Skip to main content

Singapura

Kelayakan umur untuk Flat Penjagaan Masyarakat akan diturunkan dari 65 kepada 55 tahun, yuran dikurangkan

Anggaran Waktu Membaca:
Kelayakan umur untuk Flat Penjagaan Masyarakat akan diturunkan dari 65 kepada 55 tahun, yuran dikurangkan

Harmony Village, pangsapuri penjagaan komuniti pertama di Singapura, pada 20 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Tan Wen Lin)

Diterbitkan : 13 Jul 2026 04:36PM Dikemas Kini : 13 Jul 2026 04:39PM
SINGAPURA: Umur kelayakan untuk Flat Penjagaan Masyarakat (CCA) akan diturunkan daripada 65 kepada 55 tahun, kata Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Isnin (13 Julai).

Yuran pakej perkhidmatan asas bulanan (BSP) untuk flat sedemikian juga akan dikurangkan antara 18 hingga 75 peratus.

“Penambahbaikan kepada skim CCA ini adalah sebahagian daripada usaha lebih luas pemerintah untuk memperluaskan pilihan perumahan dan penjagaan untuk warga emas, di samping pelancaran Kawasan Kejiranan Sihat Menua SG dan penyelarasan Perkhidmatan Penjagaan Tinggal Bersama,” kata MOH, MND dan HDB.

Diperkenalkan pada tahun 2021, CCA menyepadukan perumahan mesra warga emas dengan perkhidmatan penjagaan, menawarkan pilihan perumahan untuk warga emas yang ingin menua secara bebas dalam masyarakat.

HDB telah melancarkan lima projek CCA setakat ini, di Bukit Batok, Queenstown, Bedok, Geylang dan Sengkang.

Projek CCA keenam akan dilancarkan di Toa Payoh pada bulan Oktober sebagai sebahagian daripada projek Bina-Ikut-Tempahan (BTO) baharu di sebelah stesen MRT Caldecott.

“Berkuat kuasa daripada skim jualan BTO Oktober 2026, HDB akan menurunkan kelayakan umur daripada 65 kepada 55 tahun, supaya warga emas yang ingin menyesuaikan saiz rumah mereka boleh mempertimbangkan flat Flexi dua bilik dengan pajakan pendek dan CCA apabila mereka berumur 55 tahun,” kata MOH, MND dan HDB.

“Ini akan memberikan mereka lebih banyak pilihan perumahan, dan lebih banyak masa untuk merancang lebih awal.

“Kelayakan umur yang diturunkan juga akan terpakai kepada CCA yang ditawarkan pada skim Jualan Flat Baki pada masa hadapan.”
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita