katanya sambil menambah para pekerja poliklinik yang berada di pintu masuk memberitahunya bahawa "seluruh sistem tidak berfungsi", dengan masa menunggu dianggarkan sekitar dua hingga tiga jam.

Seorang anggota kakitangan poliklinik menasihati wanita itu supaya pulang ke rumah dan menjadualkan semula janji temunya menerusi aplikasi HeahlthHub apabila sistem itu kembali berfungsi.  

Semasa menjawab pertanyaan Mediacorp, NHG, NUHS dan IHiS menyatakan ia menerima aduan berhubung pengguna yang mengalami kesukaran untuk mengakses sistem rekod perubatan elektronik sekitar pukul 3.40 pagi pada 29 September. 

"Institusi-institusi yang terjejas mengaktifkan pelan kesinambungan perkhidmatan masing-masing," menurutnya sambil menambah bahawa sistem itu kembali beroperasi pukul 1.00 tengah hari pada hari yang sama.

"Kami sedang memantau keadaan dan sistem itu kini stabil," menurut NHG, NUHS dan IHiS. 

"Kami ingin memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan mahu menyampaikan penghargaan kami kepada para pesakit, anggota kakitangan dan anggota masyarakat awam atas kesabaran serta pemahaman mereka sementara sistem itu diperbaiki."

Pada 27 Ogos lalu, janji temu bagi pesakit di beberapa poliklinik ditangguhkan atau dijadualkan semula menyusuli gangguan sistem, menurut laporan Straits Times. 

Sistem-sistem pemantauan jagaan kesihatan awam mengesan kegagalan pada ketersambungan rangkaian IT yang menjejas 17 institusi jagaan kesihatan awam, termasuk hospital masyarakat, klinik pakar bagi pesakit luar dan semua poliklinik. 

Satu lagi insiden berlaku pada 5 September apabila gangguan dikesan pada prasarana IT.

Gangguan berkenaan menjejas lapan institusi jagaan kesihatan awam dan dua daripada tiga kumpulan poliklinik, menurut Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary, yang memberi kemas kini mengenai isu tersebut di Parlimen pada September.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan