Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keldai wang berusia 21 tahun masih dihantui pengalaman diganggu tailong

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam tempoh beberapa bulan saja, Lisa (bukan nama sebenar), yang berusia 21 tahun bertukar daripada menjadi mangsa penipuan kepada pelaku jenayah.

Pada mulanya dia cuma berhasrat untuk mendapatkan pinjaman S$30,000 daripada pemiutang berlesen tetapi akhirnya terjerat dengan tailong sehingga diganggu selama berbulan-bulan.

Selain itu, Lisa juga diugut supaya memberikan kad ATM dan akaun banknya pula digunakan untuk menyalurkan dana haram. Dia akhirnya dikenakan amaran bersyarat oleh pihak polis kerana menjadi keldai wang.

Perangkaan terkini yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Ogos menunjukkan peningkatan pada jumlah kes penipuan - meningkat 85 peratus pada separuh pertama 2022 berbanding tempoh yang sama setahun lalu.

Pemerintah turut mengumumkan pada Mac bahawa ia merancang untuk menjadikan kesalahan pengubahan wang haram lebih mudah untuk didakwa dengan meminda Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah) pada lewat tahun ini.

"Hari ini, sebahagian besar siasatan yang dijalankan terhadap keldai wang haram tidak membawa kepada pendakwaan disebabkan oleh kesulitan untuk membuktikan niat keldai wang haram bersubahat untuk menyalurkan wang haram bagi pihak sindiket-sindiket sedemikian," kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Desmond Tan.

Apabila ditanya bagaimana perasaannya menjadi mangsa dan juga tertuduh, Lisa memberitahu para wartawan pada Khamis (25 Ogos) bahawa dia "berasa bersalah". "Tetapi pada masa yang sama, saya masih takut kerana mereka mengganggu keluarga saya," katanya.

Malangnya, hasrat Lisa untuk menjaga keluarganya yang menyebabkannya terjerumus ke dalam situasi tersebut.

Pada Disember 2020, dia setakat membawa pulang gaji S$2,000 sebulan sebagai pengawal keselamatan selepas dia melahirkan seorang anak lelaki.

Suaminya yang menganggur menggunakan wangnya untuk menampung perbelanjaan peribadi, kata Lisa sambil menambah bahawa suaminya cepat jemu menjaga bayi mereka.

Lisa juga mempunyai seorang anak perempuan berusia 5 tahun yang tinggal di Malaysia bersama pakciknya. Lisa akhirnya memutuskan untuk kembali bekerja semasa tempoh berpantang.

“Dia tidak membantu sama sekali ... Saya perlu menyara keluarga saya dan membayar bil tertunggak,” luah Lisa. “Dan jika saya mempunyai wang yang mencukupi, maka saya akan kembali belajar. Ini kerana Singapura mengutamakan sijil pendidikan.”

Fikiran Lisa bercelaru semasa dia melungsuri Internet untuk mencari pemiutang berlesen.

Dia menjumpai sebuah syarikat dengan nama dan laman web yang kelihatan seolah-olah sahih.

Malangnya, itulah detik permulaan yang menghantui Lisa selama berbulan-bulan.


Pihak pemiutang meminta Lisa, seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura untuk memberikan butiran peribadi sebelum memberikan pinjaman tersebut. Lisa kemudian menghantar gambar surat gaji dan kad pengenalan diri Malaysia dan Singapura.

Lelaki berkenaan sebaliknya meminta yuran pentadbiran sebanyak 10 peratus daripada pinjaman yang diberikan kepada Lisa.


Apabila Lisa enggan berbuat demikian, lelaki itu mula memarahinya. Dia menghantar klip audio yang mengugut keluarganya dan juga video yang menunjukkan pintu-pintu yang disimbah dengan cat, iaitu kaedah yang biasanya digunakan oleh tailong untuk menakut-nakutkan peminjam.

Lisa akhirnya membayar lelaki itu S$3,000.

Sekalipun Lisa menegaskan bahawa dia tidak mempunyai wang lagi, gangguan terhadapnya masih diteruskan.

Lelaki itu malah memberi amaran kepadanya bahawa dia perlu membuat bayaran pada tarikh tertentu.

Sekitar masa itu, Lisa membuat aduan polis secara online kerana percaya bahawa dia telah ditipu dan bimbang tentang keselamatan anak-anaknya.

Dia juga memutuskan untuk memberitahu keluarganya tentang apa yang berlaku. Mereka berasa marah dan menggesanya supaya jangan mengendahkan ugutan itu.

Pada Januari 2021, masalahnya bertambah meruncing apabila lebih ramai tailong mengganggunya.

Lisa juga mengesyaki butiran peribadinya sudah digunakan untuk meminjam wang daripada tailong lain.

Menurut Lisa, dia tidak diganggu secara fizikal kerana pihak polis memasang kamera litar tertutup (CCTV) di luar rumahnya.

BERTUKAR MENJADI KELDAI WANG

Salah seorang tailong menawarkan jalan keluar kepada Lisa: Jika Lisa menyerahkan kad ATMnya, dia boleh mendapat kira-kira S$300 sebulan yang boleh digunakan untuk melunaskan hutangnya.

Lisa juga diberitahu dia akan mendapat lebih banyak wang jika dia memberikan lebih banyak kad ATM. Gara-gara buntu, dia menyerahkan tiga akaun bank.

“Sekalipun ragu-ragu, saya tetap berasa takut. Ini kerana mereka masih mengugut saya tentang wang itu (kononnya) saya masih berhutang dengan mereka,” katanya.

Sebahagian besar mereka yang diberkas atas pelibatan mereka dalam penipuan, khususnya dalam enam bulan pertama 2022, berusia antara 20 hingga 29 tahun, menurut perangkaan terkini SPF.

Daripada jumlah pesalah yang diberkas polis dari tahun 2019 hingga 2021 atas pelibatan mereka dalam penipuan yang dilaporkan pada tahun mereka ditangkap, sekitar 38 peratus berusia antara 20 hingga 29 tahun.

Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan